Now Reading
30 Tahun Filem Hari Kebangsaan PETRONAS, Jadi ‘Time Capsule’ Kisah Malaysia

30 Tahun Filem Hari Kebangsaan PETRONAS, Jadi ‘Time Capsule’ Kisah Malaysia

Filem-filem Petronas sering menjadi time capsule yang merakam kehidupan rakyat Malaysia.

In Brief
  • Selama 30 tahun, filem pendek Hari Kebangsaan PETRONAS merakam kehidupan seharian rakyat Malaysia, menjadi time capsule yang menyimpan kisah pelbagai generasi.
  • Filem terbaharu, Jangan Kau Kata, terinspirasi daripada puisi Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, meraikan nilai, tradisi dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kalau nak gambarkan Malaysia, mesti banyak benda yang terlintas di fikiran. Nasi lemak, balik kampung, Menara Berkembar Petronas, dan hmmm jerebu

Tapi bergantung pada hari juga, kadangkala rakyat Malaysia boleh jadi sangat relaks atau tiba-tiba kecoh satu negara.

Tapi ada satu lagi sisi Malaysia yang agak susah nak digambarkan.

Ia muncul dalam perkara-perkara kecil seperti bagaimana kita membesar, bagaimana keluarga meluangkan masa bersama pada hujung minggu, kawan-kawan yang kita kenali sepanjang hidup, perkara yang buat kita berjaga malam dan cara rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang belajar untuk hidup bersama.

Selama 30 Tahun, PETRONAS Secara Tidak Langsung Telah “Merakam” Banyak Sisi Ini Menerusi Filem-filem Pendek Hari Kebangsaan & Hari Malaysia Yang Dikeluarkan

Apa yang bermula sebagai filem untuk menaikkan semangat patriotik kini menjadi sesuatu yang lebih istimewa apabila kita melihatnya kembali.

Filem-filem ini seolah-olah menjadi time capsule kecil yang merakam kehidupan rakyat Malaysia, daripada momen-momen biasa hingga cerita yang mungkin sudah lama kita lupakan, tetapi terasa dekat semula apabila ditonton bertahun-tahun kemudian.

Malah, ada juga sesetengah cerita yang kekal dalam ingatan kita atas sebab yang sukar untuk dijelaskan.

30 Tahun Kisah Malaysia, Satu Filem Pada Satu Masa

Semuanya bermula dengan One Little Indian Boy pada tahun 1996, iaitu filem Hari Kebangsaan pertama PETRONAS.

Filem ini mengimbas kembali kisah Hari Kebangsaan menerusi memori zaman seorang kanak-kanak lelaki bersama arwah bapanya.

Daripada melihat sejarah sebagai satu peristiwa yang besar dan jauh, filem ini menunjukkan bagaimana satu detik penting boleh meninggalkan kesan yang kekal dalam hidup seseorang.

Kemudian hadir pula Letchumi & Rokiah pada tahun 2002.

Kisah ini mengikuti dua orang kanak-kanak perempuan yang membina persahabatan ketika mereka melalui pelbagai fasa kehidupan.

Sepanjang perjalanan itu, mereka berdepan dengan persahabatan, keluarga, cinta dan kehilangan. Hubungan mereka turut menunjukkan bagaimana satu persahabatan mampu menyatukan individu daripada latar belakang berbeza, walaupun kehidupan akhirnya membawa mereka ke arah yang berlainan.

Kemudian pada tahun 2007, muncul pula Tan Hong Ming.

Kalau anda membesar dengan menonton televisyen Malaysia pada waktu itu, besar kemungkinan anda masih ingat filem ini.

Ia menampilkan seorang kanak-kanak lelaki yang bercerita tentang perasaannya terhadap rakan sekolahnya, tanpa langsung menapis apa yang ada dalam fikirannya.

Kelakar, comel dan sangat jujur.

Namun apabila ditonton semula, kisah Tan Hong Ming sebenarnya memberikan satu peringatan yang cukup mudah, iaitu: kanak-kanak mungkin tidak melihat perbezaan yang selalunya orang dewasa nampak.

Lebih menarik, kita turut berpeluang melihat pasangan ini membesar dan kembali bertemu bertahun-tahun kemudian.

Pada tahun 2013 pula, Children merakam pelbagai sisi zaman kanak-kanak di Malaysia.

Filem ini menghimpunkan kisah kanak-kanak daripada latar belakang berbeza, memberikan gambaran tentang keluarga, kehidupan seharian, impian, cabaran serta nilai-nilai yang mereka pelajari ketika membesar.

Ini kerana, zaman kanak-kanak sememangnya meninggalkan kita lebih daripada sekadar memori.

Kita juga membawa bersama pelajaran, pengalaman dan sedikit sebanyak sifat daripada individu yang membentuk diri kita sehingga menjadi siapa kita pada hari ini.

Kemudian pada tahun 2019 pula, UNI ditayangkan.

Bagi ramai rakyat Malaysia, zaman universiti merupakan fasa di mana dunia mula terasa lebih luas.

Kita meninggalkan rumah, bertemu dengan orang dari tempat yang tidak pernah kita kunjungi, membina persahabatan dan perlahan-lahan cuba memahami siapa diri kita serta siapa yang kita mahu jadi.

Filem ini mengikuti dua orang pelajar, seorang dari Sabah dan seorang lagi dari Kedah ketika mana mereka melalui kehidupan di kampus bersama.

Walaupun pada mulanya mereka tidak begitu sependapat, di antara kelas, pertengkaran dan mi segera, satu persahabatan yang cukup indah mula terbentuk.

Satu Lagi Bab Dalam Kisah Malaysia

Kini, pada tahun 2026, PETRONAS menambah Jangan Kau Kata ke dalam koleksi filem Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia mereka.

Filem ini mendapat inspirasi daripada puisi berbahasa Inggeris berjudul Do Not Say, yang ditulis pada tahun 1972 oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh. Puisi tersebut kemudiannya diolah semula dalam Bahasa Melayu sebagai Jangan Kau Kata, dengan Muhammad sendiri menghidupkan kisah ini menerusi naratifnya.

Bagi yang mungkin kurang mengenali beliau, Muhammad Haji Salleh merupakan Sasterawan Negara Malaysia keenam yang dianugerahkan gelaran tersebut pada tahun 1991. 

Sepanjang kerjayanya, beliau juga telah menghasilkan lebih daripada 100 buku.

Sebahagian besar karya beliau menyentuh tentang identiti, budaya, tradisi serta bagaimana semua perkara ini bertembung dengan dunia yang sentiasa berubah. Dan itulah antara perkara yang menjadi nadi Jangan Kau Kata.

Seiring bait-bait sajak yang mengalun, filem ini membawa penonton menyusuri pelbagai sudut kehidupan, menampilkan detik-detik ihsan, ketabahan dan kebersamaan yang dikongsi oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang. 

Dari kota yang sibuk hinggalah ke desa yang damai, merentasi generasi, budaya dan komuniti, kita menyaksikan nilai-nilai murni, tradisi yang diwarisi, hubungan yang bermakna serta semangat saling membantu yang membentuk jati diri kita sebagai sebuah negara.

Mengikuti kehidupan dan momen-momen biasa, kelihatan ada keluarga yang meluangkan masa bersama, jiran yang saling membantu, individu yang cuba melalui hari-hari sukar dan banyak lagi momen kecil yang cukup dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia.

Pada masa yang sama, Jangan Kau Kata turut menyentuh perkara yang berada di sebalik momen-momen tersebut iaitu tradisi diwarisi, nilai yang kita pegang, usaha dan kerja keras yang dilakukan setiap hari, serta segala baik dan buruk dalam kehidupan di negara yang kita bina bersama ini.

Sebab Malaysia tidak pernah hanya mempunyai satu cerita.

Ia terdiri daripada jutaan manusia, tempat, kenangan dan pengalaman yang berlaku pada waktu yang sama. Dan Jangan Kau Kata menambah satu lagi bab kepada kisah kita yang masih belum selesai.

Jadi, Selamat Hari Merdeka dan Selamat Hari Malaysia, buat kita semua!


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd