[Esklusif] Kenapa Kedai Streetwear Baharu Di Shah Alam Ini Menjadi Tumpuan Peminat Fesyen?
Minat mendalam terhadap dunia fesyen streetwear berjaya melahirkan Rare Garments & RecycledByNature bakal menjadi tumpuan di Seksyen 6 Shah Alam.
- Rare Garments & RBN Studio, a new streetwear shop in Shah Alam, sells clothing, shoes, Funko Pop, and Pokémon TCG collectibles.
- Founded by Ali and Afiq, the shop prioritises building a community and customer trust over chasing popularity or hype.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tersembunyi di Seksyen 6, Shah Alam sebuah kedai yang menjadi syurga buat peminat fesyen streetwear, Rare Garments & RecycledByNature baru sahaja membuka pintunya kepada orang ramai.
Kedai ini merupakan hasil kerjasama dua usahawan tempatan bernama Ali (Rare Garments) dan Afiq (RecycledByNature).
Selain menjual pakaian jenama streetwear terkenal dan kasut yang digilai ramai, kedai ini turut menawarkan barangan koleksi (collectible) seperti Funko Pop, Pokémon Trading Card Game (TCG) sekali gus bakal menjadi antara kedai paling menarik di Shah Alam.
Rare Garments Bermula Kecil-Kecilan Sebelum Buka Kedai Fizikal

Menurut Ali, segalanya bermula daripada minat yang sangat mendalam terhadap dunia fesyen streetwear menerusi berniaga secara kecil-kecilan melalui media sosial sebelum bilangan pelanggan semakin bertambah.
“Rare Garments bukan dibina dalam masa sehari. Ia dibina melalui usaha bertahun-tahun menerusi pengalaman, kesilapan, pembelajaran serta hubungan kukuh yang kami bina dengan pelanggan,” kata Ali.
Dalam masa sama, dia turut bersyukur kerana keluarganya tidak pernah berhenti menyokong walaupun ketika berdepan fasa penuh ketidakpastian serta risiko.
“Kami bukan terus buka kedai. Kami bina kepercayaan pelanggan dahulu, kemudian baru bina kedai,” jelasnya.
Membuka kedai sendiri adalah satu simbol kepada segala usaha, pengorbanan serta masa yang telah dilaburkan oleh Ali selama ini.
Namun, berjaya membuka kedai bukanlah penamatnya. Sebaliknya, sebuah permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk mengekalkan kepercayaan pelanggan serta terus berkembang.
Shah Alam Menjadi Lokasi Kerana Ia Telah Membesarkannya
Ketika ditanya oleh TRPBM kenapa bandar Shah Alam menjadi pilihan lokasi kedainya, jawapan Ali cukup ringkas, kerana ia seperti rumahnya sendiri.
Menurutnya, dia dilahirkan dan dibesarkan di Shah Alam sehingga tidak pernah terfikir untuk memilih lokasi lain apabila tiba masanya untuk membuka kedai.
“Saya mahu memberi sesuatu kembali kepada bandar yang telah membesarkan saya,” katanya.
Harapannya ialah apabila orang menyebut tentang streetwear di Shah Alam, Rare Garments & RecycledByNature akan terlintas dalam fikiran mereka.
Minat Terhadap Streetwear Jepun Menjadi Sumber Inspirasi

Menariknya, minat Ali terhadap perniagaan streetwear bermula sejak zaman bangku persekolahan lagi.
Katanya, pengalaman dibuang dari asrama kerana berniaga merupakan batu loncatan dalam perjalananya sebagai seorang usahawan.
“Streetwear pula muncul kerana saya minat dengan budayanya, terutama budaya streetwear dari Jepun.”
Dia gemar melihat bagaimana setiap jenama mempunyai cerita, identiti serta falsafah tersendiri kerana bagi Ali, gaya fesyen ini bukan sekadar pemakaian sahaja tetapi cara seseorang mengekspresikan dirinya.
Dari situ, permintaan dari pelanggan untuk mendapatkan produk tertentu membuatkan Ali pergi sendiri ke Jepun untuk mencari stok tertentu serta bertemu dengan pembekal.
“Saya tak mahu sekadar menjual produk dari Jepun. Saya ingin membawa pengalaman budaya streetwear Jepun di Malaysia,” ujarnya
Ali turut menegaskan populariti bukannya keutamaannya. Sebaliknya, identiti, sejarah, kualiti dan nilai jenama tersebut menjadi ukuran di Rare Garments.
“Kami mahu setiap produk yang berada di kedai mempunyai sebab untuk berada di situ, bukan hanya sebab ia sedang viral,” kata Ali.
RecycledByNature Pula Bermula Dari Rumah Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Rakan kongsi Ali, Afiq pula membawa kisah tersendiri menerusi RecycledByNature.
Menurut Afiq, RecycledByNature bermula ketika dia dan isterinya berniaga secara online melalui media sosial Instagram @recycledbynature sewaktu PKP pada tahun 2020.
“Perjalanan untuk membuka kedai ini sangat random bagi pihak saya sebab pada awalnya memang tiada perancangan dalam masa terdekat untuk buka kedai secara fizikal,” kata Afiq.
Walaupun sudah menyimpan cita-cita membuka kedai sendiri, Afiq dan isterinya belum mempunyai keyakinan untuk melakukannya sehinggalah Ali menghubunginya untuk menjadi rakan kongsi.
Bagi Afiq, minat terhadap gaya fesyen streetwear bermula sekitar 2016 hingga 2017, tetapi cintanya terhadap kasut sudah tersemai sejak di bangku sekolah rendah lagi.
“Cinta pandang pertama saya terhadap kasut bermula dengan Nike SB Dunk Low Tiffany 2005,” tambahnya.
Afiq turut berkata bahawa dia asalnya hanya mengumpul kasut sebagai hobi sebelum menjualnya sedikit demi sedikit sehingga menyedari ia mampu menjana pendapatan.
Afiq Mengutamakan Nostalgia Berbanding Mengejar Hype
Mengulas mengenai barangan yang dijual di RecycledByNature, Afiq berkata dia tidak memilih sesuatu produk berpandukan permintaan atau hype semata-semata.
“Saya akan lihat jenama itu mungkin ada memori nostalgik di sebalik rekaannya.”
Afiq juga akan melakukan kajian terlebih dahulu sebelum membawa masuk sesuatu jenama, malah turut mencari produk tertentu supaya pelanggan berpeluang melihatnya secara langsung.
Namun begitu, cabaran turut tidak kurang. Contohnya, apabila pesanan yang telah dilakukan secara dalam talian dibatalkan begitu sahaja mengecewakannya.
Selain itu, nilai mata wang turut memainkan peranan penting kerana kenaikan nilai USD boleh menyebabkan harga kasut menjadi lebih mahal buat peniaga seperti dirinya.
Rare Garments x RecycledByNature Bukan Sekadar Menjual Pakaian Semata-Mata

Salah satu perkara yang membezakan Rare Garments & RecycledByNature daripada yang lain ialah rangkaian produknya yang lebih meluas.
Menurut Afiq, kedai itu bukan sahaja membawa kasut dan pakaian streetwear, malah turut menawarkan barang seperti Funko Pop, Pokémon TCG dan macam-macam lagi.
Bagi Ali pula, perkara membezakan mereka ialah suasana mesra yang cuba dibina bersama para pelanggan.
“Kami mahu pelanggan rasa mereka datang bertemu keluarga, bukan sekadar datang ke kedai sahaja.”
Jika pelanggan keluar dengan senyuman walaupun tidak membeli apa-apa, itu juga sudah dikira satu kejayaan buatnya.
“Kami tak nak bina customer. Kami nak bina komuniti,” ujar Ali.
Hasrat yang sama turut dikongsi Afiq yang mahu setiap pelanggan rasa selesa apabila melangkah masuk ke kedai mereka.
“Saya mahu customer rasa cozy serta selesa bila masuk di kedai kami. Everyone is welcome here,” tambah Afiq.
Di Sebalik Sebuah Kedai, Tersembunyi Kisah Pengorbanan Dua Usahawan

Orang ramai hanya melihat sebuah produk yang sudah siap, tetapi tidak ramai yang tahu perjuangan di belakangnya.
Menurut Ali, dia masih bekerja sepenuh masa sebagai Production Planner pada waktu siang sebelum menguruskan kedai selepas waktu kerja dan hampir sepenuh masa pada hujung minggu.
Malah sebelum perniagaannya stabil, dia pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan semata-mata untuk memastikan aliran tunai perniagaannya terus berjalan.
“Orang nampak kami buka kedai hari ini, tetapi mereka tidak nampak saya pernah memakai uniform pengawal keselamatan untuk memastikan impian ini tidak terkubur.”
Namun dia tidak sekali-kali malu dengan pengalaman itu, sebaliknya berbangga kerana ia mengajarnya bahawa tiada jalan pintas untuk membina sesuatu yang bernilai.
Dalam mengharungi cabaran, Ali berpegang kepada satu prinsip mudah, iaitu Go Big or Go Home.
“Saya percaya usaha secara berterusan akhirnya akan mengatasi bakat semata-mata,” tambah Ali.
Bagi Afiq pula, isterinya merupakan tulang belakang yang sentiasa memberi motivasi kepadanya setiap hari.
Dia tidak pernah meragui keputusan menceburi bidang ini kerana ia memang minatnya, walaupun keluarganya pernah menawarkan pekerjaan di pejabat kerana lebih gemar berniaga.
Rare Garments & RecycledByNature Kini Menjadi Destinasi Streetwear Baharu Di Shah Alam
Kedua-dua pengasas turut mengambil peluang untuk berkongsi jenama kegemaran tersendiri bersama TRPBM bermula dengan Ali yang meminati jenama Palace dan Supreme selain daripada budaya streetwear Jepun.
Manakala, Afiq pula gemar jenama Yeezy yang dimiliki daripada penyanyi rap legenda, Kanye West.
Barang paling bermakna bagi Ali dalam kedainya ialah produk pertama yang dibawa masuk kerana ia mengingatkannya bahawa setiap perjalanan besar bermula dengan satu langkah kecil.
Untuk Afiq pula, baju Yeezus Tour miliknya menjadi item paling istimewa.
Setakat ini, cabaran terbesar buat mereka ialah lokasi kedai yang agak tersembunyi, namun kedua-duanya tetap bertekad untuk menjadikan Rare Garments & RecycledByNature sebagai antara nama paling dipercayai dalam budaya streetwear tempatan.
Buat anak muda yang bermimpi membuka perniagaan sendiri tetapi terasa serba kekurangan, kedua-dua usahawan ini berkongsi satu pesanan yang cukup bermakna.
“Just do it. Either you make or you break,” kata Afiq.
Ali pula menutup kisahnya dengan satu prinsip yang menjadi pegangannya sepanjang perjalanan ini.
“Jangan malu dengan permulaan kita. Malulah kalau kita berhenti mengejar apa yang kita percaya.”
Ini kerana kejayaan bukan milik orang yang berbakat. Sebaliknya, menjadi milik mereka yang paling lama bertahan serta percaya pada impiannya.
Baca Artikel Berkaitan: [Eksklusif] 4 Daripada 10 Pekerja Di KL Merasakan Kerja Manual Sangat Membosankan – Kajian Kintone | TRP
Baca Artikel Berkaitan: [EKSKLUSIF] Dari Ipoh Ke Pentas Antarabangsa, MikoNaiko Mahu Hapuskan Stereotaip Terhadap Muzik DJ | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.