Kuala Lumpur Fashion Week 2026 Kembali 3 Ogos Ini, Tampilkan Lebih 50 Pereka Tempatan
Kuala Lumpur Fashion Week 2026 bakal berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos di Esplanade KLCC dengan tema “Destinasi: Tanah Air”.
- Kuala Lumpur Fashion Week 2026 bakal berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos di Esplanade, Taman KLCC dengan tema "Destinasi: Tanah Air".
- Lebih 50 pereka dan jenama tempatan akan tampil, termasuk label baharu seperti PLAZÄ, NanaLyana dan Asyraf Arrif buat pertama kali.
- KLFW 2026 mendapat sokongan KPDN dan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, merangkumi pameran seni, pop-up dan aktiviti interaktif.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Acara fesyen paling dinanti-nantikan di Malaysia, Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, bakal kembali berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos di Esplanade, Taman KLCC menerusi tema “Destinasi: Tanah Air” (Destination: Home Ground).
Memasuki edisi ke-14 penganjurannya, KLFW 2026 bakal menghimpunkan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan dalam usaha meraikan identiti Malaysia menerusi kreativiti, warisan budaya dan inovasi rekaan.
Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ruang Pertunjukan Tampil Dengan Wajah Baharu

Bersempena tema tahun ini, ruang pertunjukan KLFW turut diberi sentuhan baharu yang diinspirasikan daripada motif arkib batik Yayasan Sabah.
Facade monokrom bersama pentas serba putih direka bagi menyerlahkan elemen warisan Malaysia dalam suasana moden, manakala pentas peragaan berbentuk jam pasir dengan kapasiti kira-kira 500 tempat duduk dijangka menawarkan pengalaman lebih imersif kepada tetamu.
Seperti edisi terdahulu, panel skrin LED bersaiz besar turut dipasang bagi membolehkan pengunjung Suria KLCC menyaksikan pertunjukan fesyen secara langsung.
Pop-up, Pameran Seni & Aktiviti Interaktif Di Suria KLCC
Selain pertunjukan fesyen, Suria KLCC turut menganjurkan pelbagai aktiviti sampingan sepanjang KLFW berlangsung.
Antaranya ialah pameran penggayaan oleh pelajar fesyen di Isetan KLCC, pameran seni visual hasil karya penggiat industri yang dibawakan oleh MOCCONA serta pop-up khas Jom Malaysia anjuran KPDN yang mengetengahkan jenama tempatan.
Barisan Pereka Baharu & Nama Besar Industri
KLFW 2026 turut menyaksikan kemunculan beberapa label buat pertama kali di pentas peragaan, termasuk PLAZÄ, NanaLyana, Asyraf Arrif, inisaya by Jeffery Goh, 99%ANGEL, CDH dan EMRI.
Pereka fesyen Sharifah Kirana juga kembali mempersembahkan koleksi terbaharunya, manakala ManChien bakal memperkenalkan label baharu, Super Structure.
Dalam masa sama, dua nama besar industri iaitu Rizman Ruzaini dan Fiziwoo bakal tampil dengan persembahan berganda.

Salah satu tarikan utama tahun ini ialah kolaborasi antara studio budaya material studio MUNI dan pereka fesyen Jeff Yeong, selain penampilan sulung perusahaan sosial Tanoti di pentas KLFW.
Pada masa yang sama, KPDN akan menghidupkan semula segmen Fashion Forward Batik Malaysia yang menampilkan 30 rekaan eksklusif batik Malaysia Timur dan Barat hasil karya 10 pereka fesyen tempatan.

KLFW Bukan Sekadar Pertunjukan Fesyen
Menurut Pengasas Kuala Lumpur Fashion Week, Andrew Tan, tema “Destinasi: Tanah Air” membawa maksud mengembalikan fesyen Malaysia kepada akar budayanya sambil terus memacu industri ke hadapan.
Beliau berkata, KLFW bukan lagi sekadar siri pertunjukan fesyen, sebaliknya menjadi platform yang menghimpunkan pencinta fesyen, penggiat industri dan masyarakat untuk meraikan kreativiti tempatan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerjasama sulung antara KPDN dan KLFW 2026 menjadi platform strategik untuk memperkasakan jenama tempatan menerusi gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA).
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Datuk Sr Mohd Salem Kailany, berkata KLFW terus memainkan peranan penting dalam memperkasa bakat kreatif Malaysia dan mengukuhkan KLCC sebagai hab budaya serta kreativiti negara.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Francis Tan, pula berkata tema “Destinasi: Tanah Air” selari dengan komitmen pusat beli-belah itu dalam menyokong pereka tempatan dan membangunkan ekosistem fesyen Malaysia.
Orang ramai yang ingin mendapatkan jadual penuh pertunjukan, senarai pereka fesyen serta maklumat lanjut mengenai KLFW 2026 boleh mengikuti laman media sosial rasmi Kuala Lumpur Fashion Week atau melayari laman web rasminya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.