[Foto] 103 Coffee Buka Cawangan Baharu Di TRX, Tampil Dengan Konsep Rumah Tradisional Malaysia
Apa yang menjadikan 103 Coffee berbeza bukan sekadar kopi yang dihidangkan, tetapi falsafah di sebalik setiap ruang yang dibina.
- 103 Coffee membuka cawangan keenam di The Exchange TRX, menampilkan konsep dua tingkat yang terinspirasi daripada kehangatan rumah tradisional Malaysia.
- Cawangan TRX memperkenalkan dua minuman eksklusif, J Cloud dan Spark, yang menggabungkan bahan-bahan tempatan dengan teknik kopi antarabangsa.
- Sejak 2014, 103 Coffee telah mengharumkan nama Malaysia di pentas kopi dunia, termasuk meraih gelaran World Latte Art Championship 2018.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bila bercakap tentang specialty coffee di Malaysia, nama 103 Coffee sememangnya tidak asing lagi. Selepas bertahun-tahun membawa nama negara ke pentas pertandingan kopi antarabangsa, jenama tempatan ini kini kembali dengan sebuah ruang baharu yang lebih dekat dengan identiti Malaysia.
Terletak di The Exchange TRX, cawangan keenam 103 Coffee bukan sekadar tempat untuk menikmati secawan kopi.
Sebaliknya, ia dibina sebagai ruang yang meraikan warisan, layanan mesra dan rasa “pulang ke rumah” yang menjadi sebahagian daripada perjalanan jenama ini sejak ditubuhkan.
Ruang Diinspirasikan Daripada Kehangatan Rumah Tradisional Malaysia

Berbeza dengan konsep kafe minimalis yang sering dilihat hari ini, 103 Coffee memilih pendekatan yang lebih sentimental untuk cawangan terbaharunya.
Ruang dua tingkat ini mengetengahkan penggunaan kayu, elemen seni bina yang ringkas serta suasana yang diinspirasikan daripada rumah tradisional Malaysia.
View on Threads
Hasilnya ialah sebuah ruang yang terasa tenang, selesa dan sesuai dijadikan tempat untuk menikmati kopi sambil meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan.
Menurut 103 Coffee, setiap sudut direka bagi mencerminkan tiga nilai yang sentiasa menjadi tunjang jenama mereka, iaitu hospitaliti, hubungan sesama manusia dan penghargaan terhadap asal-usul.

Walaupun kini memiliki beberapa cawangan dan dikenali di peringkat antarabangsa, mereka mahu pelanggan yang melangkah masuk ke ruang ini tetap merasai kehangatan seperti berada di rumah sendiri.
Dua Minuman Eksklusif Yang Hanya Ada Di TRX
Bukan sahaja tampil dengan konsep berbeza, cawangan TRX turut memperkenalkan dua minuman eksklusif yang tidak dijual di cawangan lain, iaitu:
#1. J Cloud
Bagi peminat kopi yang sukakan rasa lebih lembut dan kompleks, J Cloud menggabungkan Ethiopian anaerobic cold brew, aroma nangka serta susu oat sebelum disudahi dengan buih teh melur yang dijernihkan (clarified jasmine tea foam).
Gabungan ini menghasilkan secawan kopi yang ringan, berkrim dan mempunyai aroma bunga yang menyenangkan.
#2. Spark
Sementara itu, Spark pula sesuai untuk mereka yang mahukan sesuatu yang lebih menyegarkan.
Minuman ini menggunakan Ethiopian Alo Bacha cold brew yang dipadankan dengan sparkling cascara, nanas, yuzu, strawberi dan bunga kantan.
Hasilnya ialah minuman dengan rasa buah-buahan yang cerah, sedikit berkarbonat dan mempunyai sentuhan tempatan yang unik.
Nama Yang Sudah Mengharumkan Malaysia Dalam Dunia Kopi
Bagi mereka yang baru mengenali 103 Coffee, jenama ini sebenarnya mempunyai sejarah yang cukup membanggakan dalam industri specialty coffee.
Sejak ditubuhkan pada 2014, 103 Coffee bukan sahaja terkenal sebagai destinasi kopi berkualiti, malah berjaya melahirkan ramai barista bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Antara pencapaian paling membanggakan ialah apabila barista mereka, Irvine Quek, dinobatkan sebagai Juara World Latte Art Championship 2018 di Brazil, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara yang disegani dalam dunia seni latte.

Selain itu, pasukan 103 Coffee juga telah memenangi pelbagai kejohanan kebangsaan termasuk Malaysia National Latte Art Championship, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara jenama specialty coffee paling berpengaruh di negara ini.
Lebih Daripada Sekadar Sebuah Kafe
Apa yang menjadikan 103 Coffee berbeza bukan sekadar kopi yang dihidangkan, tetapi falsafah di sebalik setiap ruang yang dibina.
Selepas bertahun-tahun mewakili Malaysia di pentas dunia, cawangan TRX dilihat sebagai simbol penghargaan terhadap tanah air.
Ia menggabungkan kopi, makanan, perbualan dan komuniti dalam sebuah ruang yang meraikan identiti tempatan tanpa meninggalkan sentuhan moden.
Buat masa ini, tingkat bawah sudah mula menerima pelanggan menerusi soft launch, manakala ruang di tingkat atas dijangka akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.
Jika anda ingin mencuba sendiri dua menu eksklusif mereka atau sekadar mencari lokasi baharu untuk menikmati specialty coffee di tengah-tengah ibu kota, 103 Coffee TRX kini dibuka setiap hari dari 7.30 pagi hingga 6.30 petang di 13, Jalan Barat, The Exchange TRX.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.