Now Reading
Jazeman Jaafar: Pelumba Malaysia Yang Menerima 2 Tawaran Untuk Berlumba Di F1

Jazeman Jaafar: Pelumba Malaysia Yang Menerima 2 Tawaran Untuk Berlumba Di F1

Jazeman pernah menerima anugerah Petronas International Racing Driver of the Year pada tahun 2019.

In Brief
  • Jazeman Jaafar menerima dua tawaran kerusi F1 pada 2015 daripada Force India dan Manor Racing untuk musim 2016.
  • Peluang ke F1 terlepas kerana kegagalan mendapatkan penaja bagi menanggung perbelanjaan sekitar RM63 juta setahun.
  • Jazeman kini aktif membangunkan bakat muda Malaysia melalui pelbagai program dan peranannya di Litar Antarabangsa Sepang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Impian untuk melihat seorang pelumba Malaysia berdiri di atas grid Formula 1 (F1) bukanlah cerita baharu.

Sebelum ini kita dapat melihat Alex Yoong yang menjadi pelumba F1 negara pertama. Namun, ramai tidak sedar sebenarnya kita pernah hampir mendapat pelumba kedua yang bernama Jazeman Jaafar.

Pada 2015, beliau telah menerima dua tawaran untuk menyertai F1 pada musim 2016, iaitu bersama Manor Grand Prix atau Force India (kini dikenali sebagai Aston Martin Racing).

Karier Jazeman Bermula Di Litar Karting Shah Alam Seawal Usia 6 Tahun

Jazeman Jaafar. (Foto: @jazemanjaafar/Instagram)

Kisah Jazeman bermula seawal usia 6 tahun, ketika beliau mula berlumba karting di Shah Alam, Selangor.

Menurut Tarmac Sports, bakatnya menonjol dengan cepat. Pada usia 13 tahun, Jazeman sudah pun diberikan kelonggaran khas oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk memegang Lesen Antarabangsa C membolehkannya bersaing dalam Formula Renault Asia.

Setahun kemudian, pada tahun 2007, Jazeman berjaya meraih gelaran juara paling muda dalam sejarah Formula BMW Asia.

Jazeman Jadi Rakyat Malaysia Pertama Menang Perlumbaan Formula 3 Euro Series

Jazeman Jaafar sedang berlumba. (Foto: Formula Scout)

Dengan sokongan Petronas di belakangnya, Jazeman mara ke British Formula 3 bersama pasukan Carlin.

Pada 2012, beliau mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama meraih kemenangan dalam Formula 3 Euro Series di Brands Hatch.

Kemenangan itu datang hanya seminggu selepas beliau menang di Pau, Perancis dalam siri British Formula 3.

Tambahan pula, Jazeman turut menduduki tempat kedua dalam siri kejuaraan tahun itu.

Kemuncak kariernya adalah pada tahun 2015, Jazeman berjaya menjuarai Formula Renault 3.5 World Series di litar ikonik Monaco.

Ketika itu, namanya diangkat sebagai prospek F1 paling cerah dari Asia Tenggara.

Lima Tahun Sebagai Pemandu Pembangunan Rasmi Mercedes-AMG PETRONAS

Jazeman sebagai pemandu pembangunan Mercedes PETRONAS. (Foto: DSF)

Di antara 2011 hingga 2015, Jazeman telah berkhidmat sebagai pemandu pembangunan rasmi pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1, di bawah Program Pembangunan Bakat Petronas.

Peranan itu membawanya melalui beberapa sesi ujian kereta F1, termasuk memandu di litar antarabangsa Silverstone.

Memetik semula laporan Tarmac Sport, pada tahun 2015, Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin telah menyatakan hasratnya supaya pihak kerajaan melabur dalam Jazeman bagi memastikan Malaysia memiliki semula pelumba F1.

Beliau berkata rakyat Malaysia mahu melihat seorang pelumba F1 tempatan di atas grid, sambil mengakui bahawa melahirkan seorang pelumba memerlukan pelaburan yang sangat besar.

Masalahnya Bukan Pada Bakat, Tetapi Pada Wang

Perkara yang ramai tidak sedar, Jazeman sebenarnya pernah ditawarkan kerusi F1.

Pada pertengahan tahun 2015, Jazeman telah ditawarkan dua kerusi untuk musim 2016 dengan pasukan yang menggunakan enjin Mercedes.

“Tawaran daripada Force India, dan satu lagi daripada Manor Racing yang enjinnya dibekalkan oleh Mercedes,” kata Jazeman.

Namun, di situlah masalah mula timbul.

Kerana seorang pelumba F1 ketika itu memerlukan perbelanjaan tahunan sekitar RM63 juta untuk membiayai satu musim penuh.

“Soal dana (funding) adalah kunci untuk merealisasikan impian tersebut,” tambah Jazeman.

Kontrak Itu Masih Tersimpan Di Rumahnya Sehingga Kini

Tawaran itu turut datang bersama pilihan untuk musim 2017.

Namun, gabungan tempoh masa ketat serta kegagalan untuk mendapatkan seorang penaja tertentu menyebabkan peluang itu terlepas.

Jazeman menceritakan kepada Tarmac Sport, bagaimana pasukan itu memberikan tawaran balas tidak lama selepas rundingan awal.

Malangnya, tempoh masa yang diperlukan untuk memuktamadkan perjanjian itu tidak dapat dipenuhi.

Jazeman turut menyatakan bahawa kontrak yang diterimanya masih tersimpan dalam timbunan surat di rumahnya sehingga kini.

Di samping itu, program pembangunan pelumba di bawah Petronas semakin berkurang seiring dengan perubahan strategi pasukan Mercedes-AMG PETRONAS.

Tambahan pula, bilangan kerusi F1 yang terhad dengan hanya 20 tempat duduk sahaja setiap musim.

Ini bermakna pelumba seperti Jazeman terpaksa bersaing dengan puluhan bakat lain dari serata dunia yang disokong oleh penaja besar.

Tanpa penaja yang mampu menampung perbelanjaan jutaan ringgit itu dalam tempoh diberikan, laluan rasminya ke F1 terpaksa ditutup buat selama-lamanya.

Jazeman Akhirnya Berpeluang Berlumba Menentang Bekas Pelumba F1, Tetapi Bukan Dalam F1

Jazeman dalam siri perlumbaan WEC. (Foto: Tarmac Sports)

Selepas itu, Jazeman menyalurkan bakatnya ke dalam sukan permotoran lumba jarak jauh atau endurance racing.

Beliau menyertai Akademi GT McLaren, sebelum berlumba untuk pasukan seperti HTP Motorsport dan Strakka Racing dalam Blancpain atau GT World Challenge.

Bersama Nabil Jeffri dan Weiron Tan, beliau menempa sejarah sebagai barisan rakyat Malaysia pertama meraih kemenangan dalam FIA World Endurance Championship (WEC), di pusingan Fuji pada 2018.

Beliau turut berlumba di Le Mans 24 Jam dan European Le Mans Series bersama Jota Racing, berpasangan dengan pelumba Indonesia, Sean Gelael.

Antara pencapaiannya adalah tempat ketiga di 4 Hours of Monza pada 2021.

Beliau ketika itu meluahkan rasa bersyukur kerana “berjaya meraih podium selepas bermula dari kedudukan ke-11.”

Selain itu, Jazeman berpeluang untuk berlumba menentang bekas pelumba F1 sebenar di litar seperti Le Mans di Perancis dan Spa di Belgium.

Bukan dalam F1 seperti diimpikan, tetapi dapat membuktikan bakatnya yang layak untuk bertanding.

Jazeman Kini Fokus Membina Laluan Untuk Bakat Muda

Untuk pengetahuan umum, pencapaian Jazeman dalam WEC membawa kepada anugerah Petronas International Racing Driver of the Year pada 2019.

Anugerah itu sekali gus melayakkan beliau ke Dewan Kemasyhuran Sukan Permotoran Malaysia.

Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Pengarah Lembaga Litar Antarabangsa Sepang oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Peranan itu masih disandangnya sehingga kini, sambil terus aktif berlumba termasuk dalam musim 2025 Super GT di Jepun.

Kini, tumpuan beliau banyak beralih kepada pembangunan bakat muda.

Memetik semula Tarmac Sports, beliau telah dilantik sebagai Penasihat Standard Pemanduan bagi Porsche Carrera Cup Asia.

Ia merupakan kesinambungan daripada penglibatannya menerajui Toyota Technical Apprentice Programme (TTAP), yang kini memasuki tahun kelima membimbing bakal juruteknik dan pelumba muda Malaysia.

Mungkin Jazeman tidak sempat berada di atas grid F1 seperti yang diimpikan ramai.

Namun laluan yang cuba dibinanya sekarang mungkin akan memberi peluang itu kepada orang lain, satu hari nanti.

Baca Artikel Berkaitan: Kemarau 9 Tahun Berakhir, Sepang Bakal Menganjurkan Perlumbaan F1 Pada Oktober 2026 | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Ketahui Sejarah Litar Antarabangsa Sepang, Litar F1 Paling Ikonik & Kebanggaan Malaysia | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd