Now Reading
[EKSKLUSIF] Reda Coffee x KPB: Kolaborasi 2 Jenama Demi Angkat Martabat Seni Tempatan

[EKSKLUSIF] Reda Coffee x KPB: Kolaborasi 2 Jenama Demi Angkat Martabat Seni Tempatan

Pengasas Reda Coffee, Mosyuki Borhan, dan pengasas Kitchen Pintu Belakang, Nawfal Zamri, merupakan dua nama yang dikenali dalam industri penulisan dan teater tanah air.

In Brief
  • Reda Coffee dan Kitchen Pintu Belakang berkolaborasi membuka kafe Kedai.KL, berkongsi nilai dalam mewujudkan ruang yang hangat dan berasaskan komuniti.
  • Kafe ini memperjuangkan seni tempatan dengan menganjurkan acara-acara kebudayaan berskala kecil serta menawarkan ruangnya secara percuma bagi artis tempatan yang baru mula menempa nama.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Minuman kopi kini menjadi sebahagian daripada lifestyle di dalam negara. Sama ada di kafe persendirian, cawangan kopi popular mahupun restoran, secangkir kopi pasti akan membangkitkan rasa nyaman dan tenang.

Buat Reda Coffee, minuman itu jugalah yang menjadi penghubung sesama umat manusia dalam sesebuah komuniti tanpa mengira bangsa mahupun latar belakang.

Mula dibuka di Kedai.KL sejak Julai lalu, Reda Coffee menjadi salah satu kafe yang terkenal dalam kalangan penggiat seni indie khususnya di Kuala Lumpur.

Manakan tidak, kafe itu sendiri diasaskan oleh penulis, Mosyuki Borhan, yang telah menempa nama dalam industri penulisan sejak sekian lama.

Ruang Seni Jadi Penemuan Yang Membawa Kepada Reda Coffee x KPB

Merupakan cawangan ketiga yang dibuka selepas dua cawangan pertamanya ditutup, Reda Coffee pada kali ini turut membina kolaborasi bersama Kitchen Pintu Belakang (KPB).

Kolaborasi ini wujud hasil hubungan yang terjalin antara Mosyuki dan pengasas KPB, Nawfal Zamri ketika bersama-sama berkecimpung dalam pentas teater sekitar tahun 2022.

Persahabatan sekian lama itu sekali gus menjadi asas kepada kepercayaan antara kedua-dua pengasas itu sebelum mengambil keputusan untuk berkolaborasi di satu lokasi.

“Reda Coffee lahir daripada keinginan untuk mewujudkan sebuah ruang yang bukan sekadar menjual kopi, tetapi menjadi tempat orang berhenti seketika, bernafas dan berkongsi cerita.

“Kitchen Pintu Belakang pula membawa semangat makanan yang jujur, sederhana dan dekat dengan kehidupan seharian. Apabila kedua-dua idea ini bertemu, kami sedar bahawa kami sebenarnya berkongsi nilai yang sama walaupun bergerak dalam jenama yang berbeza,” ujar Nawfal.

Bukan Kali Pertama Buka Kafe, Ini Perjalanan Ringkas Reda Coffee & KPB

Pembukaan kafe di Kedai.KL ini merupakan babak baharu buat kedua-dua Reda Coffee dan KPB yang bukanlah nama baharu dalam bidang F&B di sekitar Lembah Klang.

Bercakap kepada TRP, Mosyuki berkata dia mula melibatkan diri dalam industri F&B sejak pandemik yang tercetus pada tahun 2020 apabila kehilangan pekerjaan dalam bidang penerbangan.

“Pada tahun itu, saya menubuhkan kafe DOS di Shah Alam bersama seorang rakan, juga dari latar belakang penerbangan. Saya memilih untuk mengusahakan kafe kerana ketika pandemik, perniagaan F&B antara yang kurang terjejas,” katanya.

Namun bermula pada tahun 2023, Mosyuki mula bergerak secara solo dan menubuhkan Reda Coffee dengan matlamat untuk menyediakan ruang pertemuan serta ruang idea bagi rakan-rakan seni.

Reda Coffee pada mulanya bertapak di Shah Alam, sebelum cawangan seterusnya beroperasi di Setapak dari 2023 hingga awal tahun ini.

Kini, Mosyuki mengambil keputusan untuk memberi fokus terhadap satu kafe sahaja dan Kedai.KL menjadi lokasi pilihan kerana terletak di tengah-tengah antara Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, Kopi Pintu Belakang (sebelum dijenamakan semula menjadi Kitchen Pintu Belakang) yang pada mulanya beroperasi di sebuah rumah di Seksyen 17, Petaling Jaya, menutup pintunya pada tahun 2024.

Mengulas mengenai pemilihan lokasi, Mosyuki berkata Kedai.KL turut dikenali sebagai lokasi acara seni di ibu negara. Perkara ini sekali gus membantu perancangan mereka dalam menganjurkan event tersendiri pada masa akan datang.

Foto: Sharifah/ TRP

Ada Apa Di Sebalik Nama ‘Reda’ & ‘Pintu Belakang’?

Seperti namanya, ‘Reda’ membawa maksud aman, tenang dan tenteram, suasana yang mahu dibawa di kafe kecil itu.

Pengunjung ke kafe tersebut juga akan disambut dengan patung-patung alpaka. Turut digunakan dalam reka bentuk logo Reda Coffee, Mosyuki berkata alpaka menjadi simbol ketenangan yang ingin ditawarkan

“Kami memilih alpaka sebagai ikon kerana selain sifatnya yang tenang dan comel dan boleh hidup bersama komuniti haiwan yang pelbagai. Sifat ini adalah refleksi falsafah Reda yang ingin menyediakan ruang selesa untuk semua orang meskipun tidak mengenali antara satu sama lain,” jelasnya.

Foto: Sharifah/ TRP

Manakala nama ‘Pintu Belakang’ pula lahir daripada ruang pertama yang diusahakan oleh Nawfal, di mana pengunjung memasuki ke kafe melalui pintu belakang rumah.

Jelas Nawfal lagi, ‘Pintu Belakang’ dari sudut falsafah pula melambangkan sebuah ruang yang lebih intim, santai dan jujur, lazimnya sering digunakan oleh keluarga dan sahabat rapat.

“Kami selalu sahaja berkata yang masing-masing susah untuk bertandang ke kafe satu sama lain. Saya anggap perbualan awal kami tentang bagaimana kami ingin datang ke kafe masing-masing, adalah sebuah doa, hingga kami tergabung hari ini,” Mosyuki mengulas kolaborasi yang terjalin antara mereka.

Reda Coffee Tampil Dengan Minuman Unik, Nama Minuman Angkat Martabat Bahasa Melayu

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Reda Coffee, terasa ambience yang tenang dengan aroma kopi harum dan bau enak dari open kitchen KPB.

Di Kedai.KL, Reda Coffee memberi tumpuan terhadap penghasilan minuman dan pastri, manakala KPB menyediakan makanan panas buat pengunjung.

Walaupun merupakan dua entiti berbeza, namun mereka membawa visi yang sama, iaitu untuk menyediakan ruang yang selesa bagi komuniti yang hadir untuk saling berkongsi idea di samping menikmati kehangatan kopi.

Foto: Sharifah/ TRP

“Kami bukan sekadar menjual kopi dan makanan. Kami mencipta ruang di mana idea berkembang, persahabatan terjalin dan setiap kunjungan memberikan pengalaman yang ingin diulangi,” kata Mosyuki dan Nawfal.

Dalam mengekalkan identiti sebagai sebuah hab budaya, Reda Coffee membawa kelainan berbanding kebanyakan kafe lain dengan siri minumannya diberi nama unik dalam Bahasa Melayu.

Menu minuman juga dihasilkan mengikut citarasa tempatan dengan olahan unik Mosyuki sendiri, seperti:

  • Kopi Reda – Gabungan kopi latte dan susu pekat, sensasi kopi kampung dengan biji kopi import.
  • Kopi Gula Apong – Menggunakan sari gula apong asli Sarawak
  • Senja di Seberang – Kopi dengan pati pisang
  • Mahadewi – Minuman coklat dengan perapan mangga harum manis

Manakala KPB pula menyediakan menu ringkas seperti sandwich dan rice bowl yang sesuai untuk dimakan di kafe atau dibawa pulang.

Reda Coffee x Kitchen Pintu Belakang:

  • Lokasi: Tingkat 1, Kedai.KL, MAHSA Avenue, Block B Level 2 Jalan Ilmu, Off, Jln Profesor Diraja Ungku Aziz, 59100 Kuala Lumpur
  • Waktu Operasi: Selasa-Ahad (10am-10pm)
Foto: Sharifah/ TRP

Reda Coffee x KPB Mahu Terus Jadi Ruang Bagi Komuniti Seni, Akan Anjur Acara Kebudayaan

Reda Coffee sebelum ini dikenali melalui Reda KL Art Hub yang menjadi antara ruang utama bagi komuniti seni di sekitar Lembah Klang. Meskipun ruang kali ini adalah lebih kecil, namun kafe itu tetap mahu membawa semangat yang sama.

“Kami akan sedaya upaya berusaha menjadikan ruang kecil ini sebagai peluang untuk lebih dekat dengan pelanggan dan peminat seni. Jika tidak dapat mengadakan acara besar, setidaknya ruang kami jadi ruang pertukaran idea,” kata Mosyuki.

Sama ada muzik, puisi, teater mahupun perfileman, Reda Coffee x KPB turut bercadang untuk menganjurkan beberapa acara seni berskala kecil secara bulanan dalam masa terdekat.

Ini juga merupakan pendekatan yang dibawa demi bersaing dengan lambakan kafe-kafe di sekitar Kuala Lumpur, iaitu untuk keluar dari stereotype sekadar kafe estetik dan membudayakan masyarakat setempat.

Mengulas lanjut, Nawfal berkata latar belakang dalam bidang seni turut mempengaruhi cara mereka melihat dan mengendalikan sebuah perniagaan. Bukan sekadar tempat menjual makanan dan minuman, tetapi membawa pengalaman yang tersendiri.

“Dalam seni, setiap perincian mempunyai cerita. Daripada pencahayaan, muzik, ruang, warna, sehinggalah cara seseorang dilayan. Pendekatan itu kami bawa ke dalam F&B. Kami mahu setiap pelanggan merasakan suasana yang mempunyai jiwa, bukan sekadar menikmati menu,” katanya.

Malah circle kedua-dua jenama itu yang merangkumi ‘orang seni’ lokal turut membuka peluang kepada mereka untuk meluaskan perniagaan F&B tersebut.

Bukan itu sahaja, Reda Coffee turut membuka peluang kepada rakan-rakan seni lain untuk menjalin kolaborasi dan menyediakan ruangnya secara percuma kepada penggiat seni berskala kecil.

Mosyuki yang dikenali sebagai seorang penulis indie baru-baru ini telah menggalas Anugerah Sastera Johor 2026 bagi bukunya, Rukun Ranah. Manakala Nawfal pula membawa pulang anugerah Best Set Design for Dance di Boh Cameronian Arts Awards ke-21 Mei lalu.

Kedua-dua penganugerahan ini membuktikan mereka sebagai individu yang penting dalam dunia seni tempatan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd