Now Reading
Kenapa Hallstatt, Austria Jadi Destinasi Ideal Baharu Untuk Orang Malaysia?

Kenapa Hallstatt, Austria Jadi Destinasi Ideal Baharu Untuk Orang Malaysia?

Hallstatt telah wujud sejak 7,000 tahun lalu kerana industri lombong garam sehingga diberi gelaran ’emas putih’.

In Brief
  • Hallstatt ialah perkampungan kecil di Austria yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan UNESCO dengan sejarah lebih 7,000 tahun.
  • Musim bunga antara April hingga Jun adalah waktu terbaik untuk melawat Hallstatt kerana suhu nyaman dan pelancong tidak ramai.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bercuti ke Eropah selalunya membawa ramai rakyat Malaysia ke lokasi popular seperti Paris dan London.

Hari ini, semakin ramai yang mula mencari destinasi lebih tenang dan santai untuk melarikan diri seketika daripada kesibukan bandar besar.

Salah satu mencuri perhatian ramai orang Malaysia ialah Hallstatt, sebuah perkampungan di Austria yang mempunyai kecantikan seperti dalam dunia fantasi.

Apa Yang Membuatkan Hallstatt Begitu Istimewa?

Hallstatt, Austria. (Foto: @izzudinpauzi)

Untuk info, Hallstatt adalah sebuah perkampungan kecil yang terkenal dengan pemandangan cukup menakjubkan kerana mempunyai gunung-ganang dan tasik untuk dinikmati.

Kecantikan ini sangat istimewa sehingga ia disenaraikan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi dan Budaya UNESCO.

Malah, perkampungan ini dipercayai telah wujud sejak 7,000 tahun lalu, satu sejarah cukup panjang.

Kampung ini berkait rapat dengan lombong garamnya, sehingga diberi gelaran emas putih kerana nilainya sangat mahal pada satu masa dahulu.

Disebabkan pemandangan cantik dan sejarahnya, Hallstat antara destinasi baharu ideal untuk anda yang inginkan percutian tenang, santai seperti Dolomites, Itali berbanding lokasi Eropah lain yang sentiasa sesak dengan pelancong.

Bagaimana Nak Sampai Ke Hallstatt?

Perjalanan ke Hallstatt tidak begitu sukar kerana terdapat banyak pilihan mengikut masa serta bajet

Menerusi perkongsian pengguna (@izzudinpauzi) di Threads, dia mengesyorkan perjalanan ke Hallstatt bermula di Salzburg menaiki kereta api atau bas.

Ini kerana tempoh perjalanan ke Hallstatt jauh lebih singkat berbanding dari Vienna dan anda turut berpeluang menikmati kecantikan bandar Salzburg.

Berikut adalah cara-cara untuk ke Hallstatt:

  • Bas: Ambil bas 150 dari Mirabellplatz di Salzburg menuju ke Bad Ischl yang mengambil masa hanya 1 jam 45 minit dengan harga bermula 11 Euro (RM51.76).
  • Kereta Api: Anda boleh membeli tiket menerusi laman web Austrian Railways atau mesin tiket di stesen Bad Ischl. Perjalanannya pula mengambil masa 20 minit sahaja dan harga tiket serendah 5 Euro (RM23).

6 Tempat Menarik Boleh Diterokai Di Hallstatt

Ini 6 tempat menarik yang boleh dinikmati sepanjang percutian anda di perkampungan Hallstatt.

#1. Mengambil Gambar di Kawasan Pemandangan Panoramik
Pemandangan di Hallstatt. (Foto: BBC)

Pertama sekali, jangan lupa singgah lokasi pemandangan ikonik ini yang lengkap dengan tasik, gunung serta gereja kecil di sebalik beberapa rumah penduduk Hallstatt.

Namun, datang pada awal pagi sebelum dibanjiri oleh pelancong lain kerana kawasan ini sangat popular untuk mengambil gambar.

#2. Menaiki Bot Di Tasik Hallstatt
Tasik Hallstatt. (Foto: Hallstatt.net)

Selain itu, anda juga boleh menaiki bot elektrik menyusuri tasik Hallstatt untuk melihat keseluruhan kawasan kampung ini dari sudut berbeza.

Suasananya tenang, santai dan romantik pasti menjadikannya memori indah untuk mengambil gambar mahupun kenangan sepanjang percutian anda.

#3. Menikmati Pemandangan Dari Atas Hallstatt
Kereta kabel ke Top of Hallstatt. (Foto: Salzwelten)

Ambil peluang untuk menaiki kereta kabel ke Top of Hallstatt bagi melihat sebuah pemandangan menakjubkan iaitu Banjaran Gunung Dachstein di Salzkammergut.

Selain itu, terdapat World Heritage Skywalk yang berada pada ketinggian 360 meter, memberikan anda pemandangan penuh seluruh perkampungan ini dari atas.

#4. Bersiar-siar Di Perkampungan Hallstatt
Bangunan di Hallstatt. (Foto: girlonzebra)

Selepas puas melihat pemandangan cantik, apa kata anda luangkan masa bersiar-siar menyusuri perkampungan ini.

Singgah di dataran utama untuk menikmati secawan kopi dan pastri panas sambil melihat rumah-rumah dihiasi penuh dengan bunga pasti membuatkan anda terasa seperti berada dalam dunia fantasi.

#5. Melawat Muzium Warisan Dunia Hallstatt
Muzium Warisan Dunia Hallstatt. (Foto: Hallstatt.net)

Bagi peminat sejarah pula, jangan lupa untuk singgah Muzium Warisan Dunia Hallstatt yang menyimpan pelbagai kisah merangkumi lebih 7,000 tahun sejarah perkampungan itu.

Antaranya termasuk perkembangan budaya dari Zaman Besi, peristiwa kebakaran besar pada tahun 1750 yang mengubah perkampungan Hallstatt, serta kisah dari zaman Illyria, Celt dan Rom.

#6. Berjalan Di Tepi Lake Promenade

Akhir sekali sebelum anda pulang semula ke Salzburg, ambil masa untuk berjalan di tepi Lake Promenade sambil menikmati angsa berenang dengan tenang dan melihat pantulan gunung di permukaan air seperti cermin.

Di sini, anda tidak memerlukan sebarang perancangan, cukup sekadar berjalan santai sambil menghirup udara segar.

Bila Masa Terbaik Untuk Melawat Hallstatt?

Memilih waktu yang sesuai juga mainkan peranan penting dalam memastikan percutian ke Hallstatt jadi lebih bermakna.

Musim bunga sekitar bulan April hingga Jun adalah waktu terbaik untuk singgah ke Hallstatt kerana suhunya yang nyaman (antara 10 hingga 20 darjah Celsius).

Tambahan pula, bilangan pelancong juga tidak begitu ramai berbanding musim panas memberikan anda peluang terbaik untuk mengambil gambar, menikmati pemandangan tanpa perlu berebut dengan orang ramai.

Selain itu, musim luruh sekitar bulan Oktober hingga November juga ideal kerana suhu lebih sejuk (antara 5 hingga 15 darjah Celsius) untuk melihat suasana alam sekitar berubah warna.

Inilah waktu ideal untuk mereka yang suka bersantai menikmati suasana alam sekitar atau ingin lari daripada kesibukan bandar ibu kota, Vienna.

View on Threads

Baca Artikel Berkaitan: Nak Bercuti Di Dolomites, Itali? Ini Panduan Lengkap Untuk First Timer

Baca Artikel Berkaitan: 7 Tempat Menarik Di Edinburgh Yang Wajib Masuk Bucket List Anda Sekarang!


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd