[EKSKLUSIF] Ini Kisah Aina Mariah, Pencipta Kandungan VFX Yang Mempelajari Karyanya Daripada YouTube
Menurut Aina, minatnya terhadap video VFX tercetus ketika melihat pencipta kandungan seperti Zach King, Sofyank dan lain-lain.
- Aina Mariah mula mempelajari VFX secara sendiri menerusi YouTube semasa PKP, menjadikannya peluang untuk menceburi bidang baharu.
- Siri #AinaTricks lahir daripada idea menggabungkan VFX dengan penceritaan, membuka peluang kerjasama dengan pelbagai jenama dan artis.
- Aina menegaskan proses kreatif tetap penting dalam era AI, memberi amaran agar tidak meremehkan usaha dan kemahiran sebenar.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melanda, ramai orang mula mengisi masa lapang dengan pelbagai hobi baharu, malah ada yang siap mencipta kerjaya baharu.
Salah seorang daripadanya ialah Aina Mariah, pencipta kandungan yang dikenali menerusi siri #AinaTricks dan karya kesan visual (VFX) dipenuhi dengan kreativiti.
Dalam satu perkongsian eksklusif bersama TRPbm, Aina menceritakan perjalanannya mempelajari kesan VFX sendiri sehingga muncul sebagai pencipta kandungan diminati ramai.
Kekurangan Kesedaran Tentang VFX Menjadi Peluang Buat Aina

Menurut Aina, kandungan berkaitan VFX di Malaysia pada waktu itu masih baharu dan tidak ramai ingin menceburinya sepenuh masa.
Keadaan itulah yang dilihat oleh Aina sebagai peluang terbaik untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Kekurangan perhatian tentang bidang ini membuatkan saya rasa sebagai seorang kreatif, inilah peluang terbaik saya mencuba.”
Karya Zach King & Sofyank Mencetuskan Minat Aina Terhadap VFX

Minat Aina terhadap VFX bermula daripada video-video yang muncul di media sosial. Antara pencipta kandungan yang menjadi inspirasi baginya ialah Zach King dan Sofyank.
Ini kerana kedua-dua pencipta kandungan ini mempunyai personaliti unik sehingga menimbulkan rasa ingin tahu bagaimana video tersebut boleh dihasilkan.
“Sebagai seorang video editor, saya memang selalu ingin tahu cara orang lain hasilkan video mereka,” ujar Aina.
Malah, video VFX pertama yang Aina cuba hasilkan diinspirasikan dari seorang pencipta kandungan, kelladactyl.
Menurutnya, video tersebut sangat ringkas dan hanyalah sebuah video menari.
“Saya tiru gayanya dan fikir sendiri macam mana nak edit video seperti dia.”
Tambahan pula, menceritakan proses pembelajarannya, Aina akan mencari inspirasi terlebih dahulu sebelum mempelajarinya menerusi video tutorial.
Dengan cara itu, ia lebih mudah untuk mengenal pasti gaya tersendiri.
“Bila saya jumpa inspirasi, saya akan cuba tiru, tapi saya akan selitkan sesuatu yang relatable,” jelasnya.
Bagi Aina, setiap idea baharu merupakan gabungan atau remix daripada idea yang pernah wujud sebelum ini, dan perbezaannya ialah cara ia disampaikan menerusi gaya penceritaan.
Menerima Kesilapan Sendiri Adalah Cabaran Paling Sukar Bagi Aina
Namun begitu, perjalanan itu tidak sunyi tanpa sebarang cabaran. Aina menyatakan cabaran paling sukar dihadapi olehnya ialah menerima kesilapan diri sendiri.
Ini kerana dia sentiasa mahukan hasil yang berpuas hati dan penuh teliti, tetapi perlu belajar menerima kekurangan dalam karyanya.
“Saya kena tutup mata bila post. Kalau saya berhenti atau pause projek itu, orang takkan nampak hasil kerja saya,” tambahnya.
Dalam masa sama, Aina turut menolak tanggapan bahawa VFX memerlukan peralatan mahal, terutama mereka yang ingin mula mempelajarinya.
“Yang paling penting cuma kesabaran, usaha dan masa sebab VFX mengambil masa lebih lama berbanding video editing biasa.”
Siri #AinaTricks Lahir Daripada Idea Menggabungkan VFX & Penceritaan

Antara hasil kerjaya yang mengangkat namanya ialah siri #AinaTricks. Ia telah dicipta ketika Aina bekerja di syarikat lamanya dan hasil tersebut tercetus ketika mahukan sesuatu yang berbeza.
“Saya usulkan idea ini kepada bos saya, untuk menggabungkan VFX dalam penceritaan.”
Menerusi siri tersebut, Aina menerima pelbagai peluang menghasilkan video untuk pelbagai jenama serta bekerjasama bersama artis VFX lain.
Video Spider-Man Menjadi Batu Loncatan Kerjaya Aina
Beberapa tahun lalu, sebuah video yang mengubah Aina menjadi watak Spider-Man telah tular sehingga mendapat reaksi positif.
Menurut Aina, video itu terhasil apabila dia menerima emel daripada sebuah jenama kamera untuk mencuba produk baharu ketika itu.
“Kamera tersebut unik sebab boleh merakam 360 darjah, jadi saya cuba bereksperimen dengan gaya Spider-Man point of view (POV),” jelas Aina.
Tetapi video VFX yang paling dibanggakan oleh Aina bukanlah video popular atau tular. Sebaliknya, video tersebut mengambil masa sehingga sebulan untuk disiapkan.
“Saya terasa bangga sebab berjaya hasilkan satu video itu from scratch, dan pada masa yang sama dapat belajar sesuatu baharu.”
Tambahan pula, Aina juga pernah bekerjasama dengan Sofyank, pencipta kandungan yang pernah menjadi inspirasi baginya.
Menerusi kerjasama itu, dia belajar untuk sentiasa mempunyai sifat rasa ingin tahu dan menghormati kandungan masing-masing.
“Pengalaman yang saya tak boleh lupa ialah bila Sofyank sendiri beri saya tips untuk buat video lebih baik.”
Malah, kami juga bertanya kepada Aina, adakah VFX lebih kepada kemahiran teknikal atau seni bercerita dan bagaimana dia mengimbangi kedua-dua aspek tersebut dalam mencipta kandungan.
“Pada pendapat saya, VFX itu sendiri adalah sesuatu yang teknikal, yang memerlukan kemahiran komputer.
“Tetapi VFX akan jadi lebih baik bila ada jalan cerita yang kukuh. Bagi saya, saya akan improve storyline dahulu, barulah saya fikir macam mana nak masukkan VFX dalam penceritaan tersebut.
“Saya akan improve jalan cerita terlebih dahulu, barulah saya fikir macam mana nak masukkan VFX dalam penceritaan tersebut.”
Aina Menegaskan Kepentingan Proses Kreatif Dalam Era Kecerdasan Buatan (AI)
Aina juga berkongsi pandangannya tentang penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam mencipta kandungan.
Baginya, tujuan utama mencipta kandungan adalah untuk belajar dan meningkatkan kemahiran.
“Kalau generasi AI membuatkan kita skip semua proses belajar seperti editing, sudut kamera, lighting dan framing dan menghilangkan kreativiti serta keunikan yang sepatutnya ada dalam kandungan, maka ia bukan lagi seni.
“Sebab tiada proses kreatif di sebaliknya.”
Jika seseorang itu merupakan AI Content Creator, gunakanlah teknologi itu dengan bijak tanpa mencuri hasil seni orang lain dan tidak memandang rendah pada proses kreatif.
Di sebalik video yang cantik dan kreatif, Aina turut berdepan cabaran besar dalam era janaan AI.
Menurutnya, apabila satu video kelihatan seolah-olah mudah dihasilkan atau berkualiti tinggi, ramai akan terus bertanya sama ada ia menggunakan AI atau tidak.
“Bahagian paling susah ialah saya perlu buktikan video yang saya hasilkan adalah hasil usaha manusia,” tambahnya.
Malah, Aina mengakui kadangkala terpaksa bersaing dengan kandungan janaan AI kerana menyerupai hasil kerjanya, membuatkannya terus mencari kelebihan lain mampu ditawarkan.
Setiap Pengiktirafan Dianggap Sebagai Rezeki
Walaupun namanya semakin dikenali, Aina masih merendah diri terhadap setiap anugerah dan pengiktirafan yang diterima.
“Saya tak mengharapkan apa-apa pengiktirafan atau anugerah, sebab saya sendiri masih menganggap diri saya sedang belajar dalam bidang VFX.”
Aina turut meluahkan rasa syukur kerana ramai orang menerima bakatnya serta menghargainya sebagai seorang penggiat seni.
Di samping itu, Aina berharap dapat terlibat dalam projek antarabangsa yang menghimpunkan kreatif daripada pelbagai negara di satu tempat untuk menghasilkan sesuatu bersama.
Bagi anak muda yang berminat untuk menceburi bidang ini, Aina berpesan agar melakukan sesuatu kerana minat.
“Belajar VFX tapi pada masa yang sama belajar juga kemahiran lain supaya anda seorang fleksibel semasa bekerja untuk mencapai impian anda.” tambah Aina.
Baca Artikel Berkaitan: [EKSKLUSIF] Tanpa Latar Belakang Kulinari, Usahawan Ini Berjaya Hasilkan Smash Burger Sedap Di Shah Alam
Baca Artikel Berkaitan: [EKSKLUSIF] Kenali 3 Pelakon Suara Malaysia Menyuarakan Watak Dalam Marvel’s Wolverine
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.