Kolaborasi Royal Selangor & MING Perkenal Jam Tangan Mewah, Muka Diperbuat Dari Piuter
MING 37.06 Royal Selangor terhad kepada 88 utas sahaja dan boleh didapatkan di butik Royal Selangor di Kuala Lumpur bermula 30 Julai lalu.
- Horologer MING dan Royal Selangor berkolaborasi menghasilkan jam tangan edisi terhad, MING 37.06, dengan muka diperbuat daripada piuter.
- Hanya 88 utas tersedia dengan harga bermula RM25,265, dan telah habis dijual di laman web rasmi MING.
- Kolaborasi ini mengambil masa hampir enam tahun untuk direalisasikan, dengan pengeluaran dilakukan di Malaysia buat kali pertama.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jam tangan mewah yang berkualiti tinggi serta-merta boleh membuatkan seseorang kelihatan lebih elegan dan classy.
Walaupun pembeli mungkin perlu menunggu dalam waiting list untuk mendapatkan jam tangan mewah, khususnya bagi model yang sukar diperoleh, namun kepuasan apabila dapat menjadi pemiliknya pasti terjamin.
Terbaharu, jenama jam tangan mewah, Horologer MING berkolaborasi bersama Royal Selangor dalam menghasilkan produk edisi terhad.
Baca Artikel Berkaitan: Baru Berjinak Dalam Dunia Jam Tangan? Ini 10 Jenama Wajib Anda Kenali
Baca Artikel Berkaitan: Nak Beli Jam Tangan Mewah Di Butik Tak Semudah Disangka, Ini Sebabnya
Royal Selangor & MING Hasilkan Jam Tangan Dengan Muka Piuter
Kolaborasi antara dua jenama tempatan itu menggabungkan penghasilan jam tangan kontemporari MING bersama kraf piuter dengan 141 tahun pengalaman oleh Royal Selangor.
Edisi yang dikenali sebagai MING 37.06 Royal Selangor itu tampil dengan muka jam menggunakan piuter yang diketuk dengan tangan (hammered pewter) bersama sarung siri-37 titanium gred-2 ‘all-brushed’.
Apa yang menarik perhatian adalah keseluruhan pengeluaran jam tangan MING itu akan dilakukan di Malaysia buat kali pertama, dengan kesemua komponen kecuali muka jam diterbangkan dari Switzerland.
Jam tangan MING 37.06 Royal Selangor dilengkapkan dengan tali kulit kambing Jean Rousseau berwarna biru-kelabu dan kotak piuter tempaan.

Hanya 88 Utas MING 37.06 Royal Selangor Tersedia, Harga Sekitar RM25,265
MING 37.06 Royal Selangor terhad kepada 88 utas sahaja dan boleh didapatkan di butik Royal Selangor di Kuala Lumpur bermula 30 Julai lalu.
Jam tangan mewah itu turut dijual dalam kuantiti terhad oleh MING bermula 6 Ogos, namun carian kami mendapati ia telah habis dijual di laman web rasminya.
Harga bagi jam tangan MING 37.06 Royal Selangor bermula pada 5,000 Franc (RM25,265).
Penghasilan MING 37.06 Royal Selangor Ambil Masa Hampir 6 Tahun
Menurut MING, kolaborasi itu terjalin menerusi satu sesi makan tengahari antara pengasas MING, Ming Thein dan Pengarah Urusan Royal Selangor, Datuk Yong Yoon Li di Kuala Lumpur.
Ini merupakan pertama kali MING menggunakan bahan piuter sebagai muka jam tangannya.
Katanya, piuter jarang digunakan dalam penghasilan jam tangan, namun berjaya mengangkat kualiti produknya itu.
Yong berkata MING 37.06 Royal Selangor dihasilkan oleh MING sendiri dengan menggunakan beberapa komponen piuter.
Mengambil masa hampir enam tahun untuk direalisasikan sejak perbincangan sebelum pandemik COVID-19, ia akhirnya dilancarkan secara rasmi pada 30 Julai lalu.
“Bukan kerana ia sukar untuk dihasilkan, tetapi kami hanya mahu melakukannya dengan penuh kesempurnaan.
“Kami terpaksa mengimbas lekuk-lekuk kecil ini, dan mengecilkannya, dan kemudian memprosesnya dengan sangat berhati-hati kepada ketebalan dan diameter yang sangat spesifik, supaya tukang jam di MING dapat menggabungkannya,” katanya dipetik Awani.
Royal Selangor & MING 2 Jenama Global Bermula Di Malaysia
Royal Selangor merupakan jenama tempatan yang tidak asing lagi dalam kalangan pencinta piuter dan barangan mewah.
Diasaskan di Kuala Lumpur pada 1885, Royal Selangor terkenal dengan seni ketukangan piuter terbesar di dunia.
MING pula merupakan jenama jam tangan yang diasaskan pada tahun 2017 oleh seorang pembuat jam tangan bebas.
Diasaskan oleh Ming Thien, yang juga merupakan seorang pereka dan jurugambar, MING terkenal kerana menggunakan sifat cahaya, bentuk dan warna dalam penghasilan jam tangannya.
Penghasilan dan pemasangan jam tangan MING dilakukan di fasilitinya di La Chaux-de-Fonds, Switzerland.
Namun reka bentuk, kejuruteraan dan kawalan kualiti peringkat akhir bagi kolaborasi ini dilakukan di Malaysia.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Tukar Jam Rolex RM236,000 Kepada Kad Pokémon, Kini Miliki Koleksi Hampir RM800,000!
Baca Artikel Berkaitan: Omega Seamaster 007 First Light: Jam James Bond Pertama Dari Permainan Video
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.