[EKSKLUSIF] Rumoh Mekda Di Bangsar: Restoran Ini Mahu Ubah Persepsi Tentang Masakan Pantai Timur
Hakikatnya, rasa sebenar masakan tradisi Kelantan, Terengganu dan Pahang dibina daripada keseimbangan pelbagai elemen seperti budu premium, kerisik buatan sendiri, asam gelugor, ikan segar dan pelbagai jenis ulam.
- Rumoh Mekda di Bangsar mahu ubah tanggapan bahawa masakan Pantai Timur hanya dikenali sebagai terlalu manis.
- Restoran ini lahir daripada permintaan pelanggan katering Dapur Mekda yang ingin menikmati hidangan panas dalam suasana seperti di rumah.
- Mekda berharap generasi muda melihat hidangan warisan Pantai Timur sebagai khazanah kulinari setaraf masakan antarabangsa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bagi ramai orang, masakan Pantai Timur sering dikaitkan dengan satu tanggapan sama iaitu: terlalu manis.
Namun bagi Mekda selaku pengasas Rumoh Mekda, persepsi itulah yang mahu diubah menerusi restoran pertamanya di Bangsar.

“Masakan Pantai Timur bukan sekadar makanan yang dibungkus dalam kotak.
“Ia adalah satu pengalaman,” katanya kepada TRP.
Dari Tempahan Katering Ke Sebuah “Rumoh”
Menurut Mekda, idea membuka restoran lahir daripada permintaan pelanggan sendiri.
Ramai yang memberitahu mereka ingin menikmati lauk-pauk itu ketika masih panas, terus dari dapur, dalam suasana yang mengingatkan mereka kepada rumah sendiri.


Daripada situ, lahirlah Rumoh Mekda iaitu sebuah restoran yang dibina sebagai ruang untuk keluarga dan rakan-rakan berkumpul sambil menikmati masakan warisan Pantai Timur.
“Rumoh Mekda adalah jemputan mesra ke dapur warisan Pantai Timur, di mana setiap hidangan dimasak dengan kasih sayang seperti air tangan ibu.”
Kenapa Pilih Bangsar Sebagai Lokasi Pertama?

Walaupun Bangsar terkenal dengan lambakan kafe moden dan restoran antarabangsa, Mekda melihat kawasan itu sebagai lokasi terbaik untuk memperkenalkan masakan Pantai Timur kepada lebih ramai orang.
Beliau mahu membuktikan bahawa masyarakat bandar juga menghargai makanan tradisional apabila ia disajikan dengan baik.
Apabila pelanggan melangkah masuk ke Rumoh Mekda, beliau berharap mereka dapat melupakan seketika kesibukan kota dan merasai suasana seolah-olah pulang ke kampung.

“Masakan Pantai Timur Bukan Sekadar Manis”
Menurut Mekda, antara salah faham terbesar tentang masakan Pantai Timur ialah ia dikatakan terlalu manis.
Hakikatnya, rasa sebenar masakan tradisi Kelantan, Terengganu dan Pahang dibina daripada keseimbangan pelbagai elemen seperti budu premium, kerisik buatan sendiri, asam gelugor, ikan segar dan pelbagai jenis ulam.
Katanya, penggunaan bahan segar tanpa jalan pintas menjadi rahsia utama mengekalkan keaslian rasa.
“Kalau guna budu biasa atau kelapa yang tidak segar, keseluruhan rasa hidangan akan berubah,” jelas Mekda kepada TRP.

Nasi Kerabu Jadi Lambang Rumoh Mekda
Jika hanya boleh memilih satu hidangan untuk menggambarkan identiti restoran itu, jawapannya ialah Nasi Kerabu Ayam Percik.
Bagi Mekda, hidangan tersebut ibarat “kanvas” masakan Pantai Timur.

Di atas satu pinggan, pelanggan dapat menikmati gabungan nasi kuning, ulam-ulaman segar, kerisik ikan, sambal tumis, budu, sambal belacan dan ayam percik yang dibakar sehingga harum.
Setiap komponen memainkan peranan tersendiri sebelum semuanya digaul menjadi satu pengalaman rasa yang lengkap.
Daging Tumbok Antara Menu Paling Rumit
Selain Nasi Kerabu, satu lagi menu yang menjadi kebanggaan Rumoh Mekda ialah Daging Tumbok.

Walaupun mengambil masa hampir sehari untuk disediakan, Mekda enggan mengubah proses tradisionalnya. Daging perlu ditumbuk secara manual bagi mengekalkan teksturnya sebelum dimasak bersama rempah yang ditumis perlahan.
Menurut beliau, proses yang renyah itulah sebenarnya memberi identiti kepada hidangan tersebut.
Menu Singgang Perlu Diberi Peluang
Satu lagi hidangan yang menurut Mekda sering dipandang rendah ialah Singgang.
Ramai menganggap kuahnya yang jernih sebagai terlalu ringkas atau hanya sesuai dimakan ketika sakit. Sedangkan, gabungan lengkuas, asam gelugor, bawang dan cili menghasilkan rasa yang kompleks dan menyegarkan.
Ia juga berfungsi sebagai pelengkap yang mengimbangi hidangan bersantan supaya tidak terlalu muak.
Resepi Yang Menyatukan Sebuah Keluarga
Bagi Mekda, Nasi Kerabu bukan sekadar menu paling popular.
Ia adalah kenangan zaman kecil apabila seluruh ahli keluarga berkumpul di dapur.
Ada yang menghiris ulam, ada yang menumbuk ikan, ada yang menyediakan sambal dan ada yang membakar ayam.
Proses yang mengambil masa sehingga lewat malam itu menjadi memori yang masih dibawa ke dapur Rumoh Mekda hari ini.
Katanya, setiap kali aroma tumisan dan ulam memenuhi ruang dapur, ia mengingatkannya kepada gelak tawa serta kasih sayang keluarga.
Pernah Hadiahkan Makanan Bernilai RM400 Kepada Sebuah Keluarga
Daripada semua pengalaman sepanjang mengusahakan Dapur Mekda, satu kisah masih kekal dekat di hati.
Seorang ibu pernah menghubunginya untuk membuat tempahan sekitar RM400, tetapi mengaku sebenarnya tidak mampu membayar jumlah tersebut.
Wanita itu hanya mahu menggembirakan dua anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan sudah lama teringin merasai masakan Dapur Mekda.
Tanpa berfikir panjang, Mekda menghantar sendiri makanan itu ke rumah mereka.
Beberapa bulan kemudian, ibu tersebut menghubunginya semula kerana sudah berjaya mengumpul wang untuk membayar tempahan baharu.
Namun sekali lagi, Mekda memilih untuk menghadiahkan makanan tersebut kepada keluarga itu.
“Bagi Mekda, perniagaan ini bukan sekadar memasak dan menjual makanan. Ia tentang menyampaikan kasih sayang dan membawa kegembiraan kepada orang lain.”
Mahu Angkat Masakan Pantai Timur Ke Tahap Baharu

Beliau mahu generasi muda melihat hidangan warisan seperti Nasi Kerabu, Daging Tumbok, Singgang dan kerabu tradisional bukan sekadar makanan kampung, tetapi khazanah kulinari yang mampu berdiri sebaris dengan mana-mana masakan antarabangsa.
“Bila orang fikir tentang masakan Pantai Timur, saya mahu mereka fikir tentang warisan, keseimbangan rasa dan kebanggaan budaya, dan bukan sekadar makanan yang dikatakan manis,” jelas Mekda.
Rumoh Mekda
- Lokasi: Bangsar Village 1 (LG10), Jalan Telawi 1, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur, Malaysia
- Waktu Operasi: Dibuka setiap hari (11AM-4PM & 6PM-10PM)
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.