KLFW 2026 Kembali Dengan Koleksi Fesyen Terbaharu, Ini Apa Yang Menanti Di Esplanade KLCC
Orang ramai turut berpeluang menyaksikan persembahan runway KLFW 2026 menerusi skrin LED yang dipasang di luar lokasi.
- KLFW 2026 berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos di Esplanade, KLCC Park, menghimpunkan lebih 50 pereka dan jenama tempatan.
- Selain runway, pengunjung boleh menikmati pameran, pop-up jenama tempatan dan aktiviti fesyen di sekitar Suria KLCC.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) merupakan acara fesyen tahunan yang mempamerkan bakat-bakat tempatan dan antarabangsa menerusi rekaan pakaian mereka.
Pada tahun ini, KLFW 2026 kembali dari 3 hingga 9 Ogos, bertempat di Esplanade, KLCC Park yang mengumpulkan lebih 50 pereka dan jenama tempatan bagi meraikan industri fesyen tanah air.
Bertemakan ‘Destination: Home Ground’, KLFW edisi ke-14 ini meraikan kreativiti Malaysia dengan barisan pereka terkemuka, bakat baharu dan kolaborasi merentas industri.
KLFW 2026 Kumpul Nama Terkenal & Bakat Baharu Dalam Industri Fesyen Tempatan
Seperti tahun-tahun sebelumnya, KLFW 2026 meneruskan misinya dalam mengangkat martabat bakat tempatan dengan mengumpulkan nama-nama yang tidak asing lagi dalam industri fesyen dan pereka baharu di satu pentas sama.
Antara peserta kali pertama termasuk PLAZÄ, NanaLyana, Inisaya oleh Jeffery Goh, EMRI, dan 99%ANGEL, yang menyertai barisan pereka terkenal seperti Rizman Ruzaini, Fiziwoo dan Hatta Dolmat.
Barisan pereka yang pelbagai ini mencerminkan kedalaman dan kepelbagaian landskap fesyen di Malaysia.

Walaupun persembahan di pentas runway dikhaskan bagi tetamu jemputan sahaja, namun peminat fesyen masih boleh merasai sendiri pengalaman di KLFW.
Persembahan runway pada kali ini ditontonkan secara langsung menerusi skrin LED yang dipasang di luar lokasi di Esplanade, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk sama-sama menyaksikan koleksi terbaharu oleh barisan pereka tanah air.
KLFW 2026 Tawar Acara Sampingan Buat Orang Ramai
Dalam masa sama, kawasan di sekitar KLCC turut dimeriahkan lagi dengan acara-acara lain yang meraikan kreativiti Malaysia. Tak dilupakan juga para hadirin yang bergaya dengan pakaian masing-masing!
Selain menyaksikan kehebatan pereka-pereka tempatan di pentas runway, pengunjung juga boleh terlibat dengan activation berfokuskan fesyen yang dijalankan di sekitar Suria KLCC.
Bukan sahaja mempamerkan catwalk, KLFW kali ini menyediakan pelbagai aktiviti termasuk pameran styling oleh pelajar fesyen, pameran visual dan pop-up yang menonjolkan jenama tempatan.
Salah satu pop-up yang wajar diberi perhatian ialah KLFW x ISETAN KLCC Pop-Up yang memperkenalkan produk dari 18 jenama tempatan.
Kolaborasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam inisiatif ‘Jom Beli Produk Malaysia’ ini bertujuan untuk meraikan dan menyokong jenama tanah air.
Mereka yang bercadang untuk berkunjung ke KLFW 2026 boleh menyemak jadual fashion show dan mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web rasmi [DI SINI] atau laman sosial medianya.
Masih berbaki lima hari, KLFW 2026 menjanjikan peluang untuk pengunjung mengenali bakat baharu, meraikan industri fesyen tempatan dan merasai sendiri pengalaman di acara fesyen tahunan terbesar negara.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.