Nak Bercuti Di Dolomites, Itali? Ini Panduan Lengkap Untuk First Timer
Dolomites merupakan kawasan yang diiktiraf dari UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.
- Dolomites terletak di utara Itali dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dengan pemandangan banjaran gunung yang menakjubkan.
- Cara terbaik ke Dolomites ialah terbang ke Venice atau Milan, kemudian menyewa kereta kecil automatik untuk bergerak di sana.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pempengaruh terkenal, Khairul Aming telah mengumumkan produk barunya, Sambal Nyet Bilis akan mula dijual pada minggu ini.
Menariknya, lima pembeli terawal produk ini berpeluang memenangi percutian ke Dolomites, Itali bersamanya pada bulan 10 nanti.
Percutian tersebut dijadualkan bermula di Venice sebelum bergerak ke Dolomites yang terkenal dengan pemandangan banjaran gunung menakjubkan.
Namun, jika anda tidak berjaya menangis giveaway tersebut dan teringin nak pergi ke Dolomites secara sendiri. Jangan risau! Sebab team TRPBM akan sediakan guide ke sana untuk first timer seperti anda.
Dolomites Ni Sebenarnya Terletak Dekat Mana?

Dolomites merupakan sebuah kawasan banjaran gunung di utara Itali yang terletak berdekatan dengan sempadan Austria.
Menariknya, banjaran ini terbentang merentasi beberapa wilayah seperti Trentino-Alto Adige, South Tyrol dan Veneto.
Kawasan ini juga tidak seperti bahagian Itali lain kerana ia mempunyai gabungan budaya dipengaruhi oleh Itali, Jerman dan Austria.
Malah, anda akan perasan kebanyakan papan tanda di sini ditulis dalam bahasa Jerman berbanding bahasa Itali.
Oleh itu, menikmati percutian di sini adalah satu pengembaraan yang sukar dilupakan!
Dolomites Juga Diiktiraf Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

Dolomites bukan sahaja cantik, malah turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Salah satu daya tarikan utamanya ialah pemandangan yang pelbagai serta unik, sehingga dalam satu perjalanan, anda boleh menikmati perubahan landskap begitu banyak.
Antaranya, puncak batu kapur yang tinggi dan tajam di Tre Cime di Lavaredo, serta padang rumput alpine dihiasi pondok gunung menawan di Alpe di Siusi.
Selain itu, terdapat juga tasik alpine berwarna biru kehijauan di Lago di Braies, barisan puncak gunung menakjubkan seperti Seceda, serta beberapa rumah kampung cantik kaya dengan warisan budaya Itali serta Austria.
Sebab itu Dolomites sering digambarkan sebagai syurga bagi pencinta alam yang pasti akan meninggalkan kenangan manis dalam hidup anda.
Bagaimana Nak Ke Dolomites?
Cara paling mudah sudah tentulah dengan menaiki kapal terbang tetapi perlu diingatkan kawasan ini agak terpencil kerana hanya ada sebuah lapangan terbang kecil di Bolzano (BZO).
Disebabkan itu, ramai memilih untuk terbang ke lapangan terbang lebih besar dengan pelbagai pilihan penerbangan, seperti Lapangan Terbang Marco Polo di Venice, sebelum memandu ke Dolomites.
Jika tidak berminat untuk ke Venice, anda juga boleh mulakan perjalanan dari Milan, Innsbruck, Verona atau Munich. Paling penting asalkan sampai ke Dolomites.
Berikut adalah anggaran masa memandu ke Dolomites dari lapangan terbang terdekat:
- Innsbruck: 1 jam 45 minit
- Venice: 2 jam
- Verona: 2 jam
- Milan: 3.5 jam
- Munich: 3.5 atau 4.5 jam
Sudah Sampai Di Dolomites, Bagaimana Anda Ingin Bersiar-siar?

Terdapat sistem pengangkutan awam di sini, namun perkhidmatannya agak terhad dan lebih mudah anda menyewa kereta untuk bergerak di sini.
Pengalaman memandu di sini sangat menarik kerana laluan bergunung-ganang dan selekoh tajam bakal membuatkan anda terasa seperti seorang pemandu Formula 1 sambil menikmati pemandangan indah.
Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ambil perhatian ketika memandu di sini.
Antaranya, jika anda mudah mabuk kereta, bawa ubat siap-siap kerana jalan di sini dipenuhi dengan selekoh tajam.
Pilih kereta sewa yang kecil serta automatik, kerana kebanyakan jalan di Dolomites sangat sempit dan hanya muat untuk sebuah kereta sahaja.
Elakkan memandu pada waktu malam jika boleh, kerana sesetengah jalan di sini sangat bahaya disebabkan lorong sempit, selekoh tajam serta kurang cahaya.
Tidak lupa juga, kampung-kampung kecil ini selalunya ada kamera laju untuk memastikan anda mematuhi had laju yang telah ditetapkan.
Bila Masa Terbaik Untuk Melawat Dolomites?

Memilih waktu juga memainkan peranan penting dalam menentukan pengalaman percutian anda di sini.
Musim panas antara Jun hingga September merupakan waktu terbaik tetapi ia akan dipenuhi dengan pelancong lain.
Sebaliknya, kami rekomen untuk melawat Dolomites ketika musim luruh sekitar akhir September hingga Oktober kerana kurang sesak sedikit.
Ia juga menawarkan pemandangan menakjubkan dipenuhi dengan daun luruh, warna coklat dan oren. Tetapi, perlu diingatkan bahawa cuacanya agak sejuk pada masa ini.
Akhir sekali, jangan tergesa-gesa ketika melawat Dolomites kerana kawasannya sangat luas serta pelbagai, jadi disarankan untuk anda menginap selama 2 hingga 3 hari supaya tidak terasa tergesa-gesa untuk menikmatinya.
Baca Artikel Berkaitan: 7 Tempat Menarik Di Edinburgh Yang Wajib Masuk Bucket List Anda Sekarang! | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Trend ‘Short Getaway’ Semakin Digemari Oleh Rakyat Malaysia Sepanjang Tahun Ini | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.