Minat Seni & Sejarah? Muzium Tekstil Merdeka Wajib Masuk Bucket List Anda
Terdapat lapan (8) galeri merangkumi Budaya Benda & Alam, Dunia Melayu Sejagat, Motif, Corak, Makna dan Simbol, Teknik dan Pertukangan, Kuasa dan Politik, Kesucian dan Kerohanian, Kesinambungan Tekstil, dan Masa Depan Tekstil.
- Muzium Tekstil Merdeka menawarkan lapan galeri berteraskan motif Bunga Pecah Lapan, meneroka evolusi tekstil Alam Melayu secara menyeluruh.
- Setiap koleksi tekstil di MTM menceritakan kisah perdagangan, perkahwinan, politik dan kehidupan budaya masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.
- MTM menggunakan teknologi digital dan augmented reality bagi menjadikan pengalaman pembelajaran warisan tekstil lebih menarik dan mudah difahami.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Di sebalik corak, warna, lipatan dan jahitan sehelai kain, tersimpan sebuah cerita tentang kuasa, perdagangan, perkahwinan, kepercayaan dan kehidupan budaya masyarakat Melayu satu ketika dahulu.
Kisah-kisah ini boleh dipelajari dan dilihat menerusi pameran tekstil Alam Melayu di Muzium Tekstil Merdeka (MTM), Presint Merdeka 118.
Terletak bersebelahan Stadium Merdeka, muzium ini menawarkan pengalaman menarik untuk mempelajari sejarah budaya Melayu menerusi sehelai kain.
Muzium Yang Dihasilkan Bagi Memelihara Kekayaan Tekstil Alam Melayu

MTM bukan sekadar tempat menyimpan dan mempamerkan koleksi kain tekstil lama.
Sebaliknya, ia membawa pengunjung menyelusuri dunia yang menjadikan tekstil sebagai sebahagian penting daripada identiti serta kehidupan masyarakat.
Malah, MTM berusaha keras untuk memelihara, mengkaji dan berkongsi kekayaan warisan tekstil Alam Melayu.
Ia juga menyimpan hasrat besar untuk menjadi muzium tekstil terkemuka di Asia dan pusat rujukan global bagi pengajian, penyelidikan dan penghayatannya.
Lapan Galeri Berteraskan Motif Bunga Pecah Lapan
MTM menampilkan lapan galeri berteraskan motif Bunga Pecah Lapan yang meneroka evolusi tekstil Alam Melayu.
Setiap galeri dicipta khas untuk merangkumi setiap aspek seperti budaya, bertukang, simbol, spiritualiti, politik, kesusasteraan serta masa depan tradisi kain tekstil.
Malah, setiap ruang disusun bukan sahaja untuk pengunjung menikmati keindahan tekstil, tetapi turut memahami teknik penghasilan, asal usul, sumber warna dan makna di sebalik sesuatu motif.
Bagi memudahkan penerangan, pihak muzium turut menggunakan skrin digital, visual, peta dan elemen interaktif, terutama bagi generasi muda.
Di samping itu, elemen bunyi dan bau turut digunakan pada bahagian tertentu bagi memberikan pengalaman lebih menyeluruh.
Pendekatan ini memperlihatkan bahawa tekstil bukan sekadar bahan menghasilkan pakaian, sebaliknya berkait rapat dengan alam, adat, kepercayaan, kedudukan sosial serta identiti masyarakat Melayu,
Tema The Malay World In Thread And Tales Bakal Mengubah Cara Kita Melihat Kain

MTM mahu mengubah cara kain tekstil dilihat, iaitu bukan sekadar artifak di sebalik kaca. Tetapi, mampu membawa kisah, fungsi, nilai dan sejarah masyarakat menghasilkannya.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV), Datuk Dr Izwan Ibrahim berkata penubuhan MTM merupakan antara komponen penting dalam pelan induk Presint Merdeka 118.
Menurutnya, kawasan itu sendiri dibangunkan sebagai sebuah destinasi bertaraf dunia berteraskan warisan negara.
“Lapan galeri itu merangkumi Budaya Benda dan Alam, Dunia Melayu Sejagat, Motif, Corak, Makna dan Simbol, Teknik dan Pertukangan, Kuasa dan Politik, Kesucian dan Kerohanian, Kesinambungan Tekstil, dan Masa Depan Tekstil.”
Tema The Malay World In Thread and Tales dipilih bagi mengubah persepsi terhadap tekstil yang lazimnya dilihat sebagai artifak.
“Kita biasa tengok kain atau tekstil ini sebagai artifak fizikal, tetapi sebenarnya setiap kain dari dulu sehingga sekarang ada peranannya.
“Tekstil pada suatu ketika itu memainkan peranan penting dalam perdagangan, perkahwinan, politik dan pentadbiran kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, pengunjung dapat melihat kain batik, chindai dan telepuk selain pelbagai kain lain dari Alam Melayu.
Beberapa Koleksi Istimewa Yang Akan Mencuri Perhatian
Antara koleksi istimewa yang boleh dilihat di MTM adalah, pakaian dikaitkan dengan legenda Kelantan, Siti Wan Kembang, membolehkan anda melihat nilai seni pada setiap lipatan, ukiran dan jahitan.
Bukan itu sahaja, MTM turut mempamerkan sehelai gaun diperbuat daripada rotan yang mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan.
Gaun itu dihasilkan menerusi kerjasama tukang kraf rotan daripada masyarakat etnik Penan di Kampung Sungai Tutoh, Baram, Sarawak bersama pereka fesyen tempatan, Melinda Looi.
MTM Berpotensi Jadi Ruang Untuk Belajar Dan Mendapat Inspirasi

MTM juga berpotensi untuk menjadi sebuah ruang serta sumber inspirasi kepada generasi muda mengenali warisan negara.
Usaha ini turut melengkapkan langkah PNB menghidupkan semula kawasan bersejarah di sekitar Presint Merdeka 118.
Antaranya termasuk Stadium Merdeka yang dipulihkan semula bagi mengembalikan suasananya seperti ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
“Kalau datang ke Presint Merdeka 118, bukan saja datang ke MTM, tetapi boleh singgah ke Stadium Merdeka dan nanti ke 118 Mall serta banyak lagi kemudahan yang akan dibuka,” kata Izwan.
Selain itu, beliau berkata pihaknya mahu MTM mencapai standard muzium bertaraf dunia bukan sahaja dari segi reka bentuk dan pembinaan, malah dari aspek kandungan, artifak, penceritaan serta pengalaman pengunjung.
“Kami menggabungkan media digital dan alat interaktif di seluruh muzium, termasuk pengalaman realiti (augmented reality),” jelas Izwan.
Menerusi pendekatan itu, Izwan berharap pengunjung dapat menghubungkan tradisi tekstil dengan identiti, kemahiran bertukang dan kisah dalam cara lebih dekat serta mudah difahami.
Baca Artikel Berkaitan: [Foto] Muzium Tekstil Merdeka Papar Koleksi Peribadi Tokoh Budayawan Negara Azah Aziz
Baca Artikel Berkaitan: Tikar Anyaman Dari Sabah Ini Dipamerkan Di Muzium Seni Prestij Di New York
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.