[EKSKLUSIF] Kenali 3 Pelakon Suara Malaysia Menyuarakan Watak Dalam Marvel’s Wolverine
Marvel’s Wolverine telah dilancarkan pada 15 September menampilkan bahagian Madripoor yang mengambil inspirasi daripada budaya Malaysia.
- Tiga pengarah suara tempatan, Azman Zulkiply, Wayne See dan Vaani Thiagarajan, menyumbang Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil dalam Marvel's Wolverine.
- Ketiga-tiga mereka menempuh perjalanan berbeza sebelum menceburi industri lakonan suara, daripada animasi, DJ hingga penyampai berita.
- Mereka bebas menggunakan loghat dan dialog tempatan bagi menghidupkan suasana bandar fiksyen Madripoor dalam permainan video tersebut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menjadi satu kebiasaan bagi mereka yang sering bermain permainan video mendengar suara, loghat dan bahasa asing seperti Inggeris.
Kali ini, sesuatu yang berbeza menanti jika anda sedang menikmati Marvel’s Wolverine dihasilkan oleh Insomniac Games menampilkan Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.
Semua bahasa ini boleh didengari apabila pemain tiba di bahagian Madripoor merupakan hasil sumbangan tiga pengarah dan barisan pelakon suara tempatan.
Mereka ialah Azman Zulkiply, Wayne See dan Vaani Thiagarajan.
Tiga Bahasa Malaysia Bergema Dalam Marvel’s Wolverine

Dalam Marvel’s Wolverine, ketiga-tiga bahasa itu telah digunakan bagi menghidupkan suasana bandar Madripoor.
Untuk info, suara-suara ini kebanyakannya ditutur oleh watak sampingan atau non-playable character (NPC) berperanan mengisi latar belakangan dan menjadikan dunia tersebut terasa lebih hidup.
Menerusi projek itu, Azman bertindak sebagai pengarah suara Bahasa Melayu, Wayne mengetuai bahagian Mandarin, manakala Vaani pula mengendalikan bahagian Tamil.
Malah, ketiga-tiga mereka turut merakam suara sendiri untuk projek berkenaan.
Setiap Satu Menempuh Jalan Berbeza Ke Dunia Lakonan Suara
Sebenarnya, ketiga-tiga mereka telah menempuh perjalanan tersendiri sebelum bergelar pelakon suara.
Bagi Azman, minatnya bermula sejak kecil ketika gemar menonton dan meniru watak kartun di televisyen.
Titik perubahannya datang pada pertengahan 90-an, apabila beliau menonton rakaman di sebalik tabir filem The Lion King (1994) dan melihat pelakon legenda seperti James Earl Jones serta Jeremy Irons menyuarakan watak.
Beliau kemudian bekerja dalam industri animasi sebelum mengajar animasi di universiti, lalu menemui Voice Guild Malaysia ketika ingin menyambung ijazah sarjana.
Wayne pula memulakan perjalanannya sebagai DJ separuh masa di Rediffusion sebelum berusia 19 tahun.
Menurutnya, seorang DJ senior bernama Lee Lok-Ying mengesyorkannya untuk satu rakaman iklan, dan dibimbing untuk bergerak mengikut rentak bagi menghidupkan penyampaiannya.
Vaani pula membina kerjaya sebagai penyampai dan penerbit berita di BERNAMA selama 10 hingga 12 tahun.
Menurut Vaani, setiap berita membawa emosi serta nada yang berbeza, mengajarnya untuk menyesuaikan suara, rentak dan gaya penyampaian mengikut cerita.
Minat Dan Rasa Ingin Tahu Membuatkan Mereka Terus Bertahan
Bagi Azman, beliau berkecimpung dalam industri ini sejak 2011, iaitu kira-kira 15 tahun.
Menurutnya, apa yang menariknya ialah keseronokan mencipta suara, menjadi watak jahat, serta rasa ingin tahu terhadap seni lakonan suara.
Malah, beliau bukan sahaja terlibat dengan animasi, tetapi turut menyuarakan iklan radio dan televisyen.
Wayne pula menceburi bidang ini sejak berusia 18 atau 19 tahun, dan kini sudah berusia 55 tahun.
Bagi Vaani pula, kebebasan kreatif menjadi tarikan utamanya dalam industri ini.
“Ia bukan sekadar menyebut perkataan, tetapi proses menghidupkannya. Saya menikmati proses meneroka pelbagai suara, emosi dan personaliti dan keluar daripada persona biasa saya,” kata Vaani.
Apabila Suara Boleh Menjadi Satu Kerjaya

Bagi Azman, lakonan suara pada mulanya hanyalah kerja sampingan sementara menjadi seorang pensyarah animasi di Multimedia University, Cyberjaya.
Menurutnya, setelah melakukan kerja itu secara sampingan selama dua ke tiga tahun. Beliau menyedari pendapatannya semakin lumayan sehingga melebihi gaji kerja tetapnya, lalu mengambil peluang untuk menceburi sepenuh masa pada 2018.
Wayne pula menyatakan cita-citanya untuk menjadi “suara yang keluar dari radio”, sudah tertanam sejak kecil.
“Ia memanggil jiwa saya dan bersyukur dapat menggunakan suara untuk berhubungan dengan orang ramai. Kerja berat seperti pembinaan tidak pernah terlintas di fikiran.”
Vaani menyedari potensi suaranya apabila mula mendapat pengiktirafan, terutama ketika dipilih untuk beberapa kempen khusus.
Ketika itulah Vaani nampak suaranya mampu membuka peluang lebih meluas melangkaui dunia penyiaran.
Mereka Juga Menyuarakan Watak Dalam Iklan & Siri Animasi Tempatan

Sepanjang kerjaya masing-masing, ketiga-tiga mereka sudah menyuarakan pelbagai watak yang dikenali ramai.
Suara Azman sering muncul dalam siri animasi dan filem seperti:
- Kapten BoraRa (BoBoiBoy)
- Ejen Rizwan (Ejen Ali)
- Viktor (Ejen Ali)
- General Rama (Ejen Ali)
- Tok Mart (Kisah Bawah Tanah)
- Zack (Kisah Bawah Tanah)
- Vincent (Kisah Bawah Tanah)
Wayne pula sering merakam suaranya untuk iklan daripada pelbagai jenama seperti makanan segera, kereta, barangan rumah harian yang muncul di televisyen dan radio tempatan
Ini kerana suaranya yang digambarkan sebagai muda dan bertenaga lebih sesuai melakukan kerja pengiklanan.
Vaani pula pernah menjadi seorang ibu, seorang kanak-kanak yang ceria dan seorang nenek dalam iklan Tamil yang mempunyai nilai moral seperti kasih sayang.
Rasa Teruja & Gembira Melihat Suara Dalam Marvel’s Wolverine
Sebuah syarikat Rocketship dan penerbit bernama, Sean telah menghubungi Azman untuk menjadi pengarah suara.
Ketika menyemak skrip, beliau perasan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, sehinggalah terjumpa kata kunci “Madripoor” dan “Logan”.
Selepas menandatangani non-disclosure agreement (NDA), beliau menyumbang sebagai pengarah suara Melayu dan juga salah seorang pelakon suara dalam Marvel’s Wolverine.
Azman: “Mengetahui saya sebahagian daripada sesuatu terasa seperti mimpi. Ia adalah satu penghormatan besar, apatah lagi melihat pelakon suara Malaysia terlibat dalam judul AAA.”
Bagi Wayne pula, barisan pelakon Mandarin merupakan yang paling besar, jadi beliau memilih untuk menumpukan perhatian sebagai Pengarah Suara Mandarin.
Wayne: “Sayang sekali, kalau tidak, mungkin saya sendiri boleh mendapat watak Wolverine!” dengan nada berjenaka.
Vaani seterusnya mengakui dirinya amat teruja dan bangga, namun pada masa sama merasai tanggungjawab yang besar.
Justeru, beliau menonton semula filem Wolverine bagi memahami kisah, watak dan dunia yang bakal dimasukinya.
Proses Pemilihan Pelakon Suara Dijalankan Secara Teliti
Sebagai pengarah suara, sebahagian tugas Azman ialah mencari pelakon lelaki dan wanita bagi mengendalikan proses pemilihan bersama penerbitnya sekitar pertengahan 2025.
Menurutnya, beliau memerlukan pelakon yang mampu memberikan persembahan bersahaja, memandangkan watak-watak itu hanyalah orang awam di latar belakang dan bukannya watak utama.
Azman telah menjalankan uji bakat secara tertutup dengan mendekati pelakon satu persatu dan memberikan petikan skrip, sebelum dihantar kepada Insomniac untuk pemilihan.
Bagi Wayne pula, banyak projek antarabangsa mempunyai peraturan yang ketat.
Wayne sudah merakam sebahagian sebelum menyedari projek tersebut untuk Marvel’s Wolverine, dan walaupun bukan projek antarabangsa pertamanya, ia terasa sangat bermakna.
Vaani turut mengendalikan pemilihan bagi bahasa Tamil dipercayai antara yang pertama untuk permainan video antarabangsa berskala besar.
Selain itu, Vaani telah memilih suara lebih muda, segar bagi memberikan tenaga kepada setiap watak, walaupun sebahagiannya kurang pengalaman kerana beliau merasakan ia memudahkannya untuk sokongan dan bimbingan.
Kesemua uji bakat kemudian dihantar menerusi Rocketship Studio sebelum diluluskan oleh pasukan di Amerika Syarikat.
Penggunaan Loghat & Dialog Budaya Tempatan Bagi Menghidupkan Suasana Madripoor

Antara perkara paling menarik dalam Marvel’s Wolverine ialah kebebasan mereka bertiga untuk mencipta dan bertutur seperti percakapan harian supaya terasa lebih hidup.
Menurut Azman, cabaran dihadapinya olehnya adalah tidak dapat masukkan setiap rujukan budaya Malaysia yang diingini, kerana objektif utama adalah menghasilkan suara di latar belakang.
Namun, bahagian paling memuaskan ialah kebebasan kreatif untuk menulis semula dialog yang asalnya diterjemah secara bulat-bulat, selepas berbincang dengan ketua dialog dari Insomniac Games.
Azman: “Kami berjaya menyelitkan perkara yang boleh dikenali dan relatable, tanpa mencuri tumpuan pemain.”
Rakaman bahasa Mandarin kali ini tidak menuntut sebutan yang terlalu formal seperti dalam buku teks.
Menurutnya, beliau mengambil serius arahan klien dari Seattle dan meminta pelakon mengurangkan sebutan kaku, menghasilkan loghat tempatan yang biasa di Malaysia serta Singapura.
Wayne: “Ia terasa sedikit seperti melepak dengan jiran anda di gerai mamak lewat malam. Dengar betul-betul ketika meneroka Madripoor, mungkin anda dapat menangkap sedikit suasana kejiranan sendiri di dalamnya!”.
Vaani telah berdepan cabaran mengekalkan sebutan Tamil yang tepat sambil memastikan ia tetap berbunyi seperti Tamil Malaysia bercampur dengan bahasa tempatan.
Vaani: “Ia juga detik yang amat membanggakan buat saya, kerana inilah kerja suara Tamil pertama untuk sebuah permainan video, apatah lagi projek antarabangsa.”
Identiti Tempatan Diangkat Ke Pentas Dunia
Bagi ketiga-tiga mereka, membawa identiti tempatan ke pentas global merupakan sesuatu yang amat bermakna.
Azman melihat reaksi positif daripada pemain yang teruja mendengar bahasa mereka sendiri dalam permainan sebesar ini.
Azman: “Kami tidak memaksa. Kami hanya bercakap sebagai orang awam, sebagai diri kami sendiri. Dapat mewakili diri di pentas yang lebih besar, sangat penting bagi saya.”
Bagi Wayne pula, latar belakang Malaysia yang pelbagai secara semula jadi menyediakan rakyatnya untuk terkenal di pentas antarabangsa.
Wayne: “Kita membesar dengan bertutur bahasa satu sama lain dan mengendalikan bahasa Inggeris dengan mudah. Apabila keluar ke dunia, kita berhubung secara semula jadi.”
Vaani seterusnya berkongsi rasa bangga kerana projek itu menyatukan ketiga-tiga bahasa dalam satu suara Malaysia.
Vaani: “Seseorang boleh main Marvel’s Wolverine di mana-mana sahaja dalam dunia, lalu tiba-tiba mendengar bahasa ini dan berfikir, ‘Hei, ini Malaysia!’ Itu membuatkan saya sangat bangga.”
Impian Besar Yang Masih Disimpan Selepas Marvel’s Wolverine
Selepas Marvel’s Wolverine, ketiga-tiga mereka turut menyimpan impian masing-masing untuk masa depan.
Azman yang telah terlibat dalam Marvel’s Wolverine merupakan satu pencapaian besar, apatah lagi menyertai sebuah permainan video sebagai pengarah suara dan pelakon suara buat kali pertama.
Sebelum ini, Azman pernah terlibat dalam permainan video Wo Long: Fallen Dynasty dan berhasrat memegang watak utama satu hari nanti sama ada protagonis atau antagonis.
Wayne pula ingin melakukan kerja suara untuk National Geographic bagi memperkenalkan kekayaan alam semula jadi Malaysia kepada dunia.
Wayne: “Kita bukan sekadar ada bangunan tinggi. Kita memiliki antara sumber alam paling indah di dunia ii, dan di era perubahan iklim, inilah wajah Malaysia yang dunia perlu lihat.”
Vaani pula menyimpan impian untuk menyertai sebuah projek Avengers selepas pengalamannya dalam Marvel’s Wolverine.
Lakonan Suara Bukan Industri Sekecil Yang Disangka Ramai

Meskipun kadangkala dilihat sebagai industri kecil, ketiga-tiga mereka percaya ia menyimpan potensi yang besar.
Tanggapan itu wujud mungkin kerana bidang ini kurang mendapat liputan, sedangkan ramai pelakon suara Malaysia sebenarnya terlibat dalam produksi tempatan dan antarabangsa mengikut pendapat Azman.
Dia juga percaya apabila lakonan suara boleh dijadikan satu kerjaya, ia juga perlu dilihat sebagai sebuah perniagaan.
Azman: “Anda perlu fikir sama ada anda mampu membayar sewa, bagaimana untuk menjual harga dengan kadar yang wajar. Jangan terlalu tinggi, tetapi jangan pula terlalu rendah kerana itu antara cara terpantas untuk memusnahkan industri ini.”
Menurut Wayne, industri ini memerlukan pasaran terbuka dan pandangan global untuk berkembang dengan pantas.
Menurutnya, kecerdasan buatan (AI) bukanlah ancaman utama, sebaliknya persekitaran dan pemikiran tempatan yang banyak melambatkan pertumbuhan ini.
Wayne turut menyifatkan Voice Guild sebagai organisasi suara tertua dan terkuat di negara ini, yang ditubuhkan bagi melindungi hak kerja pelakon suara Malaysia dan membawa masuk bakat baharu.
Vaani pula merasakan cabaran sebenar adalah membina kerjaya yang stabil sambil mengekalkan momentum sebagai pelakon suara.
Baginya, seseorang perlu bersabar, terbuka kepada pelbagai jenis projek dan terus belajar agar kekal relevan serta bersedia apabila peluang seterusnya tiba.
Di samping itu, Azman turut meninggalkan pesanan kepada anak muda yang menyimpan cita-cita untuk menjadi pelakon suara.
Beliau berkata, mulakan langkah sekarang tanpa melengahkan masa.
Ini kerana sesiapa sahaja boleh bermula karier dengan hanya merakam suara menggunakan telefon, sama ada membaca buku, berlakon atau menyuarakan iklan.
Azman turut menggalakkan mereka menyertai kelas lakonan, bergiat aktif dalam komuniti dan berbual dengan pelakon suara lain bagi membina karier sendiri.
Wayne pula menyampaikan pesanan secara ringkas dan bersahaja bagi sesiapa yang berminat iaitu, “Hubungi saya sahaja!”.
Kejayaan ketiga-tiga individu ini membuktikan bahawa bakat tempatan mampu menembus pentas dunia dan mengangkat budaya bahasa identiti Malaysia ke dalam permainan video.
Baca Artikel Berkaitan: Marvel’s Wolverine: Bahasa Melayu, Mandarin & Tamil Dapat Didengari Dalam Permainan Video Baharu PS5
Baca Artikel Berkaitan: [Eksklusif] Dari Sebuah Mesin Jahit Terpakai, Lahirnya Raw Denim House Yang Popular Hingga Ke Luar Negara
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.