Now Reading
I’m Donut? TRX: Ini Cara Tempah Slot & Dapatkan Donut Viral Dari Jepun

I’m Donut? TRX: Ini Cara Tempah Slot & Dapatkan Donut Viral Dari Jepun

In Brief
  • I'm donut? dari Jepun kini dibuka di The Exchange TRX, menawarkan lebih 30 perisa termasuk 16 perisa eksklusif Malaysia.
  • Sistem slot diperkenalkan untuk mengawal barisan panjang, dengan maksimum 11 donut bagi setiap pelanggan dalam satu giliran.
  • Harga bermula RM4.60, hampir sama dengan harga di Jepun, kerana Hirako mahu donut ini dinikmati ramai rakyat Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Peminat donut nampaknya ada satu lagi lokasi yang wajib dimasukkan dalam senarai untuk dicuba apabila jenama donut popular dari Jepun, I’m donut? yang telah menjadi fenomena sebaik membuka cawangan pertamanya di Asia Tenggara.

Terletak di Market Lane, tingkat bawah The Exchange TRX, Kuala Lumpur, kedai seluas kira-kira 2,000 kaki persegi itu menawarkan lebih 30 pilihan nama donut manis dan savoury, termasuk 16 perisa eksklusif yang dicipta khas untuk pasaran Malaysia.

Antara perisa tempatan yang boleh dicuba termasuk Milo, Cham, pandan, kelapa, Hojicha Kaya Jam dan Banana Fritter Caramel.

Bagi yang sudah biasa melihat donut I’m donut? memenuhi media sosial, jenama ini terkenal dengan tekstur nama donut yang ringan, gebu dan seakan-akan ‘awan’ apabila digigit.

Donut Gebu Dengan Tekstur Berbeza

Foto: Murni/TRP

I’m donut? diasaskan oleh chef Jepun, Ryouta Hirako, yang pada awalnya bukan seorang baker. Beliau terlebih dahulu menceburi bidang makanan Itali sebelum mula membuat roti untuk restorannya sendiri.

Daripada situlah minatnya terhadap tepung dan yis berkembang, sehingga membawa kepada pembukaan Amam Dacotan dan Dacomecca di Jepun.

Nama I’m donut? pula mula menjadi perhatian selepas nama donut mereka diperkenalkan di Tokyo pada 2022.

Foto: Murni/TRP

Teksturnya yang unik serta pilihan inti yang kreatif menjadikan jenama itu popular, sebelum berkembang ke beberapa bandar seperti New York, Seoul dan Taipei.

Kini, Kuala Lumpur menjadi lokasi pertama I’m donut? di Asia Tenggara.

Untuk cawangan Malaysia, resipi donut turut disesuaikan sedikit.

Jika donut mereka di Jepun menggunakan labu kabocha untuk menghasilkan tekstur yang lebih ringan, versi Malaysia menggunakan pisang.

Hasilnya ialah donut yang rangup di bahagian luar tetapi lembut dan ringan di dalam.

Pilihan Original yang hanya ditabur gula aising juga boleh menjadi permulaan yang sesuai untuk mereka yang pertama kali ingin mencuba.

Ada Lebih 30 Perisa, Termasuk 16 Eksklusif Malaysia

Foto: Murni/TRP

Sudah tentu, tarikan utama I’m donut? bukan sekadar teksturnya.

Antara pilihan yang tersedia termasuk Matcha, Chocolate, Choco Shell, Zaku-Zaku Chocolate, Raspberry, Mango, Pistachio serta beberapa pilihan French cruller yang diperbuat daripada pastri choux.

Untuk peminat rasa tempatan pula, 16 perisa eksklusif Malaysia mungkin menjadi pilihan yang lebih menarik.

Antaranya ialah Cham, Pandan White Bean dan Pandan Coconut Cream.

Pandan White Bean menggabungkan pes kacang putih Jepun atau shiroan dengan krim pandan, manakala Pandan Coconut Cream menggunakan doh berperisa pandan yang diisi krim kelapa dan kelapa parut yang telah dipanggang.

Turut tersedia ialah donut berperisa Milo, Hojicha Kaya Jam dan Banana Fritter Caramel.

Menariknya, durian tidak termasuk dalam senarai perisa Malaysia mereka kerana Hirako berpendapat buah tersebut lebih sedap dinikmati begitu sahaja.

Bagi pilihan savoury, buat masa ini terdapat donut berisi sosej ayam dan Masala Chicken, dengan lebih banyak pilihan savoury dijangka diperkenalkan pada masa akan datang.

Macam Mana Nak Beli Donut I’m donut? Di TRX?

Dengan populariti jenama ini, jangan terkejut kalau melihat barisan panjang di luar kedai. Beratur panjang pula seakan-akan tak pernah putus, selagi kedai masih beroperasi.

Namun, sistem pembelian di cawangan Kuala Lumpur kini menggunakan sistem slot bagi membantu menguruskan barisan pelanggan.

Menurut pekerja mereka, sistem ini diperkenalkan bagi mengawal keadaan di dapur serta pelanggan yang ingin membeli tak perlu menunggu terlalu lama dalam barisan.

Cara untuk mendapatkannya juga agak mudah:

  1. Datang ke I’m donut? di The Exchange TRX
    Pelanggan perlu hadir ke kedai dan mendaftar untuk mendapatkan slot.
  2. Isi nama dan nombor telefon
    Selepas mendaftar, pelanggan akan diberikan slot untuk pembelian donut.
  3. Datang semula mengikut waktu slot
    Pastikan kembali ke kedai pada waktu yang telah ditetapkan untuk membuat pembelian.
  4. Maksimum 11 donut untuk setiap pelanggan dalam satu barisan
    Setiap pelanggan boleh mendapatkan sehingga 11 donut bagi satu giliran atau barisan.

Jadi, kalau merancang untuk datang, sebaiknya jangan terus beratur panjang tanpa mendapatkan slot terlebih dahulu.

Harga Bermula RM4.60

Dari segi harga, donut I’m donut? di Kuala Lumpur dijual antara RM4.60 untuk I’m donut? Original sehingga RM12 untuk pilihan donut berinti dan sandos.

Harga tersebut dikatakan hampir dengan julat harga di Jepun, iaitu sekitar RM5.80 hingga RM13.

Menurut Hirako, harga yang lebih berpatutan penting kerana beliau mahu donut I’m donut? menjadi sebahagian daripada budaya makanan Malaysia dan boleh dinikmati oleh lebih ramai pelanggan.

Foto: Murni/TRP

Selain donut, pengunjung juga boleh mendapatkan minuman seperti matcha dengan 12 kombinasi termasuk kopi, mocha, mangga, strawberi dan oren, sama ada panas atau sejuk.

Terdapat juga hojicha latte dan jus, manakala matcha premium Shizuoka Motoyama dari wilayah Shizuoka, Jepun bakal diperkenalkan kemudian.

Berbeza dengan beberapa cawangan di Jepun yang akan ditutup selepas donut habis dijual, cawangan Kuala Lumpur akan terus beroperasi kerana turut menawarkan minuman.

Untuk masa akan datang, I’m donut? juga dijangka mengembangkan kehadirannya di Malaysia selepas operasi di Kuala Lumpur stabil, termasuk kemungkinan membuka cawangan di Johor Bahru.

Jadi, kalau anda memang sudah lama tertanya-tanya sama ada donut viral Jepun ini berbaloi untuk dicuba, nampaknya sekarang sudah ada peluang untuk rasainya sendiri.

Cuma jangan lupa ambil slot dahulu sebelum datang untuk membeli.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd