Jenama Streetwear Dari Jepun Ini Bakal Buka Kedai Pertama Di KLCC
Ini merupakan kedai pertama NEIGHBORHOOD yang dibuka di Asia Tenggara.
- Jenama streetwear ikonik dari Jepun, NEIGHBORHOOD, bakal membuka kedai pertamanya di Asia Tenggara di Suria KLCC.
- NEIGHBORHOOD diasaskan oleh Shinsuke Takizawa pada tahun 1994, terinspirasi daripada budaya geng motosikal Amerika dan punk rock.
- Jenama ini dibawa masuk oleh Crossover, dan peminat berharap Shinsuke Takizawa hadir pada majlis pembukaan nanti.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Suasana fesyen streetwear di Malaysia dilihat semakin berkembang dengan kehadiran pelbagai jenama terkenal dari seluruh dunia.
Tidak lupa juga jenama tempatan yang menyumbang kepada populariti itu. Kini, tiba pula giliran salah sebuah jenama streetwear paling berpengaruh dari Jepun untuk menjejakkan kaki ke negara ini.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, jenama ikonik NEIGHBORHOOD dikatakan bakal membuka kedainya di Suria KLCC.
NEIGHBORHOOD Bakal Buka Kedai Pertama Di Asia Tenggara
Memetik perkongsian tersebut, pengguna bernama Rizal berkata, “Berita baik. NEIGHBORHOOD bakal buka di Suria KLCC. Ia merupakan sebuah jenama streetwear dari Jepun, sama seperti Carhatt.
“Outlet ini juga yang pertama di Asia Tenggara dibawa masuk oleh Crossover.”
Sebelum ini peminat jenama ini perlu pergi ke Crossover Concept Store untuk mendapatkan semua koleksi-koleksi baharu.
Oleh itu, kehadiran kedai fizikal pertama di Suria KLCC sudah tentu menjadi berita baik yang dinanti-nantikan oleh para peminat.
Malah, ada juga berharap agar pengasas NEIGHBORHOOD, Shinsuke Takizawa turut hadir pada majlis pembukaan nanti.
NEIGHBORHOOD Bermula Di Lorong Belakang Harajuku Pada Tahun 1990-an

NEIGHBORHOOD merupakan sebuah jenama streetwear Jepun yang mengambil inspirasi daripada sudut-sudut bandar Tokyo, Osaka yang lebih ‘gelap’.
Tempat lepak geng motosikal, pesta punk adalah ‘rumah’ kepada pengasasnya yang mengakui budaya itu menjadi sumber inspirasi NEIGHBORHOOD.
Bermula di lorong-lorong belakang Harajuku, Tokyo, iaitu daerah fesyen di Jepun pada tahun sekitar 1990-an.
Ia mula berkembang dan menjadi sebahagian daripada gerakan streetwear Jepun sama seperti BAPE, Undercover dan WTAPS.
Hari ini, NEIGHBORHOOD dilihat sebagai satu cult classic, dalam kalangan peminat fesyen.
Gaya Geng Motosikal Amerika Menjadi Inspirasi Utama
NEIGHBORHOOD juga lahir daripada obsesi Shinsuke terhadap komuniti geng motosikal di Amerika Syarikat.
Gaya klasik penunggang motosikal Amerika Syarikat itu dicampurkan bersama sentuhan elemen-elemen Jepun tersendiri.
Antara elemennya seperti jaket denim dihasilkan menggunakan kain selvedge Jepun sejak 25 tahun lalu, lengkap dengan motif tengkorak sebagai hiasan berwarna hitam.
Bagi Takizawa, ideanya datang daripada pelbagai sumber dari suasana hidupnya.
“Sumber idea saya sering datang daripada motosikal dan pakaian bekerja (workwear), tetapi saya juga dipengaruhi oleh muzik yang saya membesar dengannya termasuk pakaian vintaj”.
Idea ini dapat dilihat menerusi baju T-shirt dihasilkan oleh Shinsuke dengan slogan The Filth and The Fury, sebagai tanda penghormatan beliau kepada kumpulan punk terkenal, Sex Pistols.
Tambahan pula, Shinsuke turut mengekalkan unsur-unsur streetwear seperti moto Craft with pride pada baju T-shirtnya.
Beliau juga banyak mengekalkan motif hiasan seperti tengkorak, pedang, sarang labah-labah, cuban collar dan bandana diminati ramai.
Shinsuke Bermula Sebagai DJ Sebelum Mencipta NEIGHBORHOOD

Dilahirkan di wilayah Nagano, Jepun, Shinsuke sudah mempunyai minat mendalam kepada dunia fesyen sejak kecil lagi.
Pada awal 1980-an, beliau menyertai satu program pertukaran pelajar dan turut mengambil inspirasi daripada budaya punk rock di London ketika itu.
Apabila pulang semula ke Jepun, Shinsuke memasuki akademi fesyen sebelum berpindah ke Tokyo untuk menjadi DJ dan seorang penggaya.
Kemudian, beliau menyertai sebuah syarikat rakaman hip-hop bernama Major Force dan berkhidmat selama lapan tahun sehingga akhirnya menjadi pengarahnya.
Pada tahun 1994, Shinsuke meninggalkan Major Force untuk melancarkan jenama NEIGHBORHOOD dan Testu Nishiyama (pereka WTAPS), menyertainya sebagai pengarah kreatif.
NEIGHBORHOOD memainkan peranan penting dalam gerakan Ura-Harajuku atau Ura-Hara, membentuk wajah streetwear moden Jepun seperti yang dikenali hari ini.
Dari Majalah Fesyen Jepun Ke Pengiktirafan Global

Shinsuke telah berusaha untuk mengembangkan kehadiran NEIGHBORHOOD dengan membuka sebuah kedai flagship Shibuya. Malah, beliau juga mengambil peluang untuk meluaskan pengaruhnya di Tokyo dan Osaka.
Beberapa tahun kemudian, beliau turut membuka HOODS di Jepun dan luar negara iaitu, Hong Kong, Beijing dan Seoul.
Pada tahun 2007, NEIGHBORHOOD telah bekerjasama dengan jenama streetwear terkenal dari Amerika Syarikat, Supreme, mengukuhkan statusnya sebagai sebuah pengaruh besar dalam dunia fesyen.
Shinsuke turut menghasilkan beberapa koleksi lain seperti LUKER pada tahun 2009, mengambil inspirasi daripada budaya yang wujud di United Kingdom.
Baca Artikel Berkaitan: [EKSKLUSIF] Kenapa Kedai Streetwear Baharu Di Shah Alam Ini Menjadi Tumpuan Peminat Fesyen?
Baca Artikel Berkaitan: [EKSKLUSIF] Cultured By Todak: Jenama Yang Jadikan Gaming Sebagai Genre Fesyen Trendy
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.