Now Reading
[EKSKLUSIF] Dari Gaming Ke Litar Sebenar, Kisah Naquib Azlan Jadi Pelumba Profesional

[EKSKLUSIF] Dari Gaming Ke Litar Sebenar, Kisah Naquib Azlan Jadi Pelumba Profesional

Perlumbaan Paris-Rouen pada 1894 dianggap sebagai perlumbaan kereta pertama melahirkan sukan permotoran.

In Brief
  • Naquib Azlan membuktikan sim racing adalah laluan alternatif yang sah untuk menjadi pelumba profesional bertaraf tinggi.
  • Pertemuan Naquib dengan Alex Yoong melalui pertandingan sim racing membuka peluangnya menyertai Toyota Gazoo Racing Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dunia sukan permotoran sering dianggap sebagai sebuah arena eksklusif yang dipenuhi dengan individu telah bermula seawal usia 5 tahun atau daripada keluarga senang.

Sejak kebelakangan ini, stigma tersebut semakin pupus kerana kemunculan teknologi simulator atau sim racing telah banyak membantu pelumba profesional.

Di negara kita, perkara itu dapat dilihat menerusi seorang anak muda bernama Naquib Nor Azlan berjaya membuktikan laluan alternatif ini mampu melahirkan seorang pelumba berkaliber.

Cinta Naquib Terhadap Sukan Berlumba Bermula Dengan Ayahnya

Naquib Azlan. (Foto: @naquib_azlan / Instagram)

Ketika ditemui TRPBM, Naquib mengakui minat mendalam terhadap dunia perlumbaan bukanlah sesuatu yang datang secara tiba-tiba.

Rasa cinta itu berputik daripada seorang insan yang rapat dengannya, iaitu ayahnya sendiri.

“Rasa cinta dan minat mendalam saya terhadap berlumba serta kereta semuanya berpunca daripada ayah saya.

“Dialah punca saya minat aktiviti memandu dan akhirnya menyimpan impian untuk menjadi seorang pelumba kereta,” tambah Naquib.

Pertemuan Dengan Alex Yoong Membuka Pintu Ke Litar Sebenar

Titik perubahan besar dalam hidup Naquib bermula apabila dia menyertai sebuah pertandingan sim racing.

Menerusi penyertaan itu, dia berpeluang bertemu Alex Yoong, bekas pemandu Formula 1 Malaysia, dalam pertandingan anjurannya dikenali sebagai E-racing GP Global Edition.

“Saya bertuah dapat bertemu dengan Alex Yoong, bekas pemandu F1 Malaysia, melalui penyertaan dalam pertandingan anjurannya.”

Pertemuan itu akhirnya telah menyemarakkan impian jauh lebih besar antara mereka berdua.

“Bermula daripada situ, kami berkongsi cita-cita untuk membawa seorang pemandu maya ke dunia perlumbaan sebenar,” jelasnya.

Bakat Naquib Terserlah Pada Hari Ujian Pertama Toyota Gazoo Racing

Naquib bersama rakan pasukannya. (Foto: @naquib_azlan / Instagram)

Tidak dinafikan, ramai orang akan meragui sama ada kemahiran dalam sebuah simulator boleh membantu ketika berada di atas litar sebenar.

Namun, keraguan itu terjawab pada hari ujian pertama Naqib untuk Toyota Gazoo Racing Malaysia Rookie Championship.

Menceritakan pengalamannya, “Selepas hari pertama itu, saya berjaya mencatatkan masa terpantas dalam kalangan peserta rookie yang lain.”

Malah, prestasinya ketika itu setanding dengan pemandu-pemandu jauh lebih berpengalaman.

Bagi Naquib, dapat menyertai perlumbaan sebenar itu cukup bermakna baginya.

“Ia umpama mimpi menjadi kenyataan. Ia merupakan satu perasaan yang sangat istimewa,” katanya.

Dunia Simulator & Litar Sebenar Melengkapi Satu Sama Lain

Persepsi orang terhadap simulator adalah ia berbeza dan berlawanan daripada pengalaman berlumba di atas litar.

Bagi Naquib pula, kedua-dua dunia ini saling menyokong antara satu sama lain.

“Simulator sangat hebat untuk memperbaiki teknik pemanduan, manakala perlumbaan sebenar pula mengasah kemahiran perlumbaan saya.

“Kedua-dua kaedah ini saling melengkapi,” tambahnya.

Dalam masa sama, dia turut melihat jurang antara kedua-dua dunia itu semakin mengecil dari semasa ke semasa.

Menurutnya, persediaan yang dilakukan bersama Axle Sports menggunakan simulator banyak membantunya menghadapi perlumbaan sebenar.

“Memandangkan kita boleh melakukan pelbagai perkara dalam simulator, kita dapat berlatih menghadapi pelbagai situasi yang berbeza,” jelas Naquib.

Cabaran Fizikal Menjadi Kejutan Terbesar Bagi Naquib

Cabaran fizikal ketika berlumba. (Foto: @naquib_azlan / Instagram)

Namun begitu, berlumba di litar sebenar tetap hadir dengan cabaran-cabaran tersendiri.

Cabaran terbesar dihadapi oleh Naquib ialah tahap kecergasan fizikal.

“Dalam kereta lumba, tiada penyaman udara dan pengudaraan pula sangat terhad, malah kami memakai beberapa lapisan pakaian kalis api, jadi suasananya menjadi sangat panas,” tambahnya.

Tambahan pula, keadaan tubuh badan terumbang-ambing dari kiri ke kanan ketika mengambil selekoh sangat memenatkan.

Situasi seperti ini tidak pernah dialami oleh Naquib ketika memandu dalam simulator.

Dia menyifatkan faktor haba ialah salah satu perbezaan paling ketara di antara dunia maya dan litar sebenar.

“Dalam perlumbaan sebenar, terdapat banyak faktor yang di luar kawalan kita, oleh itu keupayaan untuk menyesuaikan diri sangat penting.”

Persediaan Rapi Perlu Dilakukan Sebelum Setiap Perlumbaan

Bagi memastikan berada pada tahap paling optimum, Naquib turut mempunyai rutin tersendiri.

Dia akan melakukan latihan menggunakan simulator sebagai langkah persediaan sebelum menghadapi perlumbaan sebenar.

“Saya akan membayangkan perjalanan hujung minggu perlumbaan dan memastikan tahap kecergasan fizikal saya berada pada tahap terbaik,” tambahnya.

Matlamat utama adalah untuk mengeluarkan prestasi maksimum ketika berada di saat paling penting.

Sanggup Mengambil Risiko Demi Mengejar Impian

Naquib (dalam kereta biru) mengambil selekoh. (Foto: @naquib_azlan / Instagram)

Perjalanan Naquib mengejar impian ini bukanlah tanpa pengorbanan.

Ketika mendapat peluang menyertai perlumbaan, dia merupakan seorang pelajar di universiti.

Dia juga memastikan dirinya menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjayanya.

“Boleh dikatakan saya mengambil risiko yang telah dipertimbangkan dengan teliti demi mengejar impian ini.

“Sesuatu impian itu pasti melibatkan risiko; jika tidak, bermakna impian itu tidak cukup besar,” kata Naquib.

Latihan Simulator Turut Menghapuskan Rasa Takutnya Untuk Berlumba

Menariknya, melakukan latihan dalam simulator dengan kerap bukan sahaja mengasah kemahiran Naquib, malah turut membentuk kekuatan mentalnya.

“Saya rasa disebabkan saya terlalu kerap memandu menggunakan simulator, saya sudah tidak lagi berasa takut untuk berlumba.”

Perasaan takut itu langsung tidak pernah terlintas di fikirannya ketika berada di atas litar.

Dalam masa sama, dunia perlumbaan turut mengajarnya erti disiplin dan ketahanan diri.

“Ia telah mengajar saya untuk berdisiplin dan sentiasa hadir menjalani latihan, walaupun pada hari-hari saya terasa kurang semangat.

“Ia juga telah meningkatkan kekuatan mental saya untuk sentiasa bangkit semula apabila saya jatuh atau ditimpa dugaan,” ujarnya.

Naquib Kini Mahu Membuka Laluan Buat Bakat Muda Yang Lain

Naquib (3 dari kiri) bersama pasukan Toyota. (Foto: @naquib_azlan / Instagram)

Naquib bukan sekadar mengejar impiannya sendiri, sebaliknya turut mahu membuka ruang bagi generasi muda yang lain.

Dia juga aktif melatih pemandu lain di seluruh negara.

Menurutnya, ramai bakat muda berkongsi impian menjadi pelumba, namun tidak mampu menempuh laluan konvensional menerusi sukan go-kart.

“Saya ingin menunjukkan kepada mereka bahawa impian tersebut boleh dicapai.

“Berlumba menggunakan simulator merupakan satu saluran yang praktikal untuk menceburi dunia sukan permotoran dengan cara lebih mudah diakses,” jelas Naquib.

Mount Panorama Dan Le Mans Merupakan Antara Litar & Siri Perlumbaan Diminati Naquib

Naquib turut berkongsi minatnya yang lain kepada TRPBM.

Litar kegemarannya ialah Mount Panorama di Australia, yang memerlukan pemandu memandu sangat rapat ke dinding untuk mencapai kelajuan tinggi.

“Bagi saya, ia sangat mendebarkan.”

Seterusnya, siri perlumbaan yang paling diminatinya pula ialah World Endurance Championship (WEC), khususnya Le Mans, kerana banyak sesi latihannya dilakukan menerusi simulator.

Dalam masa sama, Naquib turut bermain permainan video lain seperti FIFA, Call of Duty dan GTA walaupun memiliki jadual yang padat.

Selain itu, dia turut menyimpan impian untuk bertemu bekas juara dunia Formula 1, Sebastian Vettel.

“Saya teringin sangat untuk berbual dengannya dan memahami apa yang bermain di fikirannya semasa dia berlumba.”

Bila bertanya apakah impian terbesarnya, Naquib menjawab dengan penuh yakin.

“Untuk jadi juara dunia.”

Bagi anak muda yang berkongsi impian sepertinya, Naquib meninggalkan pesanan agar tidak mudah berputus asa.

“Jika anda menyimpan impian itu, curahkan segala usaha dan kudrat anda.

“Sentiasa percayakan diri sendiri, dan jangan biarkan sesiapa pun mengatakan sebaliknya.”

Sukan Permotoran Telah Bermula Sejak Lewat Abad Ke-19

Untuk info, sukan permotoran sudah bermula sejak lewat abad ke-19, apabila perlumbaan Paris-Rouen pada 1894 dianggap sebagai perlumbaan kereta pertama.

Perlumbaan sejauh 127 kilometer itu, yang dianjurkan oleh sebuah keratan akhbar Perancis, bagi menguji kebolehpercayaan enjin berbanding kelajuan.

Seterusnya, perlumbaan Paris-Bordeaux-Paris pada 1895 yang mempunyai jarak melebihi 1,000 kilometer menandakan permulaan perlumbaan kompetitif.

Pada 1906, lahirnya Grand Prix Perancis di Le Mans yang diiktiraf sebagai Grand Prix pertama secara rasmi.

Baca Artikel Berkaitan: Kisah Flying Sikh, Juara Rali Dunia Yang Mengangkat Nama Malaysia

Baca Artikel Berkaitan: Ini Kisah Bagaimana Petronas Menjadi Jenama Terkenal Dalam Formula 1


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd