Ini 5 Pulau Cantik Di Malaysia Untuk Masuk Ke Dalam Bucket List!
Menurut Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Malaysia mempunyai sebanyak 879 buah pulau.
- Malaysia mempunyai banyak pulau menakjubkan seperti Perhentian, Redang, Rawa, Lang Tengah dan Sipadan untuk dijadikan destinasi percutian.
- Setiap pulau menawarkan keunikan tersendiri, daripada menyelam bertaraf dunia hingga suasana tenang jauh daripada kesibukan harian.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kita sedia maklum bahawa Malaysia merupakan antara destinasi terbaik untuk meluangkan masa lapang untuk berehat seketika daripada kesibukan harian.
Malah, kita juga mempunyai pelbagai destinasi pelancongan dan percutian bertaraf dunia sehingga berjaya mencatatkan lebih 21 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada separuh pertama 2026 berdasarkan laporan The Edge.
Sebagai sebuah negara yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya, Malaysia juga memiliki banyak pulau menakjubkan yang boleh anda jadikan next getaway trip.
5 Pulau Di Malaysia Wajib Anda Terokai!
#1. Pulau Perhentian

- Sesuai untuk: Suka pantai, snorkeling dan menyelam
- Waktu terbaik: April hingga September
- Cara ke sana: Terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, kemudian ke Jeti Kuala Besut untuk menaiki bot
Terletak di luar pantai Besut, Terengganu, Perhentian bermaksud tempat persinggahan dalam bahasa Melayu.
Ini kerana, peranan pulau ini dijadikan sebagai tempat persinggahan pedagang antara Bangkok dan Malaysia, sebelum berubah menjadi destinasi pelancongan.
Menurut Where To Go In, Perhentian memiliki beberapa pantai yang menakjubkan, antaranya Long Beach, Romantic Beach dan Turtle Bay.
Malah, menurut Lonely Planet, pulau ini dikatakan antara lokasi menyelam kelima paling cantik di dunia.
#2. Pulau Redang

- Sesuai untuk: Percutian bersama keluarga, pasangan, menyelam skuba
- Waktu terbaik: April hingga September
- Cara ke sana: Terbang ke lapangan terbang Kuala Terengganu. Kemudian ke Jeti Marang untuk menaiki bot
Terletak di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Redang merupakan antara pulau terbesar di luar pantai timur Semenanjung Malaysia.
Pulau ini mempunyai keluasan kira-kira 24 kilometer persegi, dengan puncak tertingginya iaitu Bukit Besar pada ketinggian 359 meter dari aras laut.
Menurut Tourism Malaysia, kawasan perairan sekelilingnya telah diwartakan sebagai Taman Laut pada 1985 bagi melindungi hidupan serta persekitaran marinnya.
Tambahan pula, Redang juga kaya dengan terumbu karang, air jernih dan pantai pasir putih yang bersih.
Bagi peminat aktiviti snorkeling, menyelam anda boleh pergi ke lokasi ini:
- Terumbu Kili
- Big Mount
- Mini Mount
- Tanjung Tokong
#3. Pulau Rawa

- Sesuai untuk: Keluarga
- Waktu terbaik: Mac hingga Mei
- Cara ke sana: Menaiki bot dari Mersing, Johor
Dikenali sebagai Maldives Malaysia, Pulau Rawa menjadi lokasi sempurna untuk melepaskan segala tekanan.
Terletak 16 kilometer (km) dari pantai Mersing, Johor menawarkan pantai pasir putih, air bersih dan pemandangan yang menawan.
Untuk info, pulau ini dimiliki oleh Sultan Johor dan dikelilingi terumbu karang berwarna-warni, lengkap dengan pelbagai aktiviti air dan pengembaraan mendaki hutan.
Selain itu, jangan lupa untuk berenang di sini kerana memiliki air bersih dan sejuk menjadi antara aktiviti wajib.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh menyertai island hopping ke pulau berdekatan seperti Harimau dan Mensirip.
Dalam masa sama, aktiviti menyelam dan snorkeling juga popular memandangkan kawasan marin yang dilindungi dan memiliki pelbagai terumbang karang.
#4. Pulau Lang Tengah

- Sesuai untuk: Penyelam, mencari ketenangan dan pencinta alam
- Waktu terbaik: April hingga September
- Cara ke sana: Menaiki bot dari pulau berdekatan iaitu Redang atau Perhentian
Terselit di antara Pulau Redang dan Perhentian, Lang Tengah merupakan pilihan tepat bagi mereka yang ingin mencari ketenangan.
Menurut Katsetiu, Lang Tengah dianggap antara pulau terbaik di Terengganu yang boleh disinggah.
Memandangkan ia sebahagian daripada zon taman laut yang sama seperti Redang, lokasi aktiviti menyelam menawarkan spesies terumbu dengan penyu dan pelbagai jenis ikan.
Uniknya, kerana jumlah pengunjungnya lebih rendah berbanding dua pulau lebih popular, suasana di sini terasa lebih lapang dan tenang.
Malah isyarat telefon di sini pun lemah membuatkan Lang Tengah sesuai bagi sesiapa yang ingin lari daripada kesibukan ibu kota.
#5. Pulau Sipadan

- Sesuai untuk: Penyelam skuba, peminat hidupan laut
- Waktu terbaik: April hingga September
- Cara ke sana: Dari Semporna menaiki bot ke Sipadan
Sipadan terletak dalam kawasan Coral Triangle yang terkenal dengan kepelbagaian hidupan marinnya diiktiraf antara lokasi menyelam terbaik di dunia, menawarkan peluang untuk berenang bersama penyu, ikan dan spesies marin lain.
Tetapi pulau ini mempunyai bilangan had menyelam sebanyak 120 sahaja.
Lawatan ke Sipadan biasanya merangkumi tiga sesi menyelam dan memerlukan sekurang-kurangnya sijil Advanced Open Water (AOW).
Dengan 12 lokasi untuk menyelam, sudah tentu anda tidak akan bosan menerokai pulau cantik ini.
Kedatangan Pelancong Ke Malaysia Terus Meningkat Sepanjang 2026
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, data Tourism Malaysia dan Jabatan Imigresen menunjukkan sebanyak 21,118,039 ketibaan pelancong telah dicatatkan antara Januari hingga Jun.
Jumlah itu meningkat sebanyak 514,958 atau 2.5% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Dalam masa sama, peningkatan ini berlaku walaupun ketegangan di Asia Barat menyebabkan pembatalan sebanyak 4,111 penerbangan berjadual ke negara ini.
Maka tidak hairanlah kecantikan pulau-pulau di negara ini terus menjadi tarikan utama pelancong tempatan dan antarabangsa.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.