Nak Beli Jam Tangan Mewah Di Butik Tak Semudah Disangka, Ini Sebabnya
Ada duit pun belum tentu dapat beli jam tangan idaman anda.
- Membeli jam tangan mewah di butik bukan semudah sangka kerana stok terhad dan bergantung kepada permintaan semasa.
- Pembeli perlu masuk waiting list, bina hubungan dengan AD dan kerap mengunjungi butik untuk menunjukkan minat serius.
- Grey market jadi alternatif tetapi harga lebih tinggi, jadi buat kajian teliti sebelum membuat sebarang keputusan pembelian.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ramai beranggapan bahawa untuk membeli seutas jam tangan mewah di butik merupakan sebuah proses yang mudah.
Anda hanya perlu hadir ke butik, memilih model yang diminati dan membuat pembayaran sekiranya mempunyai bajet mencukupi.
Hakikatnya, proses pembelian di authorised dealer (AD) boleh menjadi rumit kerana bergantung kepada pelbagai faktor seperti ketersediaan stok, permintaan semasa dan hubungan anda dengan jenama tersebut.
Seperti Bercinta, Anda Perlu Menjalinkan Hubungan Terlebih Dahulu
View on Threads
Menerusi Threads seorang pengguna (@xaiful) bertanya pengalaman orang ramai mengenai langkah membeli jam tangan mewah dari butik rasmi di Malaysia.
Dia menjelaskan bahawa dirinya merupakan pembeli kali pertama dan merancang untuk mendapatkan jam idaman dalam tempoh masa terdekat.
Soalan tersebut mendapat perhatian ramai yang menjelaskan istilah seperti ‘masuk list’, mempunyai hubungan rapat dengan AD serta cara pembeli baharu boleh memulakan proses pembelian.
Tidak Semua Model Anda Lihat Di Butik Boleh Dibeli Terus

Antara perkara yang perlu difahami oleh pembeli kali pertama adalah tidak semua model tersedia untuk pembelian segera.
Walaupun anda sudah mempunyai bajet mencukupi, model yang mempunyai permintaan tinggi mungkin tidak dipamerkan atau belum tersedia untuk dijual pada waktu tersebut.
AD biasanya menerima stok dalam jumlah tertentu dan disebabkan itu, pembeli mungkin perlu menyatakan minat terlebih dahulu sebelum dihubungi semula sekiranya stok bakal tiba.
Proses ini bukan makan berbulan tau, sebaliknya boleh makan bertahun.
Kenapa Anda Perlu Masuk Dalam Waiting List Untuk Membeli?

Istilah masuk list sering digunakan dalam dunia jam tangan mewah, terutamanya apabila melibatkan model yang sukar diperoleh.
Dalam banyak keadaan, istilah itu merujuk kepada rekod minat pelanggan terhadap model tertentu dan jika stok tersebut tiba, pihak butik atau AD akan menghubungi pelanggan yang telah menunjukkan minat lebih awal.
Tempoh menunggu pula berbeza mengikut model, permintaan dan polisi setiap jenama.
Nak Bina Hubungan Kena Nampak Kemas & Beli Model Lain Terlebih Dahulu
Menerusi ruangan balas, ada pengguna mencadangkan agar pembeli baharu membuat sedikit kajian mengenai model yang diingini sebelum hadir ke butik.
Selain itu, ia dinasihatkan supaya tampil kemas dan kerap mengunjungi butik atau AD untuk menunjukkan minat serta usaha anda itu serius.
Di samping itu, anda juga boleh membeli beberapa model yang mempunyai permintaan lebih rendah sebelum menyasarkan model lebih popular.
Walau bagaimanapun, cadangan ini hanyalah pandangan peribadi daripada peminat jam tangan mewah dan bukan jaminan rasmi untuk mendapatkan model tertentu.
Melayari Pasaran Grey Market Sebagai Langkah Alternatif

Bagi individu yang mahukan model tertentu dengan lebih cepat, pasaran grey market, secondary market sering menjadi pilihan utama kerana biasanya mempunyai lebih banyak pilihan kerana jam-jam tersebut dijual oleh pemilik lain.
Namun, perlu diingatkan harganya tidak sama daripada harga butik dan mengikut harga pasaran seperti model yang mempunyai permintaan tinggi akan dijual dengan nilai lebih tertinggi berbanding di butik.
Oleh itu, anda sebagai pembeli perlu membuat kajian, tanya pakar serta berkawan dengan komuniti jam tangan mewah untuk memahami nilai pasaran sebelum melakukan keputusan.
Buat Kajian Untuk Elak Ditipu Bulat-Bulat

Bagi pembeli kali pertama, langkah paling selamat sebelum anda membeli sebarang jam tangan ialah melakukan kajian mengenai harga pasaran, tahap permintaan dan alternatif sebelum berkunjung ke butik atau AD.
Selain itu, tetapkan tempoh sasaran pembelian supaya anda tidak terlalu berharap menunggu masa akan tiba untuk membeli model idaman kerana dalam dunia jam tangan mewah, memiliki bajet belum tentu bermaksud model idaman boleh dibeli serta-merta.
Kesabaran, membina hubungan dan berkomunikasi adalah sebahagian daripada proses untuk memiliki seutas jam tangan yang boleh menjadi harta pusaka dalam kehidupan anda.
Baca Artikel Berkaitan: Omega Seamaster 007 First Light: Jam James Bond Pertama Dari Permainan Video
Baca Artikel Berkaitan: Ini 11 Pilihan Jam Tangan Untuk Kaum Lelaki Kekal ‘Versatile’. Harga Pun Mampu Milik!
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



