Now Reading
Proton Juara: 25 Tahun Selepas Dilancarkan, Kini Kembali Diburu Peminat Kei Car

Proton Juara: 25 Tahun Selepas Dilancarkan, Kini Kembali Diburu Peminat Kei Car

Nama Proton Juara merupakan tanda penghormatan kepada atlet negara pada 22 Julai 2001.

In Brief
  • Proton Juara, dilancarkan pada 2001, kini diburu semula oleh peminat ekoran trend Kei Car yang semakin popular di Malaysia.
  • Dibangunkan bersama Mitsubishi Motors, Proton Juara menawarkan tiga baris tempat duduk dan enjin petrol 1.1 liter yang praktikal.
  • Harga Proton Juara di pasaran terpakai kini meningkat, dijual antara RM7,000 hingga RM20,000 berikutan permintaan yang semakin tinggi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak kebelakangan ini, semakin ramai pengguna kereta di Malaysia mula memilih Kei Car atau Econbox sebagai kenderaan harian mereka.

Namun, ramai yang mungkin terlupa bahawa Proton pernah menghasilkan sebuah kereta berbentu Kei Car lebih 25 tahun lalu.

Kereta itu tidak lain tidak bukan ialah Proton Juara, model yang sering disebut sebagai ‘peti sejuk bergerak’.

Menariknya, hari ini Proton Juara diburu ramai peminat kerana reka bentuk dan fungsi kereta tersebut.

Proton Juara Dilihat Sebagai Trendy Akibat Pengaruh Kei Car

Contoh Kei Car di Jepun. (Foto: Le Guide)

Menerusi satu perkongsian di laman forum, seorang pengguna menyatakan semakin ramai kini memilih model Kei Car seperti Honda N-Box sebagai kereta harian.

Kei Car atau nama sebenarnya Kei-Jidosha merupakan sebuah kelas kereta ultra-kompak unik kepada pasaran domestik Jepun.

Ia diperkenalkan oleh kerajaan Jepun pada tahun 1949 bagi meningkatkan pertumbuhan industri automotif negara itu.

Sejak Oktober 1998, undang-undang di Jepun menetapkan saiz panjang maksimum Kei Car adalah 3.4 meter, lebar 1.48 meter, ketinggian bawah 2.0 meter dan kapasiti enjin bawah 660 cc.

Berikutan saiz dan spesifikasi enjin yang terhad itu, pemiliknya menikmati kadar cukai serta insurans jauh lebih rendah, sekali gus menjadikan kos pemilikannya lebih murah.

Kebanyakan kawasan luar bandar Jepun, kereta ini turut dikecualikan daripada shako shōmeisho, iaitu sijil pemilikan ruang letak kereta wajib dikemukakan oleh pembeli sebelum membeli sesebuah kenderaan.

Maka, tidak hairanlah Kei Car menjadi pilihan utama sejak 1960-an daripada warga emas sehingga keluarga muda kerana harganya berpatutan serta mudah dibawa tanpa sebarang masalah.

Proton Juara Merupakan Percubaan Pertama Proton Dalam Pasaran MPV

Proton Juara. (Foto: @not4x4sale / Instagram)

Dihasilkan antara 2001 dan 2004, Proton Juara dilancarkan pada 22 Julai 2001 sebagai model pertama Proton yang bukan berbentuk sedan, hatchback ataupun coupe.

Juara telah dibangunkan hasil kerjasama di antara Proton dan Mitsubishi Motors sebagai model eksport bawah jenama Mitsubishi.

Disebabkan sambutan yang kurang memberangsangkan serta rekod jualan perlahan menyebabkan pengeluarannya ditamatkan lebih awal pada tahun 2004.

Lakaran awal prototaip Multi Purpose Vehicle (MPV) Proton Juara sudah wujud sejak 1990-an, ketika era-nya baru sahaja bermula.

Projek yang diberi kod nama Proton RGW, dimulakan pada penghujung tahun 1999, dibangunkan berasaskan platform Mitsubishi Town Box Wide.

Kerjasama itu dilakukan bagi mengurangkan kos kedua-dua buah syarikat dan Proton dikecualikan daripada membayar royalti manakala Mitsubishi pula dapat menjimatkan pengeluaran.

Selepas diumumkan kepada umum pada awal 2000, prototaip pertama siap menjelang bulan November sebelum pengeluaran bermula di kilang HICOM Automotive Manufacturers Malaysia di Pekan, Pahang.

Dilancarkan Oleh Tun Dr Mahathir, Nama ‘Juara’ Beri Penghormatan Kepada Atlet Negara

Proton Juara dari sisi tepi. (Foto: @nexus_carspots / Instagram)

Majlis pelancaran Proton Juara ketika itu turut dilancarkan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nama “Juara” dipersembahkan ketika hari pelancaran tersebut sebagai tanda penghormatan kepada barisan atlet sukan negara pada waktu itu.

Dibina sebagai sebuah kenderaan gaya hidup dan MPV mini, ia menawarkan tiga (3) baris tempat duduk boleh memuatkan enam (6) individu dalam satu masa bergantung pada susunannya.

Selain itu, tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dialih, ditanggalkan atau dilipat dengan mudah, menjadikannya sangat praktikal.

Dari segi prestasi, Proton Juara dikuasakan enjin petrol 1.1 liter Mitsubishi 4A31 S4 empat silinder yang menjana kuasa 71 kuasa kuda serta tork 94 Nm.

Ia hanya ditawarkan dengan transmisi automatik empat kelajuan, mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 18.1 saat dengan kelajuan maksimum 135 km/j.

Terdapat empat pilihan warna boleh dipilih iaitu kuning, perak, iridium dan hitam, lengkap dengan kombinasi dua ton pada bahagian bampar serta badan kereta.

Malangnya, reka bentuknya gagal mendapat sambutan pada waktu itu dan dianggap sebagai sebuah projek gagal.

Tetapi, keadaan hari ini pula berubah apabila ramai mula berebut untuk memiliki sebuah Kei Car dan beralih kepada Proton Juara kerana harganya lebih murah selain berstatus sebagai kereta nasional.

Ekoran trend itu, harga Proton Juara di pasaran terpakai turut meningkat, dengan unit paling murah dijual sekitar RM7,000 manakala yang paling mahal mencecah RM20,000.

Adakah Proton Juara Lahir Pada Era Yang Salah?

Akhirnya, apa yang dianggap sebagai kelemahan kini dilihat sebagai satu daya tarikan pula.

Reka bentuknya yang petak, pernah dilihat sebagai bahan gurauan. Kini, dilihat comel dan bergaya seiring dengan trend Kei Car hari ini.

Justeru itu, timbul persoalan sama yang bermain di fikiran. Sekiranya Proton Juara dilancarkan pada hari ini, adakah ramai orang akan cuba memilikinya?

Baca Artikel Berkaitan: Proton Pecah Rekod, Capai Jualan Domestik Bulanan Tertinggi Pada Ogos

Baca Artikel Berkaitan: Proton e.MAS Catat Dominasi Dalam Pasaran EV Malaysia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd