Now Reading
Tikar Anyaman Dari Sabah Ini Dipamerkan Di Muzium Seni Prestij Di New York

Tikar Anyaman Dari Sabah Ini Dipamerkan Di Muzium Seni Prestij Di New York

Karya TIKAR/MEJA kini dipamerkan di Guggenheim, New York sehingga Januari 10 2027.

In Brief
  • Malaysian artist Yee I-Lann is showcasing her TIKAR/MEJA series, featuring 60 woven mats, at the prestigious Guggenheim Museum in New York.
  • The 60 mats were woven by the Bajau community in Sabah, predominantly women who inherited the craft through generations.
  • Each mat features an image of a table, symbolising colonial power and hierarchy, contrasting with the mat as a symbol of community equality.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Siapa sangka antara muzium berpengaruh yang terletak di Amerika Syarikat sedang mempamerkan hasil karya seorang artist Malaysia bernama, Yee I-Lann.

Beliau terkenal menerusi karya yang membincangkan tentang kuasa dan kesan penjajahan di Asia Tenggara, kini mempamerkan hasil kerjanya di Muzium Guggenheim, New York.

Siri TIKAR/MEJA yang menampilkan 60 helai tikar dianyam oleh orang Bajau di Sabah, boleh dilihat menerusi pameran Pop: 1960 to Now sehingga 10 Januari 2027.

Video Yang Dimuat Naik Oleh Muzium Guggenheim Menunjukkan Hasil Karya I-Lann

Menerusi video yang dimuat naik akaun rasmi Facebook Guggenheim itu, Esther Chao yang merupakan seorang konservator, dilihat memantau karya I-Lann sepanjang tempoh pameran berlangsung.

Tugasnya adalah memahami perubahan warna yang berlaku pada karya tersebut menerusi pendedahan serta cahaya.

Esther menggunakan sebuah spektrofotometer warna untuk mengukur daun pandan yang telah diwarnakan secara sintetik.

Alat tersebut membolehkan satu bacaan asas ditetapkan, sebelum sebarang perubahan direkodkan sepanjang karya itu dipamerkan.

Ini dapat membantu Esther dan pasukannya memahami dengan lebih jelas bagaimana cahaya serta masa akan memberi kesan kepada karya seni tersebut.

60 Helai Tikar Dianyam Oleh Komuniti Orang Bajau Di Sabah

TIKAR/MEJA dari Yee I-Lann. (Foto: Silverlens)

Menurut NGV, I-Lann telah bekerjasama dengan komuniti dari negeri Sabah di utara Borneo bagi menghasilkan 60 helai tikar tersebut.

Tikar tersebut dianyam oleh masyarakat Bajau, iaitu orang yang dari segi sejarahnya hidup secara nomad dan bergantung kepada hasil lautan.

Sebahagian daripada orang Bajau kini tinggal di rumah pelantar atas air, berhampiran perairan Pulau Omadal.

Majoriti yang ditugaskan untuk menganyam tikar tersebut terdiri daripada wanita yang mewarisi ilmu tersebut secara turun-temurun.

Setiap Imej Yang Dihasilkan Membawa Maksud Kepada Kuasa Dan Hierarki

Imej meja yang dianyam. (Foto: Guggenheim)

Menariknya, setiap satu daripada 60 helai tikar itu dianyam menghasilkan imej sebuah meja.

Meja tersebut melambangkan kuasa, kawalan pentadbiran yang bermaksud kepada kolonial, patriarki, persekutuan ataupun negeri.

Berbeza dengan meja, tikar adalah simbol yang mengutamakan nilai komuniti dan peranan wanita Bajau tanpa mengira status.

Tambahan pula, gambaran meja itu hanya wujud dalam ruang yang terhad. Apabila tikar itu digulung, imej berkenaan hilang daripada pandangan.

Malah, tikar ini dilihat sebagai ruang yang membolehkan perbualan, hubungan serta pemeliharaan warisan budaya masih boleh diteruskan.

Yee I-Lann Lihat Tikar Sebagai Tempat Semua Orang Duduk Sama Rata

Yee I-Lann (tengah) bersama orang Bajau. (Foto: sea focus)

Menurut Seafocus, I-Lann menjelaskan pandangannya terhadap karya tersebut.

“Saya melihat tikar sebagai platform untuk komuniti berkumpul, sebuah tempat semua orang boleh duduk bersama tanpa mengira status.”

Simbol tikar ini sengaja diletakkan secara bertentangan dengan simbol meja, iaitu elemen yang dibawa masuk ke Asia Tenggara menerusi kesan penjajahan.

Di mata I-Lann, meja bermaksud struktur kuasa pentadbiran dan kawalan patriarki yang kuat membentuk sistem hierarki sosial dengan mengangkat golongan tertentu dan merendahkan yang lain.

Selain Guggenheim, Karya I-Lann Turut Dipamerkan Di Serata Dunia

Untuk pengetahuan umum, Yee I-Lann dilahirkan pada 1971 di Kota Kinabalu.

Beliau dikenali sebagai seniman kontemporari yang menghasilkan pelbagai karya menerusi fotografi, kolaj, filem, anyaman serta objek harian.

Karyanya kerap membincangkan tentang soal kuasa, penjajahan dan neocolonialism di Asia Tenggara, sekali gus melihat kesannya kepada sosial masyarakat.

Sejak 2018, I-Lann telah bekerja bersama komuniti orang asal di Sabah untuk menghasilkan karyanya.

Selain Guggenheim, karya I-Lann turut dipamerkan di muzium sekitar Asia, Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.

Antara pameran hasil karyanya seperti:

  • Until We Hug Again (2021) di Centre for Heritage Arts & Textile, Hong Kong
  • Fluid World (2011) di Contemporary Art Centre of South Australia, Adelaide
  • Yee I-Lann: 2005 – 2016 (2016) di Muzium Ayala, Manila, Filipina

Pameran Pop: 1960 to Now Turut Menampilkan Karya 28 Seniman Yang Lain

Pamera Pop di Muzium Guggenheim. (Foto: Guggenheim)

Selain Yee I-Lann, pameran tersebut turut menampilkan karya daripada 28 seniman berbeza.

Antaranya adalah John Chamberlain, Chryssa, Jim Dine, Richard Hamilton, Yayoi Kusama, Roy Lichtenstein, Marta Minujín, Claes Oldenburg dan Coosje van Bruggen, Lucas Samaras serta Andy Warhol.

Pameran ini merupakan persembahan seni Pop pertama di sebuah muzium di New York.

Karya-karya lama yang dipamerkan semula menceritakan sejarah trend seni Pop sekitar tahun 1960-an yang melihat artist beralih kepada dunia pengiklanan dan media massa.

Pameran ini telah dibuka kepada orang awam sejak Jun 5 dan akan berlangsung sehingga 10 Januari 2027.

Baca Artikel Berkaitan: Ini 4 Karya Seni Terkait Skandal 1MDB Yang Bakal Diserahkan Ke Balai Seni Negara


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd