[Eksklusif] Dari Dunia Korporat Ke Kokpit: Ini Kisah Perubahan Besar Seorang Pilot Malaysia
Perjalanan Capt. Chris bukan sekadar pertukaran kerjaya, tetapi satu proses “reinvention”.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tidak semua orang berani meninggalkan kerjaya yang stabil untuk bermula semula, lebih-lebih lagi dalam industri berisiko tinggi seperti penerbangan.
Namun bagi Chris Koh, keputusan untuk beralih daripada dunia korporat ke kokpit bukan sekadar perubahan kerjaya, tetapi satu langkah bagi mencari cabaran dan makna yang lebih besar dalam hidup.
Bersempena World Pilot Day pada 26 April 2026 yang lalu, kisah beliau memberi gambaran tentang realiti di sebalik profesion juruterbang daripada tekanan membuat keputusan dalam situasi kritikal hingga tanggungjawab mengendalikan ratusan penumpang di udara.
Hari ini, beliau merupakan juruterbang komersial berpengalaman, antara juruterbang terawal pesawat Boeing 787 di Scoot, serta seorang jurulatih yang terlibat dalam melatih generasi juruterbang baharu.
Pengalaman ini memberinya perspektif menyeluruh, bukan sahaja dari segi teknikal, tetapi juga aspek pertimbangan, disiplin dan pembelajaran berterusan dalam profesion tersebut.
“Saya Mahu Cabaran Yang Berbeza”

“Minat saya terhadap bidang penerbangan didorong oleh keterujaan untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu yang baharu dan berpandangan jauh.
“Berasal daripada latar belakang korporat, saya mencari laluan kerjaya yang dapat mencabar diri saya dalam cara yang berbeza, dan bidang penerbangan menawarkan persekitaran yang lebih praktikal dengan tanggungjawab yang lebih besar,” jelasnya.
Beliau memulakan langkah dengan menyertai Singapore Airlines sebagai juruterbang kadet, sebelum berkembang ke peranan Pegawai Pertama.
Peluang bersama Scoot pula hadir ketika syarikat itu masih di peringkat awal, menjadikan pengalaman tersebut lebih bermakna.
“Peluang untuk menjadi sebahagian daripada usaha membina sesuatu yang baharu menjadi amat menarik bagi saya.”
Sepanjang perjalanan itu, peranannya turut berkembang daripada menerbangkan pesawat kepada terlibat dalam latihan dan pengajaran. Ia merupakan satu evolusi yang mengukuhkan komitmennya terhadap profesion ini.
Cabaran Besar, Tanggungjawab Lebih Besar
Peralihan daripada dunia korporat ke penerbangan bukan sesuatu yang mudah.

Chris menjelaskan bahawa perubahan minda merupakan cabaran utama, termasuk keperluan untuk memahami aspek teknikal seperti aerodinamik, sistem pesawat dan istilah penerbangan dalam masa yang singkat.
Selain itu, tahap tanggungjawab juga meningkat seiring dengan perkembangan kerjaya daripada juruterbang kadet kepada Pegawai Kedua dan seterusnya Pegawai Pertama.
Dalam masa yang sama, beliau perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang sangat dinamik dan berorientasikan manusia.
“Setiap penerbangan memberi peluang untuk bekerja dengan kru yang berbeza. Kami perlu membina hubungan kerja dengan cepat, berkomunikasi dengan jelas, dan berfungsi sebagai satu pasukan dalam suasana yang pantas.”
Menurutnya, pengalaman ini mengukuhkan kepentingan persediaan, disiplin dan kerjasama dalam memastikan prestasi yang konsisten.
Apa Yang Berlaku Sebelum Pesawat Berlepas?
Di sebalik penerbangan yang lancar, persediaan seorang juruterbang sebenarnya bermula jauh lebih awal.

Beberapa hari sebelum penerbangan, Chris akan menyemak carta lapangan terbang, prosedur terkini serta keadaan cuaca di sepanjang laluan. Ini penting untuk membentuk gambaran menyeluruh dan mengenal pasti sebarang cabaran lebih awal.
Pada hari penerbangan pula, beliau akan meneliti pelan penerbangan sebelum bertemu Pegawai Pertama untuk sesi persediaan pra-penerbangan di kokpit — proses yang boleh mengambil masa sehingga satu jam.
Fasa paling kritikal dalam penerbangan adalah semasa pelepasan dan pendaratan, manakala ketika pesawat berada dalam keadaan stabil di udara, peranan juruterbang beralih kepada pemantauan sistem dan memastikan laluan penerbangan kekal tepat.

Pengalaman sebagai juruterbang turut membentuk cara Chris mengendalikan kehidupan seharian.
“Pengalaman saya sebagai juruterbang telah mengajar saya untuk kekal tenang di bawah tekanan, tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa, dan mencari keseimbangan antara ketelitian dengan melihat situasi secara menyeluruh.”
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan kerja keras dan keupayaan untuk memahami perspektif berbeza hasil interaksi dengan individu dari pelbagai latar belakang.
Definisi Kejayaan Yang Berubah
Bagi Chris, definisi kejayaan berubah sepenuhnya selepas meninggalkan dunia korporat.
“Berbanding laluan kerjaya korporat yang lebih tradisional, perkembangan sebagai juruterbang lebih tersusun, namun kepuasan sebenar datang daripada impak bermakna melalui peranan yang saya galas.”
Beliau kini melihat kejayaan melalui sumbangannya sebagai juruterbang yang memastikan keselamatan penumpang, sebagai jurulatih yang membangunkan bakat baharu, serta melalui peranan dalam menyokong kecemerlangan operasi.
Menariknya, perubahan ini turut disedari oleh orang sekeliling.
Lebih Daripada Sekadar Kerjaya
Kisah Chris Koh bukan sekadar tentang penerbangan, tetapi tentang keberanian untuk memulakan semula dan mencari makna dalam kerjaya.
Bagi mereka yang pernah mempersoalkan laluan hidup atau terfikir untuk bermula dari awal, kisah ini menjadi peringatan bahawa perubahan besar sering datang dengan ganjaran yang lebih bermakna jika berani mengambil langkah pertama.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
I enjoy writing and eating at the same time. I sit at my work desk for hours every day. Oh! I like cafe hopping, though I don't drink coffee. I'm, uh.. indecisive. I see eight sides of everything. Currently leading Bahasa desk for The Rakyat Post as the Head Writer & Assistant Editor.