Now Reading
[EKSKLUSIF] Tanpa Latar Belakang Kulinari, Usahawan Ini Berjaya Hasilkan Smash Burger Sedap Di Shah Alam

[EKSKLUSIF] Tanpa Latar Belakang Kulinari, Usahawan Ini Berjaya Hasilkan Smash Burger Sedap Di Shah Alam

Selain Smash Burgers, Afiq turut menghasilkan pakaian & aksesori trendy di bawah jenama Baogoods.

In Brief
  • Baofoods lahir daripada jenama pakaian Baogoods, selepas Afiq tidak berpuas hati dengan smash burger yang pernah dicuba sebelum ini.
  • Kemahiran memasak Afiq diwarisi daripada arwah ibunya, yang pernah menjual makanan di kantin sekolah dan kek pada bulan Ramadan.
  • Sos istimewa buatan sendiri menjadi keunikan Baofoods, membezakannya daripada pesaing lain dalam pasaran smash burger.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada masa kini, smash burger menjadi kegemaran ramai sebagai antara pilihan makanan yang sedap lagi mengenyangkan.

Di sebalik setiap smash burger dihasilkan, tersembunyi satu kisah menarik yang jarang diketahui oleh orang ramai.

Salah satunya ialah kisah Baofoods di Shah Alam, yang diusahakan oleh seorang usahawan muda dikenali sebagai Afiq Mansor bersama isterinya.

Baofoods Lahir Daripada Jenama Pakaian Baogoods

Baofoods. (Foto: Afiq Mansor)

Perjalanan Baofoods bermula daripada sebuah jenama pakaian bernama Baogoods yang telah bertahan lebih daripada enam tahun.

Menurut Afiq dalam satu temu bual eksklusif bersama TRP, kejayaan jenama itu mendorong mereka untuk mencuba nasib pula dalam bidang makanan dan minuman (F&B), sekali gus melahirkan Baofoods.

Idea untuk menjual smash burger tercetus secara tidak sengaja apabila Afiq sendiri kurang berpuas hati dengan smash burger yang pernah dicuba sebelum ini.

“Sebelum ini kami ada beberapa menu lain, dan sejujurnya saya sendiri tidak pernah mencuba smash burger. Selepas memesan dalam talian, rasanya kurang menepati selera saya, jadi saya dan isteri terfikir kenapa tidak cuba hasilkan smash burger guna resipi sendiri,” katanya.

Minat Mula Berkembang Setelah Pelanggan Mula Menghargai Smash Burger Ciptaan Sendiri

Pada mulanya, Afiq dan isterinya tidak sangka smash burger ciptaan mereka bakal menerima sambutan oleh para pelanggan setia.

Keyakinan mereka mula bertambah apabila pelanggan dari luar Shah Alam turut datang untuk menikmatinya di Baofoods.

“Apabila pelanggan kami di luar Shah Alam seperti di Subang turut gemar dan menghargai smash burger ciptaan Baofoods, di situlah kami sedar minat ini boleh berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar.”

Walaupun tidak melalukan penyelidikan secara formal, Afiq dan isterinya tetap berusaha menghasilkan sebuah resipi smash burger yang menepati cita rasa pelanggan menerusi pelbagai eksperimen.

“Kami tidak mempunyai format penyelidikan research & development (R&D) yang formal, sebaliknya lebih kepada mencuba serta bereksperimen mengikuti resipi dari Internet sambil memastikan ia menepati citarasa pelanggan kami di Baogoods.” tambah Afiq.

Kemahiran Memasak Afiq Diwarisi Daripada Arwah Ibunya

Smash burger yang dihasilkan oleh Afiq. (Foto: Afiq Mansor)

Bercakap tentang kemahirannya dalam bidang kulinari, Afiq sebenarnya membesar dalam sebuah keluarga yang mahir serta berpengalaman dalam bidang F&B.

Arwah ibunya merupakan insan pertama yang mengajarnya cara memasak sejak dari kecil.

“Saya dibesarkan dalam keluarga yang mahir dalam bidang F&B. Arwah ibu saya pernah menjual makanan di kantin sekolah dan kek pada bulan Ramadan, jadi dari situlah saya mula belajar,” ujarnya.

Selain itu, Afiq turut berkongsi bahawa cabaran terbesarnya bukanlah dari segi masakan, sebaliknya soal ketahanan mental.

“Cabaran yang sering saya hadapi adalah memastikan mental kekal kuat ketika berdepan ujian sukar seperti kurang pelanggan.”

Sos Istimewa Dihasilkan Menggunakan Resipi Sendiri Menjadi Keunikan Baofoods

Bahan-bahan smash burger yang dihasilkan oleh Afiq. (Foto: Afiq Mansor)

Antara rahsia di sebalik smash burger Baofoods ialah sos istimewa yang dihasilkan sendiri oleh Afiq.

Menurutnya, sos itulah yang menjadikan setiap smash burger mereka berbeza daripada pesaing lain dalam pasaran.

“Setiap smash burger mempunyai keunikan tersendiri menerusi sosnya, dan keunikan kami adalah menghasilkan sos tersendiri yang berbeza daripada lain.”

Tambahan pula, Afiq sempat berjenaka apabila ditanya cabaran dihadapi olehnya ketika menguruskan Baofoods yang jarang diketahui orang ramai, iaitu menjaga seekor kucing kesayangan para pelanggannya.

“Antara cabaran ramai tidak tahu adalah menjaga kucing yang menemani pelanggan kami, dikenali dengan nama manja iaitu, Yomei,” katanya.

Dalam masa sama, Afiq juga memastikan setiap smash burger di Baofoods dihasilkan secara konsisten dan menepati mutu kualiti ditetapkan demi menjaga kualiti serta citarasa pelanggannya.

Isteri Dan Doa Menjadi Kekuatan Afiq Ketika Berdepan Masalah

Di sebalik kejayaan yang dicapai olehnya, perjalanan Baofoods turut tidak lekang daripada saat-saat mencabar.

Namun, Afiq bersyukur kerana mampu mengharungi segalanya dengan penuh kesabaran.

“Buat masa ini, syukur Alhamdulillah, kami dapat mengharungi segalanya tanpa sebarang masalah besar.”

Baginya, sokongan orang tersayang serta doa menjadi tulang belakang membolehkan Afiq kekal kuat untuk terus bertahan.

“Isteri saya dan doa menjadi kekuatan saya untuk kekal bertahan ketika keadaan paling sukar,” tambahnya.

Malah, setiap kali melihat pelanggan datang menikmati hasil masakannya, Afiq mengakui dirinya terasa sangat bersyukur dan terharu.

Impian Afiq Untuk Bawa Baofoods Ke Peringkat Lebih Tinggi

Pelanggan yang mencuba smash burger di Baofoods. (Foto: Afiq Mansor)

Di sebalik senyuman dan semangatnya, Afiq turut menyimpan satu impian yang amat bermakna bagi arwah ibunya.

“Kalau boleh berpatah balik, saya ingin menunjukkan semula hasil ciptaan saya, iaitu Baogoods dan Baofoods, kepada arwah ibu saya.”

Di samping itu, Afiq turut menaruh impian besar untuk membawa Baofoods ke peringkat yang lebih tinggi.

“Impian kami adalah menjadi seperti rakan kami di Singapura yang mencipta kedai bernama Bad Habits, tetapi smash burger. Shout out kepada Addis dan Angelo,” katanya.

Afiq Kongsi Pesanan Bagi Anak Muda Yang Mempunyai Impian Sama

Sebagai seorang usahawan, Afiq turut berkongsi beberapa pesanan buat mereka yang ingin menceburi ke dalam dunia perniagaan F&B.

Menurutnya, kunci utama adalah memastikan bahan penting sentiasa mencukupi, termasuk perkara kecil yang sering ramai terlepas pandang.

Afiq turut berkongsi jika tidak menceburi dalam industri F&B, beliau akan terus menumpukan perhatian sepenuhnya kepada jenama pakaiannya, Baogoods.

Akhir sekali, Afiq turut meninggalkan pesanan kepada orang ramai terutama generasi muda supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan dengan kritikan orang lain.

“Semua orang dalam dunia ini adalah pengkritik. Apa yang kita boleh lakukan adalah kekal fokus, konsisten dan sentiasa menjaga disiplin,” ujarnya.

  • Lokasi: Jalan Tengku Ampuan Zabedah G 9/G, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor
  • Waktu Operasi: Buka setiap Selasa hingga Ahad dari pukul 5:30PM sehingga 11:00PM
View on Threads

Baca Artikel Berkaitan: [Eksklusif] Dari Sebuah Mesin Jahit Terpakai, Lahirnya Raw Denim House Yang Popular Hingga Ke Luar Negara

Baca Artikel Berkaitan: [EKSKLUSIF] Cultured By Todak: Jenama Yang Jadikan Gaming Sebagai Genre Fesyen Trendy


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd