Now Reading
Ikatan 2 Warisan, Wanita Malaysia Ini Hasilkan Pakaian Gabungan Sari & Kebaya

Ikatan 2 Warisan, Wanita Malaysia Ini Hasilkan Pakaian Gabungan Sari & Kebaya

M. Vatsala Nair telah melancarkan jenama fesyen Kebayaree pada 23 Ogos 2026.

In Brief
  • M. Vatsala Nair menggabungkan sari dan kebaya nyonya menjadi pakaian unik bernama Kebayaree, mewakili warisan India dan Malaysia.
  • Kebayaree bukan sekadar gabungan pakaian, tetapi bertujuan mengangkat identiti kedua-dua warisan tradisi tanpa menghilangkan satu sama lain.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dengan masyarakat yang berbilang kaum, Malaysia menjadi lokasi di mana budaya dan tradisi berbeza saling bertemu.

Pertemuan ini kemudiannya menghasilkan idea baharu dan unik, yang hanya boleh didapati di negara ini.

Seperti seorang wanita dari Teluk Intan, Perak, dia berjaya mengangkat dua pakaian tradisional Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi apabila menggabungkan kedua-duanya.

Idea Kebayaree Timbul Ketika Vatsala Diminta Memakai Pakaian Mewakili Negara

M. Vatsala Nair, 42, tampil dengan idea itu apabila diminta menggayakan pakaian yang mewakili negara ketika menyertai program keusahawanan wanita United Nations Trade and Development (UNCTAD) di Indonesia dan Filipina pada November 2025.

“Saya sentiasa gemar memakai sari, tetapi ketika itu saya bertanya, bagaimana saya mewakili Malaysia tanpa menghilangkan warisan India.

“Ketika itulah saya menggayakan sari dengan kebaya nyonya Peranakan. Sari mewakili akar saya, manakala kebaya mewakili landskap budaya tanah air ini,” katanya dipetik Bernama.

Gabungan kedua-dua pakaian tradisional negara itu digelar sebagai Kebaya Saree.

Daripada idea itu, Vatsala kemudiannya menghasilkan jenama fesyen tersendiri, Kebayaree.

Kebayaree telah dilancarkan pada 23 Ogos lalu di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Dalam mengangkat warisan negara, Vatsala turut memilih 10 wanita Malaysia dari pelbagai bangsa, budaya dan latar belakang bagi menggayakan koleksi pertamanya.

Antara koleksi Cempaka dan Indrasari Songket yang digayakan ketika pelancaran Kebayaree. (Foto: Kebayaree)

Bukan Sekadar ‘Mix & Match‘, Kebayaree Mahu Angkat Identiti Kebaya & Sari

Kebayaree menampilkan kebaya nyonya yang dipadankan dengan kain sari serta dilengkapi pallu.

Apabila memakai sari, kain pallu akan menutupi bahagian top sari. Namun, pallu pada Kebayaree digayakan dengan memasukkan setengah bahagiannya ke bawah baju kebaya agar tidak menutup motif pada pakaian itu.

Namun Vatsala berkata Kebayaree bukan sekadar itu, sebaliknya bertujuan untuk mengangkat identiti dan warisan kedua-dua pakaian tradisi tersebut.

Terbaharu, Kebayaree melancarkan Koleksi Batiklaya, yang menampilkan rekaan sari menggunakan batik Malaysia.

“Menerusi Batiklaya, sari itu sendiri membawa identiti Malaysia, batik. Tetapi ia masih merupakan sari yang sebenar. Masih nampak kebaya, masih nampak sari dan sekarang nampak batik Malaysia.

“Tak perlu hilang satu warisan untuk menyerlahkan yang lain. Itulah Malaysia. Budaya berbeza, warisan berbeza yang membentuk tanah air kita,” katanya.

Inspirasi Motif Kebayaree Diambil Dari Alam Semula Jadi

Bercakap kepada Bernama, Vatsala berkata dia mengelakkan sebarang gambar berkaitan agama apabila memilih motif bagi rekaan Kebayaree.

Sebaliknya, dia mengambil inspirasi daripada bunga, daun, akar dan alam semula jadi lain, kesemuanya boleh ditemui dalam tekstil India, batik Malaysia dan sulaman kebaya.

Koleksi oleh Kebayaree juga pernah ditayangkan di Selangor Fashion Week dalam kolaborasi bersama Miss Malaysian Indian Global (MMIG).

Foto: Kebayaree

Vatsala Dipilih Sebagai Change-maker Dalam Tatler Asia’s Front & Female Awards 2025

Vatsala bukanlah sekadar seorang usahawanita, namun dia juga terkenal atas usaha advokasinya buat mangsa penderaan domestik.

Malah, dia turut dipilih sebagai finalis dan change maker dalam Tatler Asia’s Front & Female Awards 2025.

“Pengiktiragan ini bukan untuk saya sahaja, ia untuk setiap wanita yang berani bermimpi, membina dan mengangkat wanita lain dalam apa jua keadaan.

“Ia untuk mangsa yang mengubah kesakitan menjadi tujuan, untuk komuniti yang mencipta impak sebenar, dan untuk semua orang yang berusaha dalam mewujudkan masa depan yang lestari dan serata,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Butik ARLINA AYOU Pamer Rekaan Warisan Dalam Fesyen Moden


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd