Now Reading
Fleksibiliti Atasi ‘Time Poverty’: Realiti Baharu Wanita Bekerja Di Malaysia – Kajian

Fleksibiliti Atasi ‘Time Poverty’: Realiti Baharu Wanita Bekerja Di Malaysia – Kajian

Di Malaysia, fleksibiliti dikenal pasti sebagai faktor utama, dengan 60% wanita pemandu Grab menyatakan ia sebagai sebab utama mereka menyertai platform tersebut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kajian terbaharu oleh United Nations Global Compact Network Singapore, Kantar dan Grab bertajuk “Women in the Driver’s Seat: Driving Economic Inclusion for Southeast Asia’s Women through Ride-Hailing and Delivery” menunjukkan bagaimana kerja fleksibel melalui platform digital mampu meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi.

Kajian yang melibatkan 42,000 responden di seluruh rantau ini mendapati bahawa kerja platform bukan sekadar sumber pendapatan tambahan, tetapi menjadi pemangkin kepada kebebasan kewangan dan mobiliti sosial.

Wanita Sebagai Penyumbang Ekonomi

Pada tahun 2025, wanita pemandu Grab di Asia Tenggara menjana sekitar USD0.8 bilion (kira-kira RM3.8 bilion) dalam output ekonomi. Menariknya, 22% daripada mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan sebelum menyertai platform tersebut.

Dapatan ini menunjukkan potensi besar ekonomi digital dalam membuka peluang kepada wanita yang sebelum ini berada di luar pasaran kerja.

Isu ‘Time Poverty’ & Keperluan Fleksibiliti

Foto: MalayMail

Kajian ini turut mengetengahkan isu “time poverty”, iaitu kekangan masa akibat tanggungjawab penjagaan tidak berbayar.

Di Asia Tenggara, wanita menyumbang lebih 72% daripada kerja penjagaan ini, sekali gus menyukarkan mereka untuk terlibat dalam pekerjaan tradisional sepenuh masa.

Kerja platform menawarkan alternatif melalui jadual lebih fleksibel, membolehkan wanita menjana pendapatan tanpa mengabaikan tanggungjawab sedia ada.

Situasi Di Malaysia

Di Malaysia, fleksibiliti dikenal pasti sebagai faktor utama, dengan 60% wanita pemandu Grab menyatakan ia sebagai sebab utama mereka menyertai platform tersebut. Selain itu, 51% ingin menyokong keluarga, manakala 49% mahu mencapai kebebasan kewangan.

Profil responden juga menunjukkan kepelbagaian latar belakang, dengan 35% terdiri daripada wanita berkahwin dan mempunyai anak, manakala 29% adalah bujang.

Kesan Kepada Kesejahteraan Hidup

Wanita pemandu Grab di Malaysia melaporkan peningkatan ketara dalam aspek kewangan dan kesejahteraan diri:

  • 84% lebih yakin untuk menjana pendapatan sendiri
  • 74% mencapai tahap kebebasan kewangan yang lebih baik
  • 65% melaporkan peningkatan kualiti hidup
  • 57% lebih berdaya tahan dari segi kewangan

Selain itu, 81% menyatakan rasa bangga menjadi rakan pemandu Grab, dan 75% bersedia mengesyorkan platform tersebut kepada wanita lain.

Keselamatan & Sokongan Berterusan

Walaupun peluang yang ditawarkan semakin meluas, faktor keselamatan masih menjadi kebimbangan utama, dengan 75% responden menyatakannya sebagai isu penting.

Bagi menangani perkara ini, Grab memperkenalkan beberapa ciri keselamatan seperti AudioProtect dan Selfie Verification, selain melaksanakan ciri Women-Only Rides (Beta) di Lembah Klang.

Menurut Ketua Pemasaran, Kelestarian, Kesetiaan dan Sokongan Kumpulan Grab, Cheryl Goh, “Wanita yang menjadi rakan pemandu di platform tersebut secara umumnya menunjukkan tahap produktiviti yang lebih tinggi berbanding lelaki, di samping mengekalkan penilaian perkhidmatan yang setanding dan turut menerima tip yang lebih tinggi.

Beliau berkata, situasi ini membuktikan keupayaan wanita sebagai penyumbang nilai yang signifikan kepada ekonomi, khususnya apabila mereka diberikan fleksibiliti untuk mengurus masa sendiri.

“Apabila wanita mempunyai kebebasan untuk menentukan bila dan bagaimana mereka bekerja, kesannya bukan sahaja kepada pendapatan, tetapi turut meliputi aspek kehidupan lain.

“Antaranya termasuk keupayaan untuk melabur dalam pendidikan anak-anak serta keyakinan untuk memulakan perniagaan kecil,” katanya.

Pihak Grab komited untuk terus memperluaskan akses kepada peluang ini dengan mengurangkan halangan utama seperti kekurangan fleksibiliti dan isu keselamatan, selain memastikan platform tersebut kekal sebagai saluran yang selamat, dipercayai dan bermakna untuk wanita menjana pendapatan serta memperkukuh kedudukan ekonomi mereka.

Potensi Masa Depan

Kajian ini turut mengenal pasti lebih 40 juta wanita di Asia Tenggara yang berpotensi menyertai ekonomi platform, namun masih belum berbuat demikian.

Ini menunjukkan bahawa cabaran utama bukan kekurangan minat, tetapi kekangan struktur pekerjaan tradisional.

Foto: Grab

Secara keseluruhan, dapatan kajian ini menegaskan bahawa peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja bukan sahaja penting dari sudut sosial, tetapi juga memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi.

Dengan pendekatan yang lebih inklusif dan fleksibel, ekonomi digital berpotensi menjadi pemangkin kepada masa depan pekerjaan yang lebih seimbang dan mampan di rantau ini.

Kajian penuh boleh didapat di sini: UN Global Impact SG


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd