[Eksklusif] Dari Sebuah Mesin Jahit Terpakai, Lahirnya Raw Denim House Yang Popular Hingga Ke Luar Negara
Menurut salah seorang pengasas RDH, Wan berkata seluar jeans mempunyai perwatakan dan jiwa yang tidak sama seperti pakaian lain.
- Raw Denim House bermula pada 2011 dengan sebuah mesin jahit terpakai di Besut, Terengganu, diasaskan oleh tiga graduan kejuruteraan.
- Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan kekurangan, RDH kini menerima tempahan dari luar negara dengan menerapkan identiti budaya tempatan pada setiap jeans.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Seluar jeans kita cintai hari ini terhasil daripada usaha dua orang, iaitu Levi Strauss dan Jacob Davis telah berjaya mencipta sepasang seluar yang tahan lasak serta selesa menjadi pilihan utama pekerja lombong emas pada waktu dulu.
Kemudian, jeans berkembang menjadi item fesyen yang melambangkan gaya cool yang menjadi antara pakaian paling digemari kaum lelaki.
Di Malaysia pula, semangat dan cinta terhadap seluar jeans dapat dilihat melalui jenama tempatan dari Besut, Terengganu yang ditubuhkan pada tahun 2011 dikenali sebagai Raw Denim House (RDH).
Jenama tempatan ini telah menghasilkan antara jeans berkualiti sehingga menerima tempahan ke luar negara, bermula hanya dengan sebuah mesin jahit terpakai.
RDH Bermula Dengan Sebuah Mesin Jahit Terpakai Di Besut

Salah seorang pengasas RDH, Ahmad Safuan yang lebih dikenali sebagai Wan berkongsi bahawa jenama itu bermula pada tahun 2011 bermula dengan hanya sebuah mesin jahit di rumah.
Menurut Wan, dia dan abangnya, Syukri pada mulanya hanya membaiki baju-T kerana mesin untuk menjahit seluar jeans ketika itu terlalu mahal.
Setelah mengumpul sedikit modal, mereka berpindah ke sebuah kedai kecil di Stesen Bas Jerteh dan berjaya membeli mesin kedua, mula mengambil upah membaiki jeans menerusi proses trial and error.
Peluang untuk menghasilkan jeans sendiri muncul apabila mereka berdua menemui stok lama kain denim di sebuah kedai berhampiran.
“Perasaan paling kuat ketika itu adalah keterujaan, iaitu obsesi kami untuk merasai sendiri bagaimana rasanya memakai pakaian yang dibuat dengan tangan sendiri.”
Minat Wan Terhadap Jeans Bermula Sejak Usia 12 Tahun
Menurut Wan, minatnya terhadap jeans sebenarnya bermula sejak berusia 12 tahun apabila dia memperoleh seluar pertamanya, iaitu Levi’s 501.
Dalam masa sama, pengaruh abangnya turut memainkan peranan besar apabila pada tahun 1999, abangnya pulang dari universiti dengan memakai Levi’s 501 biru gelap yang mempunyai kesan lusuh.
“Dari situ saya nampak yang jeans ini ada karakter, ada jiwa yang tak sama dengan pakaian lain, dan dari situlah bermula cinta saya pada denim berputik,” katanya kepada TRP.
Menurutnya, kesedaran bahawa minat itu boleh menjadi sesuatu yang lebih besar datang secara perlahan-lahan, sehingga dia yakin RDH bukan sekadar hobi tetapi sebuah jenama ada kisahnya, ada jiwanya dan mampu berdiri dengan sendiri.
“Bagi saya, kejayaan bukan soal cepat, tetapi soal konsisten dan percaya pada proses,” tambah Wan.
Bekas Graduan Kejuruteraan Yang Belajar Menjahit Dengan Sendiri
Ketiga-tiga pengasas RDH, iaitu Wan, abangnya Shukri serta rakannya Aidil sebenarnya merupakan pelajar lulusan kejuruteraan, bukan pereka fesyen.
Menurut Wan, mereka telah belajar menjahit bukan secara formal, tetapi melalui sifat rasa ingin tahun dan keberanian untuk mencuba, dengan sebahagian besar prosesnya ialah trial and error.
Menerusi usaha ini, Aidil pula rajin membeli buku rujukan dari Jepun di Kinokuniya yang mengandungi pola asas pembuatan seluar jeans. Manakala, Wan pula banyak belajar menerusi platform Vimeo yang ketika itu penuh dengan dokumentari pembuatan produk secara handmade.
Namun begitu, cabaran terbesar ketika itu adalah menghasilkan jeans pertama bukan dari segi modal, tetapi kekurangan ilmu, pengalaman serta peralatan yang sesuai.
Jeans pertama yang dihasilkan oleh tiga pemuda ini jauh daripada apa yang dibayangkan dalam kepala kerana potongannya tidak menjadi, bentuknya kurang tepat dan pengalaman memakai pun kurang memuskan.
Tetapi setiap kesilapan itu dianggap sebagai kelas bagi mereka bertiga.
Mereka sedar bahawa satu mesin tidak boleh menghasilkan sepasang jeans yang berkualiti. Setiap elemen memerlukan mesin khas yang mempunyai fungsi tersendiri.
Dan pada waktu itu, RDH hanya ada mesin untuk kerja membaiki pakaian sahaja, bukan kelengkapan untuk menghasilkan seluar jeans.
“Kekurangan itulah yang paling banyak menguji kesabaran kami.” tambah Wan.
Malah, demi mendapatkan mesin yang diperlukan, Wan sanggup menjual basikal, kereta serta telefon bimbitnya untuk mendapatkan modal diperlukan bagi menjayakan impian mereka.
Semakin kami mendalami dunia denim, semakin jelas bahawa sehelai jeans yang berkualiti tidak terhasil dengan satu mesin sahaja. Setiap perincian memerlukan mesin khas dan fungsi tersendiri. Ketika itu, kami hanya ada mesin untuk kerja-kerja membaiki pakaian, bukan kelengkapan yang sepatutnya ada di sebuah bengkel denim. Kekurangan itulah yang paling banyak menguji kesabaran kami.
Malah, demi mendapatkan mesin khas yang diperlukan, Wan sanggup menjual basikal, kereta Kancil serta telefon bimbitnya sebagai satu pelaburan terhadap impian mereka.
“Raw Denim House tidak dibina kerana kami sudah bersedia, tetapi kerana kami memilih untuk terus belajar, terus mencuba dan tidak berputus asa sehingga impian itu menjadi nyata,” katanya.
Ilmu Kejuruteraan Telah Membantu RDH Menembusi Pasaran Antarabangsa

Walaupun bidang kejuruteraan dan fesyen nampak berbeza, Wan berkata asas kejuruteraan banyak membantu mereka kerana mesin yang digunakan kebanyakannya adalah model lama, dan memerlukan pelarasan serta pemahaman teliti untuk memahami fungsi setiap satu
Kemahiran segi teknikal itu memudahkan mereka membaiki, melaras dan memahami fungsi setiap mesin, sekali gus mereka bukan sahaja belajar menjahit tetapi turut memahami mesin itu sendiri.
Menariknya, RDH kini bukan sahaja popular di dalam negara, malah menerima tempahan dari luar negara menjadi satu pencapaian besar bagi mereka.
“Kami bermula dari sebuah kedai kecil dengan mesin lama dan ilmu yang kami kutip sedikit demi sedikit, jadi tak sangka usaha itu boleh bergema sampai ke luar negara.”
RDH juga telah berniaga dalam talian sejak tahun 2013, satu keputusan yang berisiko ketika itu kerana orang ramai belum biasa membeli pakaian premium secara online.
“Bagi kami, ia merupakan satu pelaburan jangka panjang, bukan sekadar menjual produk tetapi membina kepercayaan, dan langkah yang dulu nampak berisiko itu akhirnya menjadi asas penting untuk jenama kami berkembang,” jelas Wan.
Setiap Jeans Dijahit Dengan Penuh Teliti

Proses daripada kain mentah sehingga menjadi sepasang jeans mengambil masa beberapa hari, bergantung pada potongannya, perincian dan jumlah tempahan.
Apabila tempahan bertambah, mereka mula belajar untuk membahagikan kerja dengan jelas serta menjaga komunikasi bersama pelanggan.
Menurut Wan, mereka lebih rela bergerak perlahan daripada mengorbankan kualitinya kerana setiap tempahan bukan sekadar nombor, tetapi satu janji dan kisah RDH kepada setiap pemakai.
Bercakap tentang perbezaan antara produk tempahan khas (bespoke) dan ready-to-wear (RTW), Wan berkata tempahan bespoke bermula dengan mengambil ukuran penuh teliti bagi menghasilkan pola dipotong khas mengikut individu tersebut.
RTW pula merupakan pakaian yang ditetapkan dengan saiz standard tetapi kualiti serta pemilihan bahan tetap sama.
“Saya sangat rindu era menempah pakaian kerana keintiman prosesnya, apabila sesi mengambil ukuran badan menjadi ruang bercerita dan memahami antara satu sama lain. Setiap helai yang siap bukan sekadar pakaian, tetapi serpihan kasih manusia yang kita kenal. Bahagian itulah yang paling menyentuh hati saya dan sukar diganti,” katanya.
Setiap Seluar RDH Mempunyai Identiti Budaya Tempatan
Salah satu keistimewaan RDH ialah setiap seluar jeans yang dihasilkan akan diselitkan elemen budaya seperti jahitan bunga telipuk pada poket belakang.
Menurut Wan, seluar jeans bukan sekadar pakaian harian, sebaliknya boleh menjadi format untuk membawa cerita tempat asal ke mana-mana sahaja.
“Bila elemen itu dijahit pada sehelai jeans moden, ia seolah-olah mengatakan, ‘Ini buatan sini, dengan jiwa kami’, dan penting untuk kita serapkan identiti tempatan supaya globalisasi tidak menenggelamkan suara kita sendiri,” katanya.
Malah, impian terbesar Wan adalah menjadikan RDH lebih daripada sebuah jenama, iaitu sebuah ryang di mana kraf tangan dihormati, ilmu diwariskan, dan identiti tempatan terus bernafas dalam rekaan moden.
“Pendek kata, berakar di tanah sendiri, rendang di mata dunia, itulah arah yang saya kejar,” ujarnya.
Ahmad Safuan Diiktiraf Sebagai Tokoh OKU Pada Tahun 2019

Setiap fasa yang dilalui RDH menjadi guru untuk membentuk mereka menjadi lebih teliti, tabah dan sabar, sekali gus mengajar erti merendah diri.
Pada tahun 2019, Wan telah menerima Anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya (OKU), satu penghormatan yang bermakna baginya.
Menurutnya, anugerah itu bukan penamat, sebaliknya peringatan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk berkarya, menyumbang atau membina sesuatu byang bermakna.
“Lata belakang, kekurangan, atau cabaran hidup tidak sepatutnya menjadi alasan untuk berhenti bermimpi, kerana selagi ada kesungguhana dan kesabaran, kita sentiasa boleh mencipta ruang dan peluang kita sendiri,” tambahnya.
Di sebalik kejayaan itu, Wan mengakui ada malam yang sunyi dan berat. Namun rasa tanggungjawab terhadap kepercayaan yang telah dibina menjadi kekuatan untuk terus bertahan.
Malah selepas bertahun-tahun, dia berkata keterujaan melihat sepasang jeans siap masih ada, cuma kini dalam bentuk yang lebih tenang serta mendalam.
“Teruja itu mungkin tidak lagi meletup-letup seperti awal dulu, tetapi ia berubah menjadi rasa tanggungjawab dan rasa sayang pada setiap perinciannya,” katanya.
Raw Denim House Membuktikan Impian Besar Boleh Bermula Dari Sebuah Kampung
Perjalanan RDH menjadi bukti bahawa impian besar tidak semestinya lahir di tempat yang sempurna, sebaliknya boleh bermula dari mana-mana sahaja.
“Jangan tunggu segalanya cukup baru nak mula, kerana kekurangan bukan penghalang, kadangkala itulah ruang yang memaksa kita jadi kreatif dan berani.”
Bagi Wan, langkah pertama sentiasa lebih penting daripada kesempurnaan, kerana yang paling utama bukan seberapa cepat kita sampai, tetapi keberanian untuk terus melangkah walaupun perlahan.
Baca Artikel Berkaitan: Berapa Kali Anda Perlu Basuh Seluar Jeans Sebenarnya? Ini Panduan Daripada Pakar Denim | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Pakai Seluar Jeans Boleh Jadi Haram Kalau Tak Kena Gaya, Ini Perkara Yang Ramai Tak Tahu | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.