Now Reading
Bekas Kuarters Pekerja Sejak Tahun 1904, Kini Berubah Menjadi Salah Satu Hotel Cantik Di Pulau Pinang

Bekas Kuarters Pekerja Sejak Tahun 1904, Kini Berubah Menjadi Salah Satu Hotel Cantik Di Pulau Pinang

Qing Suites sesuai untuk pasangan yang inginkan romantic getaway di hujung minggu.

In Brief
  • Qing Suites, dibuka pada Disember 2025, mengubah lima rumah kuarters pekerja lama tahun 1904 menjadi 13 suite mewah di Pulau Pinang.
  • Projek ini menggabungkan teknik pembinaan tradisional, ilmu feng shui, dan kemahiran pengukir tempatan untuk mengekalkan warisan sejarah bangunan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Terletak seberang daripada Blue Mansion, terdapat lima buah rumah yang dibina pada 1904 sebagai kuarters pekerja yang telah dibuka semula sebagai sebuah hotel bernama Qing Suites sejak Disember 2025 lalu.

Projek ini diketuai oleh Shen Loh-Lim, anak kepada arkitek Laurence Loh yang membaik pulih Blue Mansion pada tahun 1990-an.

Menempatkan 13 suite mewah yang menggabungkan ilmu feng shui, teknik pembinaan tradisional serta perubatan tradisional cina bakal memberikan pengalaman yang sukar digambarkan.

Legasi Blue Mansion Diteruskan Melalui Pemuliharaan Keluarga Loh

Qing Suites. (Foto: Nacre.)

Qing Suites merupakan sebuah tapak yang baru dibuka semula dalam kawasan Cheong Fatt Tze, meneruskan usaha pemuliharaan yang telah dimulakan oleh Laurence Loh sejak 30 tahu lalu.

Projek ini diuruskan oleh anaknya, Shen Loh-Lim, selaku Pengarah Urusan Cheong Fatt Tze Hotels & Residences.

Menurut Loh-Lim, dia tidak mahu sekadar meniru rupa lama bangunan itu, sebaliknya mahu menyesuaikannya semula supaya sesuai dengan fungsi barunya.

“Bangunan ini asalnya dibina untuk kegunaan harian, bukan untuk majlis atau istiadat, dan rangka binaannya terbentuk berdasarkan fungsi serta pemikiran ayah saya tentang warisan serta pemuliharaan.”

“Saya memberi lebih perhatian kepada pengalaman ruang, iaitu bagaimana rasa lantai apabila dipijak, bunyi diserap, kemasukan cahaya sepanjang hari, dan udara mengalir dengan sendirinya,” jelasnya.

Kerja Membaik Pulih Facade Menggunakan Kaedah Tradisional

Kerja membaik pulih bahagian hadapan bangunan dilakukan mengikut kaedah pembinaan tradisional.

Ukiran Chien Nien dan lukisan hiasan Cai Hui dihasilkan oleh pakar yang sama pernah membina Blue Mansion.

Bahagian bumbungnya pula dihasilkan oleh pekerja yang mewarisi kemahiran turun-temurun dari China.

Hasilnya adalah 13 buah suite untuk dinikmati oleh pelancong yang dahulunya merupakan tempat tinggal pekerja Blue Mansion.

Walaupun saiznya masih sama, hiasan di bahagian dalam dihasilkan semula dengan fokus lebih moden memberi tumpuan kepada pengawalan bunyi, bilik air dan bahan yang akan kekal selama-lamanya.

Menariknya, jubin terracotta berbentuk enam segi dikekalkan walaupun memiliki kesan retak. Selain itu, lantai kayu asal turut dipulihkan semula dan jubin di bumbung lama telah digunakan semula untuk menghiasi taman.

“Kami mengekalkan perkara yang menyimpan kenangan dan nilai rohani, iaitu bentuk, seni tangan dan akedah tradisional.”

“Namun kami juga telah memodenkan perkara penting untuk keselesaan tetamu seperti bilik air, bunyi, lampu dan suhu,” tambahnya.

Reka Bentuk Dalaman Dihasilkan Semula Untuk Beri Suasana Lebih Tenang

Laman Qing Suites. (Foto: @theqingsuites / Instagram)

Perkara paling jelas bila melihat Qing Suites adalah suasananya yang tenang mengasingkan diri daripada kesibukkan Pulau Pinang.

Menurut Loh-Lim, bilik suite di situ tidak dibuat untuk meniru Blue Mansion. Sebaliknya untuk membentuk hubungan yang lebih tenang dengan bangunan utama di seberang jalan.

“Kami memang tidak mahu mengulang pengalaman yang sama kerana warisan bukan sahaja dirasai melalui hiasan sahaja.”

“Sebaliknya, reka bentuk lebih moden ini memberi ruang kepada tetamu untuk berehat daripada kesibukan bandar, tetapi masih dapat merasai pengalaman Blue Mansion diseberangnya,” tambahnya.

Sepanjang proses projek ini, Loh-Lim sering bertanya dirinya satu soalan, iaitu apa yang akan dilakukan oleh Cheong Fatt Tze, jika beliau masih hidup hari ini.

“Persoalan itu akan membuat saya rendah diri, kerana Cheong Fatt Tze seorang yang praktikal dan berpandangan jauh, tetapi beliau juga suka kepada kemewahan pada zamannya.”

“Apa yang berubah hanyalah orang yang menggunakan ruang ini, kerana ia bukan lagi rumah pekerja tetapi bilik untuk tetamu. Jadi, kami mengutamakan keselesaan serta kemewahan untuk dinikmati.” tambah Loh-Lim.

Gerbang Qing Suites Dibina Semula Oleh Pakar Dari Itali

Salah satu bahagian menarik di Qing Suites ialah gerbang yang menghubungkan setiap rumah teres ini.

Lawrence Loh mencadangkan ia dipulihkan semula menggunakan kepakaran seorang tukang dari Itali bernama Giovanni Santo yang dibawa masuk untuk projek ini ketika beliau sedang membaik pulih Fort Cornwallis.

“Dari segi reka bentuk, idea gerbang itu memang sudah ada, cuma ia perlu kelihatan seperti sebahagian daripada bangunan itu. Bukan hanya sebuah hiasan semata-mata,” kata Loh-Lim.

Malah, gerbang ini telah menggambarkan cara hidup Cheong Fatt Tze, iaitu terbuka kepada dunia luar tetapi masih berpegang kepada budayanya sendiri.

Ilmu Feng Shui Menjadi Asas Untuk Menyusun Atur Ruang

Taman di atas. (Foto: @theqingsuites / Instagram)

Ilmu feng shui memainkan peranan penting dalam menyusun ruang di Qing Suites.

Seorang pakar feng shui telah menilai tapak kawasan itu dan memberitahu bahawa terdapat satu garis yang menghubungkan pintu Blue Mansion dengan pintu tengah Qing Suites di hadapannya.

“Apabila kawasan laman dibiarkan terbuka tanpa halangan, satu tenaga dapat berkumpul dahulu sebelum bergerak ke seluruh kawasan,” katanya.

“Tetamu akan memperlahankan langkah dengan sendiri apabila tiba di sini walaupun mereka tidak tahu sebabnya.”

Bilangan bilik yang sedikit itu juga menjadi satu kelebihan, kerana ia dapat mengekalkan sifat asal bangunannya iaitu sebuah rumah pekerja.

“Saya mahu suasananya terasa seperti rumah, bukan seperti sebuah pentas. Kekurangan ruang koridor yang kelihatan seperti sebuah hotel memberi peluang kepada tetamu untuk berhenti sambil menikmati kemasukan cahaya semula jadi, pokok bonsai serta tekstur menarik boleh disentuh,” tambah Loh-Lim.

Perabot Dan Karya Seni Hasil Tangan Pekerja Tempatan

Perabot yang dapat dilihat di Qing Suites ditempah daripada studio tempatan seperti Dad’s Wood dan Ravi dari Pirates Studio. Manakala karya seni dihasilkan oleh Kiah Kien, Thomas Powell dan Pei dari Noom Studio bertanggungjawab menghiasi setiap bilik suite.

Selain itu, sekumpulan pengukir kayu tempatan yang diketuai oleh Richard telah menyiapkan tingkap dan pintu kayu di situ.

“Kemahiran itu masih ada, cuma ia memerlukan masa, kesabaran dan kepercayaan, serta sumber yang cukup untuk mencipta hasil dengan baik,” kata Loh-Lim.

“Asas reka bentuk ini datang daripada prinsip ayah saya, iaitu disiplin, bentuk dan hormat kepada sejarah.”

“Peranan saya pula adalah untuk membawa nilai-nilai itu ke dalam cara orang menggunakan bangunan ini hari ini, iaitu bagaimana mereka tidur, berehat dan pulih, kerana kesinambungan bukan bermaksud mengulang bentuk lama. Tetapi meneruskan prinsipnya,” tambahnya.

3 Jenis Suites Boleh Dipilih Di Qing Suites

Menurut laman web rasmi Qing Suites, terdapat 3 jenis suite boleh dipilih iaitu, Signature Suites, Garden Suites dan Terrace Suites. Kelebihan setiap satu adalah seperti berikut:

#1. Signature Suites
Signature Suite. (Foto: @theqingsuites / Instagram)
  • Terletak di tingkat satu memberi pemandangan Blue Mansion
  • Mempunyai keluasan antara 44 hingga 45.7 mete rpersegi
  • Bilik dihiasi menggunakan warna coklat yang tenang, dilengkapi dengan katil bersaiz king di atas lantai kayu asal.
  • Setiap ruang turut dihiasi dengan perabot khas bersama mesin espresso untuk dinikmati.
#2. Garden Suites
Garden Suite. (Foto: @theqingsuites / Instagram)
  • Terletak di tingkat bawah dilengkapi dengan taman peribadi untuk tetamu
  • Mempunyai keluasan antara 60.1 hingga 67.3 meter persegi
  • Dilengkapi dengan katil bersaiz king di atas lantai terracotta menghiasi bilik ini
  • Terdapat ruang santai yang membolehkan tetamu berehat di taman peribadi lengkap dengan tempat duduk
#3. Terrace Suites
Terrace Suite. (Foto: Tatler)
  • Terletak di tingka satu
  • Mempunyai keluasan antara 47.8 hingga 50.4 meter persegi
  • Berada di tengah Qing Suites dan mempunyai laluan ke taman atas bumbung, iaitu sebuah ruang sesuai untuk beriadah pada waktu pagi atau petang

Selain itu, ketiga-tiga suite ini ditawarkan pada harga RM826 ketika waktu artikel ini ditulis.

Oleh itu, jika anda sedang mencari sebuah tempat untuk lari sebentar daripada kesibukan kerja dan bandar, Qing Suites adalah tempat tersebut sambil menikmati warisan sejarah bangunan yang sangat ikonik.

Baca Artikel Berkaitan: Penang Diiktiraf Destinasi Ke-2 Terbaik Buat ‘Solo Traveler’ Di Asia | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Pulau Pinang Antara 7 Destinasi Terbaik Untuk Dilawati Di Asia Tenggara | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd