Butik ARLINA AYOU Pamer Rekaan Warisan Dalam Fesyen Moden
Butik ARLINA AYOU di The Curve, Mutiara Damansara telah dilancarkan pada 26 Ogos 2026.
- Butik ARLINA AYOU kini dibuka di The Curve, Petaling Jaya, menawarkan koleksi RTW, Atelier, Couture dan Bridal.
- Jenama ini menggabungkan teknik batik, songket dan sulaman tradisional ke dalam rekaan fesyen moden yang memartabatkan warisan tekstil.
- Hampir tiga dekad dalam industri, ARLINA AYOU telah mewakili Malaysia di pentas fesyen antarabangsa termasuk London dan Abu Dhabi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
ARLINA AYOU adalah salah satu jenama lifestyle yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat fesyen di dalam negara.
Terkenal dengan rekaan batik dan songket, karya ARLINA AYOU menampilkan seni kraf tradisional yang disulam ke dalam gaya fesyen moden.
ARLINA AYOU mencatatkan detik bermakna apabila melancarkan butik di The Curve, Petaling Jaya pada Ogos lalu.
ARLINA AYOU Tampil Reka Bentuk Terpilih Di Pelancaran Butik The Curve
Pelancaran itu turut dimeriahkan lagi dengan pameran beberapa karya oleh pereka fesyen tersebut dengan acara utama persembahan fesyen yang menampilkan reka bentuk terpilih ARLINA AYOU.
Pameran ini memberi fokus terhadap penggunaan batik canting lukisan tangan, batik cap blok tangan, songket, tenun, sulaman dan manik.
Kesemua teknik ini mencerminkan pendekatan ARLINA AYOU dalam membawa seni kraf tekstil tradisional ke dalam fesyen moden sambil mengekalkan kemahiran dan makna di sebalik setiap ciptaan.

Reka Bentuk ARLINA AYOU Banyak Tampilkan Penggunaan Batik
Mengulas penggunaan batik dalam rekaannya, Pengasas dan Pengarah Kreatif ARLINA AYОU, Arlina Amdan berkata ia membawa makna yang besar sekadar hanya helaian kain, merangkumi sentuhan tangan, ketelitian, warisan serta kisah insan yang menghasilkannya.
“Setiap rekaan bermula daripada ilham dan gagasan saya, namun ia dihidupkan melalui kemahiran serta ketukangan para pengkarya yang saya bekerjasama dengannya.
“Butik ini menjadi ruang untuk saya mengangkat dan menghargai seni kraf mereka, di samping memperlihatkan bahawa batik bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi sebuah warisan yang terus berevolusi, berkembang dan diraikan dengan penuh kebanggaan dalam kehidupan masa kini,” katanya.
Tambahnya lagi, batik merupakan fesyen bertaraf tinggi yang sesuai untuk majlis perkahwinan, acara rasmi, sambutan perayaan serta pemakaian harian yang menggabungkan kepakaran tekstil serantau serta potongan moden.

Butik ARLINA AYOU Tawar Personalised Experience Buat Pelanggan
Bukan sekadar kedai semata-mata, butik ARLINA AYOU juga direka dengan suasana mesra tetamu yang membawa pelanggan untuk meneroka koleksi jenama, memahami pendekatan reka bentuknya, serta menikmati perkhidmatan yang diperibadikan.
Antara koleksi yang menghiasi butik ini termasuk Premium Ready-to-Wear (RTW), Atelier, Couture dan Bridal ARLINA AYOU.
Butik ARLINA AYOU turut menawarkan konsultasi gaya, temu janji peribadi, perkhidmatan ukuran khas dan konsultasi reka bentuk tersendiri (bespoke).

Hampir 3 Dekad Di Malaysia, Karya ARLINA AYOU Turut Dipamerkan Di Peringkat Global
ARLINA AYOU telah bertapak di dalam industri fesyen negara hampir tiga dekad, dengan setiap koleksi bermula dengan lakaran tangan Arlina sendiri.
Reka bentuk oleh Arlina ini kemudiannya direalisasikan menerusi projek penghasilan bersama tukang mahir dan pembuat pakar merentasi Pantai Timur, Selangor, Kuala Lumpur dan Malaysia Timur.
Proses penghasilan karya ARLINA AYOU bukanlah sesuatu yang remeh, tetapi boleh mengambil masa lebih 500 jam untuk disiapkan khususnya bagi ciptaan couture dan pengantin.
Sebelum ini, koleksi ARLINA AYOU turut menembusi pentas antarabangsa, mewakili Malaysia di platform fesyen dunia termasuk di Abu Dhabi, London, Belanda dan Jakarta, sekali gus membawa warisan tekstil Malaysia kepada khalayak global.
Menerusi koleksi ‘Modern Heritage’, ARLINA AYOU menampilkan songket dan batik Malaysia dengan rekaan siluet kontemporari, menghubungkan warisan dan reka bentuk kontemporari.
Dalam masa sama, Arlina turut berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa Malaysian Official Designers Association (MODA), menyokong usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi pereka fesyen tempatan serta memperkukuh komuniti reka bentuk tempatan.
ARLINA AYOU
- Alamat: The Curve, 147B Level 1, Jln PJU 7/3 , Mutiara Damansara, Petaling Jaya, 47800 Selangor
- Waktu Operasi: Setiap hari, 10am-10pm
- Laman Web: https://www.arlinaayou.com/
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.