Now Reading
Siapa Sangka, Islam Merupakan Agama Kedua Terbesar Di Norway Yang Terkenal Dengan Aurora Borealis

Siapa Sangka, Islam Merupakan Agama Kedua Terbesar Di Norway Yang Terkenal Dengan Aurora Borealis

Komuniti Islam di Norway kini merangkumi kira-kira 3.3 peratus daripada 5.63 juta penduduk negara itu, dengan Islam menjadi agama kedua terbesar di sana.

In Brief
  • Islam ialah agama kedua terbesar di Norway, dengan lebih 197,000 penganut menjelang 2025, mewakili kira-kira 3.3% penduduk.
  • Komuniti Islam di Norway mencatatkan pertumbuhan paling tinggi, memperoleh 7,000 ahli baharu pada 2024 sahaja.
  • Terdapat pelbagai masjid terkenal di Norway, termasuk Baitun Nasr yang mampu menampung lebih 5,000 orang sekaligus.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila kita menyebut tentang Norway, ramai akan membayangkan pemandangan gunung-ganang dikenali sebagai fjord yang memukau serta cahaya aurora borealis (cahaya utara) yang sungguh menakjubkan.

Namun tidak ramai tahu sebenarnya negara Eropah Utara ini mempunyai populasi Muslim yang besar merangkumi kira-kira 3.3% daripada 5.63 juta penduduk, menjadikan Islam agama kedua terbesar selepas Kristian.

Malah, terdapat pelbagai masjid yang dibina di seluruh negara itu, termasuk beberapa yang cukup terkenal.

Norway Merupakan Sebuah Negara Yang Mempunyai 3 Peratus Tanah Pertanian

Perkampungan di Norway. (Foto: Marriott Bonvoy)

Untuk pengetahuan am, Norway merupakan sebuah negara di Eropah Utara yang terkenal dengan alam semula jadi serta cahaya utara sepanjang tahun.

Landskapnya pun terdiri daripada pantai dan kepulauan di selatan sehinggalah pergunungan, dataran tinggi dan kawasan Artik di utara.

Menariknya, hanya sekitar 3 peratus daripada keluasan tanahnya sesuai untuk pertanian.

Oleh sebab itu, sumber asli seperti laut, kuasa hidro dan petroleum menjadi tunjang kepada pembangunan Norway moden.

Selain itu, Norway mempunyai penduduk kira-kira 5.6 juta orang pada 2025, dengan lebih 1.5 juta menetap di sekitar ibu negaranya, Oslo.

Tambahan pula, Norway merupakan sebuah negara monarki berperlembagaan dengan Raja Harald V tidak memegang sebarang kuasa politik. Manakala, parlimen, Stortinget, merupakan pihak berkuasa tertinggi.

Walaupun bukan ahli Kesatuan Eropah (EU), negara itu merupakan sebahagian daripada Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) serta anggota NATO.

Komuniti Islam Catat Peningkatan Paling Tinggi Di Norway

Komuniti Muslim di Norway semakin membesar. (Foto: Islam.ru)

Pada 2024, Norway menyaksikan perubahan ketara dalam keahlian agama apabila kira-kira 15,000 individu keluar daripada Gereja Norway.

Ekoran itu, keahlian gereja terus menurun daripada 85 peratus penduduk pada 1994 kepada 62 peratus pada 2024.

Dalam masa sama, pertumbuhan paling tinggi dicatatkan dalam kalangan komuniti Islam di negara itu yang dilaporkan memperoleh sebanyak 7,000 ahli baharu pada tahun lalu.

Pada 2006 hanya 72,000 orang Islam menetap di Norway dan jumlah itu telah melebihi 197,000 menjelang 2025.

Kini, Islam merupakan agama kedua terbesar di Norway selepas Kristian, dengan majoriti penganutnya berfahaman Sunni serta minoriti Syiah.

Sebanyak 55 peratus penduduk Muslim di sana menetap di Oslo dan bekas wilayah Viken, iaitu kawasan yang kini dikenali sebagai Akershus, Buskerud dan Østfold.

Selain itu, majoriti besar penduduk Muslim di Norway adalah minoriti manakala hanya segelintir warga asli Norway yang beragama Islam.

Ini 5 Masjid Yang Terkenal Di Norway

Menariknya, terdapat pelbagai masjid yang dibina di seluruh Norway, termasuk lima yang popular ini.

#1. Central Jam-e-Mosque
Central Jam-e-Mosque. (Foto: TripAdvisor)

Central Jam-e-Mosque merupakan antara masjid terbesar dan merupakan ibu pejabat World Islamic Mission (WIM) di negara itu.

Masjid ini mampu menampung lebih 700 orang dalam satu masa dan dibina menggunakan jubin yang diimport dari Sepanyol dan Iran lengkap dengan ukiran berkaitan ajaran Islam serta inskripsi ayat al-Quran.

Ia turut menampilkan candelier besar dari Turki serta permaidani lantai di ruang solat utama dan merupakan masjid fahaman Sunni terbesar di Norway.

#2. Baitun Nasr Mosque
Baitun Nasr Mosque. (Foto: Ahmaddiyah)

Baitun Nasr merupakan masjid terbesar di negara itu dari segi kapasiti, dengan keupayaan menampung lebih 5,000 orang pada satu-satu masa.

Ia juga dikenali penduduk setempat sebagai masjid Furuset, dan terletak di timur laut Oslo.

Masjid ini mempunyai sebuah kubah besar serta menara yang menarik di bahagian selatannya.

Seni binanya pula bersifat moden dengan reka bentuk dinding dan hiasan yang cantik.

#3. Central Jamaat-e Ahl-e Sunnat
Central Jamaat-e Ahl-e Sunnat. (Foto: Digital Museum)

Masjid besar terletak di Oslo yang dibina oleh komuniti Pakistan di Norway ini sangat popular dalam kalangan pendatang serta pengunjung dari Asia Selatan.

Ia mampu menampung lebih 2,500 orang pada satu-satu masa, dan berfahaman Sunni dengan pengaruh kuat tradisi Sufisme.

Bangunan baharunya yang siap pada 2006 mempunyai keluasan melebihi 67,000 kaki persegi, menjadikannya antara masjid terbesar di Norway.

#4. Islamic Cultural Centre, Oslo
Islamic Cultural Centre. (Foto: Wikimedia Commons)

Islamic Cultural Centre berfungsi sebagai masjid sekali gus pusat kebudayaan di Oslo dan merupakan antara masjid tertua di Norway setelah dibuka kepada umum pada 1974.

Masjid ini terbuka kepada orang Islam dan bukan Islam, selain menjadi pusat pembelajaran nilai, kepercayaan serta tradisi Islam.

Antara kelebihannya, masjid ini mudah dihubungi dan senang dikunjungi.

#5. Minhaj-ul-Quran International of Norway
Minhaj-ul-Quran International of Norway. (Foto: Wikimedia Commons)

Minhaj-ul-Quran International merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang beribu pejabat di Pakistan dan mempunyai kehadiran di lebih 90 negara.

Di Norway, ia dikenali sebagai MQI dan ditubuhkan pada 1998 dan menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara kebangsaan serta antarabangsa mengenai Islam dan terletak di bandar Oslo.

Baca Artikel Berkaitan: Norway Haramkan AI Untuk Murid Sekolah Rendah Selepas Prestasi Ujian Merosot Teruk | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Ingin Lanjutkan Pengajian Peringkat PhD? Ini Kelebihan Sambung Belajar Di Norway | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd