Now Reading
Else Retreats: Hotel Staycation Romantik Di Kuala Lumpur, Hanya 4 Minit Dari Pasar Seni

Else Retreats: Hotel Staycation Romantik Di Kuala Lumpur, Hanya 4 Minit Dari Pasar Seni

Bangunan asal Else Retreats ini telah dibina pada tahun 1923 dan pernah menjadi bangunan tertinggi di Kuala Lumpur.

In Brief
  • Else Retreats, tersembunyi di Chinatown KL, menawarkan pengalaman staycation romantik dengan seni bina Art Deco bersejarah sejak 1923.
  • Terdapat enam pilihan bilik, termasuk Terrace Suite istimewa dengan teres sudut luas menghadap pemandangan panoramik Chinatown.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Cinta sedang berputik, dan anda sedang mencari satu percutian romantik pada hujung minggu ini untuk menikmati masa bersama.

Ibu kota Kuala Lumpur yang seolah tidak pernah tidur menawarkan pelbagai pengalaman menarik daripada kafe, gerai makan tepi jalan sehinggalah pameran seni menyeronokkan.

Jadi, tidak perlu fikir jauh kerana KL juga menawarkan pelbagai pilihan staycation menarik di tengah-tengah bandar.

Contohnya seperti, Else Retreats yang berdekatan dengan Pasar Seni mungkin akan menarik minat anda.

Else Retreats Tersembunyi Di Tengah-Tengah Chinatown Kuala Lumpur

Else Retreats. (Foto: Archify)

Tersembunyi dalam jantung Chinatown, Kuala Lumpur, Else Retreats menawarkan pengalaman hospitaliti yang tenang dan berbeza daripada tempat lain di KL.

Sebelum itu, sedikit sejarah mengenai Else Retreats, bangunan asalnya telah dibina pada tahun 1923 dan pernah menjadi bangunan tertinggi di Kuala Lumpur.

Menurut Archify, bangunan ini terdahulunya dikenali sebagai ibu pejabat Lee Rubber Company sekitar tahun 1930-an dan pernah juga berfungsi sebagai Ibu Pejabat Polis Rahsia Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Tambahan pula pada sekitar tahun 2000-an, bangunan itu turut menempatkan pejabat, pusat tuisyen serta kedai buku.

Selama 90 tahun, bangunan gaya Art Deco ini kekal sebagai mercu tanda terkenal di daerah bersejarah Chinatown, berdekatan Pasar Seni dengan bahagian hadapannya menghadap simpang utama kawasan tersebut.

Seni Bina Art Deco Menjadi Daya Tarikan Utama

Seni bina Art Deco dengan sentuhan brutalist. (Foto: Becoming Carmen)

Else Retreats tidak lupa akan sejarah bangunan tersebut turut memberi penghormatan kepada warisan seni bina Kuala Lumpur sambil menerapkan sentuhan moden.

Bahagian depan (facade) Art Deco dipelihara dengan baik sebagai peringatan kepada zaman penjajahan satu masa dahulu. Manakala di dalamnya, dinding konkrit dan batu digabungkan untuk menghasilkan rupa unik dengan kemasan kayu serta menampilkan karya seni tempatan.

Reka bentuk yang dihasilkan oleh Studio Bikin menghormati sejarah bangunan itu namun turut menyuntik suasana segar dan lapang, sekali gus mengajak tetamu untuk memperlahankan langkah dan menikmati persekitarannya.

Ketika berjalan di ruangan koridornya, anda dapat menikmati gabungan elemen lama dan baharu seperti permukaan tekstur dan perincian penuh teliti untuk mewujudkan ruang sangat intim.

Ia sebuah ruang sangat hidup tetapi cukup tenang, menepati konsep hospitaliti yang menjadi konsep Else Retreats.

Bahagian Lobi Yang Menjemput Tetamu Dengan Sentuhan Klasik & Moden

Sebaik melangkah masuk ke lobi Else, anda akan disambut dengan pelbagai tekstur dan warna yang seolah-olah menceritakan sejarah bangunan ini.

Dinding konkritnya yang bertekstur dan tidak sempurna berdiri contrast dengan perabot lembut mengajak anda untuk duduk dan berehat seketika.

Sofa yang berwarna panas serta kerusi lengan melengkung mewujudkan sudut tempat duduk cukup intim menjadi padanan sempurna dengan lantai batanya yang bercorak.

Dalam masa sama, cahaya semula jadi yang menembusi langsir nipis mencipta bayang-bayang halus pada bata serta panel kayu menghubungkan ruang itu terus ke Raw, iaitu restoran dalam Else.

Kolam Bumbung Menawarkan Pemandangan Panoramik Kuala Lumpur

Pemandangan di kolam renang. (Foto: Becoming Carmen)

Terletak di atas bangunan, kolam renang di sini mempamerkan kecantikan yang bersahaja menerusi lantai bata terakota serta pasu batu bertekstur memberikan rasa panas.

Menariknya, ruangnya terasa intim walaupun terbuka, dikelilingi tumbuhan hijau yang melembutkan menjadi tempat berehat yang tenang daripada kesibukan kota.

Selain itu, kawasan ini menawarkan pemandangan panoramik kota Kuala Lumpur, dengan Menara KL yang ikonik membentuk latar berubah mengikut cahaya dari pagi hingga petang.

Di sinilah anda boleh menghilangkan penat lelah, ataupun berbaring santai di atas daybed lembut sambil menikmati pemandangan kota.

Ruang Santai Dan Perpustakaan Beri Suasana Yang Tenang

Ruang perpustakaan di Else Retreats. (Foto: Becoming Carmen)

Ruang santai dan ruang kongsi di Else mengimbangi dengan baik antara daya tarikan industrial yang bersahaja dengan keselesaan menyenangkan.

Sofa baldu empuk berwarna hangat serta permukaan marmar yang licin mewujudkan sudut intim untuk berbual-bual dengan tenang.

Perpustakaannya pula dipenuhi kayu gelap dengan koleksi buku dan artifak terpilih yang mencerminkan budaya tempatan, menjadikannya sebuah ruang memberi inspirasi kepada tetamu untuk menikmati saat-saat tenang.

Enam Pilihan Bilik Termasuk Terrace Suite Buat Pasangan

Rupa bahagian dalam Urban Room. (Foto: Becoming Carmen)

Untuk pengetahuan anda, terdapat enam pilihan bilik yang boleh dipilih di Else Retreats.

Antaranya ialah Mantra Room, Urban Room, Sanctuary Suite, Sutera Suite, Terrace Suite serta Else Suite.

Menurut Becoming Carmen, pengalaman menginapnya di Urban Room merupakan sesuatu yang berbeza, dengan warna dan kemasan biliknya mewujudkan suasana tenang, lengkap dengan katil lembut menjanjikan tidur lena.

Selain itu, susun aturnya turut mengimbangi bentuk dan fungsi, dengan kerusi chaise yang selesa serta meja sisi hitam minimalis, sesuai untuk anda bersantai sambil membaca buku.

Namun, bagi anda yang ingin meraikan sesuatu lebih istimewa bersama orang tersayang, Terrace Suite merupakan satu naik taraf berbaloi untuk dipertimbangkan.

Suite ini dibina sebagai sambungan ke atas bangunan asal, terletak di aras lebih tinggi daripada kolam bumbung, lengkap dengan bahagian teres sudut luas serta tingkap keliling menghadap Chinatown.

Else Retreat menggabungkan keselesaan di dalam dan ketenangan luaran menjadi pilihan sempurna untuk menikmati staycation romantik bersama pasangan di hujung minggu.

Anda berdua dapat menikmati pagi yang santai sambil melihat pemandangan ibu kota yang begitu menakjubkan.

Else Retreat

Lokasi: 145, Jalan Tun H S Lee, City Centre, 50000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Instagram: @elseretreats

Baca Artikel Berkaitan: [Foto] Semalaman Di The RuMa Kuala Lumpur, Hotel Bertaraf MICHELIN Key Yang Semakin Popular | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Bekas Kuarters Pekerja Sejak Tahun 1904, Kini Berubah Menjadi Salah Satu Hotel Cantik Di Pulau Pinang | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd