Now Reading
Ini 4 Karya Seni Terkait Skandal 1MDB Yang Bakal Diserahkan Ke Balai Seni Negara

Ini 4 Karya Seni Terkait Skandal 1MDB Yang Bakal Diserahkan Ke Balai Seni Negara

Nilai keempat-empat karya seni oleh artis Pablo Picasso, Joan Miró, Balthus dan Maurice Utrillo itu dianggarkan mencecah RM800,000.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


1 Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan salah satu skandal kewangan yang terbesar di dalam negara.

Hari ini (6 Mei), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan aset sekitar RM31.3 bilion telah berjaya didapatkan semula oleh kerajaan.

Antara aset yang berjaya dipulangkan ke Malaysia ialah empat karya seni ternama dengan nilai mencecah RM800,000 melalui usaha pemulihan aset 1MDB oleh SPRM.

Baca Artikel Berkaitan: Aset RM471 Juta Dikaitkan Dengan 1MDB Akan Dikembalikan Oleh AS

4 Karya Seni Akan Diserahkan Pada Balai Seni Negara Minggu Depan

Terbaharu, keempat-empat lukisan ini akan diserahkan minggu depan kepada Balai Seni Negara bagi tujuan pemuliharaan.

Menurut Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki, lukisan berkenaan yang kini ditempatkan di ibu pejabat SPRM buat sementara waktu berada dalam keadaan terkawal.

“Menjelang minggu depan, kami akan menyerahkannya kepada Balai Seni Negara.

“Keadaan di sini agak tidak teratur kerana kami perlu menjaga suhu dan sebagainya, selain kekurangan kotak serta tenaga kerja,” katanya dipetik Berita Harian.

Karya Seni Dikaitkan Dengan Skandal 1MDB Mungkin Akan Ditayangkan Kepada Orang Ramai

Menjawab persoalan sama ada lukisan berkenaan akan dipamerkan kepada umum, beliau berkata perkara itu akan ditentukan oleh pihak pengurusan Balai Seni Negara.

“Apabila ia diserahkan kepada Balai Seni Negara, saya serahkan kepada ketua pengarahnya.

“Saya fikir ia akan dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat dan orang ramai boleh datang melihat semua lukisan ini,” katanya.

Azam Baki berpendapat bahawa keempat-empat karya seni itu wajar dijadikan peringatan kepada skandal 1MDB serta kepentingan akauntabiliti dalam pentadbiran awam.

“Bagi saya, lukisan ini perlu disimpan oleh kerajaan supaya orang ramai boleh melihatnya dan mengingati sejarah berkaitan 1MDB. (Empat) lukisan ini bukan palsu, (lukisan) ini tulen,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, keempat-empat karya seni itu telah dibeli menggunakan dana 1MDB di rumah lelong Sotheby’s di New York.

SPRM Dalam Proses Dapatkan 8 Lagi Karya Seni Lain

Selain empat lukisan ini, terdapat lapan lagi karya seni yang dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB dengan nilai anggaran lebih RM120 juta.

Memetik laporan Bernama, SPRM kini sedang dalam proses bagi mendapatkan lapan lagi karya seni ini yang termasuk oleh artis:

  • Pablo Picasso
  • Salvador Dali
  • Gustave Loiseau
  • Alexander Calder
  • Henri Matisse
  • William H. Bailey
  • Raoul Dufy

Ini 4 Karya Seni Yang Akan Diserah Ke Balai Seni Negara

Berikut merupakan empat lukisan berkaitan 1MDB yang bakal diserahkan kepada Balai Seni Negara serta maklumat serba sedikit mengenai pelukisnya.

#1. Composition (1953)
Composition (1953) oleh Joan Miró

Composition (1953) merupakan lukisan berus dan dakwat di atas kertas oleh artis Sepanyol Joan Miró yang terkenal dengan karya seni Moden dan Surealisme.

Dilahirkan pada tahun 1893 di Barcelona, Sepanyol, Miró bagaimanapun menganggap karyanya bebas daripada sebarang ‘isme’.

Beliau merupakan tokoh yang terkenal dalam dunia seni moden di samping artis lain seperti Pablo Picasso.

Antara karyanya yang menjadi imej ikonik dalam Gerakan Surealisme ialah The Tilled Field dan Harlequin’s Carnival.

#2. Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934)
Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo

Lukisan ini dihasilkan oleh artis Perancis, Maurice Utrillo yang sememangnya terkenal dengan karya seni pemandangan di bandar kelahirannya, Montmarte.

Beliau dilahirkan pada tahun 1883 oleh seorang ibunya, Suzanne Valadon, yang juga merupakan artis dan model. Nama keluarganya telah diberikan oleh seorang pengkritik seni Sepanyol, Miguel Utrillo.

Maurice amat dikenali dengan karya seninya yang dihasilkan ketika ‘white period’ (circa 1909-1914) kerana banyak menggunakan warna zink putih yang kadangkala dicampur bersama plaster.

#3. Étude pour femme couchée (1948)
Étude pour femme couchée (1948) oleh Balthus

Karya yang dihasilkan menggunakan pensil di atas kertas ini adalah antara koleksi lukisan Balthus dengan tema sama.

Dilahirkan di Perancis, Balthus merupakan artis yang terkenal dengan karya Impresionalisme dan Moden.

Beliau sering menghasilkan lukisan dengan fokus terhadap remaja perempuan yang mempunyai kedalaman psikologinya tersendiri.

#4. L’Ecuyère et les clowns (1961)
L’Ecuyère et les clowns (1961) oleh Pablo Picasso

Karya yang menggunakan teknik cetakan litograf ini dihasilkan oleh Pablo Picasso, artis yang pasti dikenali oleh orang ramai terutamanya mereka yang mengikuti perkembangan industri seni dunia.

Terkenal dengan gaya seni Surealisme dan Kubisme, beliau ialah antara tokoh seni terpenting dalam abad ke-20.

Beliau yang dilahirkan di Sepanyol dan kemudiannya berpindah ke Perancis, juga bertanggungjawab sebagai pengasas bersama gerakan seni rupa moden Kubisme di samping Georges Braque.

Setelah kematiannya pada 1973, nilai Picasso sebagai seorang artis dan inspirasi kepada artis lain semakin meningkat.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd