Kenali Palet Warna Untuk Lebih Glow Up, Ini Kebaikan Colour Analysis Yang Ramai Tak Tahu
Ada sesetengah daripada kita sudah mencuba memakai pelbagai jenis warna baju dan aksesori tetapi masih kelihatan tidak menyerlah serta kurang sesuai.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Masalah kulit muka adalah perkara normal yang dilalui semua orang tidak kira golongan remaja atau dewasa. Kadangkala, wajah kelihatan kusam akibat memakai produk yang tidak sesuai dengan kulit.
Namun apa yang ramai tidak perasan adalah, ton warna pemakaian dan makeup khususnya bagi para wanita juga memainkan peranan bagi menaikkan seri wajah seseorang.
Baca Artikel Berkaitan: Elak Kering & Kusam, Doktor Ini Kongsi Teknik Cuci Muka Dengan Betul
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Muka Masih Kusam Walau Dah Guna Toner Pad? Ini Cara Pakai Yang Betul
Ya betul, kadangkala seseorang itu kelihatan lebih ceria dan bertenaga apabila memakai warna cerah dan vibrant seperti jingga atau merah tetapi vibe berubah apabila menyarungkan pakaian berwarna lebih malap.
Oleh disebabkan itulah, mengapa analisis warna (colour analysis) diperkenalkan dan dilihat sebagai satu trend pada masa kini. Malah banyak juga jenama kecantikan yang selalu membuka booth bagi menawarkan sesi tersebut secara percuma.

Apa Itu Analisis Warna & Beza Tona Warna Ikut 4 Musim
Buat mereka yang tidak pernah dengar, colour analysis adalah ialah satu proses yang membantu seseorang menentukan warna pakaian, solekan dan aksesori yang paling sesuai dengan tona kulit, warna rambut, dan warna mata semula jadi mereka.
Ia juga kadangkala dipanggil sebagai analisis warna peribadi atau konsultasi warna.

Fungsi sebenar adalah untuk mengenal pasti palet warna musim seseorang iaitu kumpulan warna yang membuatkan penampilan keseluruhan lebih menyerlah.
Kebiasaannya, individu akan dikategorikan mengikut empat musim iaitu Musim Bunga, Luruh, Panas dan Sejuk.
Musim Bunga (Spring):
- Individu yang mempunyai tona kulit hangat (warm undertones) kebiasaannya mempunyai warna kulit keemasan.
- Mereka kelihatan cantik memakai warna baju yang hangat dan cerah seperti coral, turquoise, dan kuning keemasan.

Musim Panas (Summer):
- Individu dengan tona kulit sejuk (cool undertones) selalunya berkulit cerah.
- Mereka lebih sesuai dengan warna lembut atau pastel sebagai contoh lavender, biru lembut, dan merah jambu lembut.

Musim Luruh (Autumn):
- Individu dengan tona hangat yang mempunyai kulit warna lebih gelap.
- Warna terbaik untuk mereka adalah tona bumi seperti hijau zaitun, terracotta, dan oren gelap.

Musim Sejuk (Winter):
- Individu dengan tona kulit sejuk dan kebiasaannya mempunyai warna kulit gelap.
- Mereka lebih sesuai dengan warna yang bold (terang) dan jelas seperti biru diraja (royal blue), hijau emerald, dan merah terang (true red).

Colour Analysis: Teknik Drapping Beberapa Helai Kain Dengan Pelbagai Warna
Proses analisis warna biasanya melibatkan teknik draping yang mana pakar akan meletakkan kain dengan pelbagai warna pada seseorang untuk melihat warna mana yang menyerlahkan ciri wajah dan membuatkan kulit nampak lebih berseri.
Antara aspek lain yang akan dinilai termasuk tona warna pada kulit dan rambut. Tujuannya adalah bagi mengenal pasti warna yang kelihatan harmoni (blend in) dan semula jadi pada seseorang.

Kebaikan-kebaikan Lakukan Analisis Warna
Kalau anda nak tahu, analisis warna bukan sahaja dapat mengenal pasti warna baju tetapi juga jenis dan warna makeup yang sesuai dengan kulit wajah. Sebagai contoh palet warna gincu, blusher dan eyeshadow.
Buat mereka yang tidak pernah melakukan analisis warna, perkara ini sebenarnya memberikan banyak manfaat. Antaranya:
- Bantu mengenal pasti warna yang sesuai dengan undertone kulit. Kulit juga akan kelihatan lebih sekata dan berseri.
- Menonjolkan ciri semula jadi. Sebagai contoh, mata dan rambut anda boleh kelihatan bersinar-sinar jika dipadankan dengan pakaian dengan warna yang tepat.
- Warna yang sesuai boleh membantu memudarkan atau ‘menyembunyikan’ jerawat, kemerahan atau lingkaran gelap bawah mata pada kulit wajah.
- Anda akan tampil yakin dan berkarisma jika memilih warna pakaian yang betul mengikut tona kulit.
- Dapat declutter atau mengurangkan pakaian dalam almari yang tidak lagi digunakan. Mana yang tidak sesuai dengan kulit wajah boleh didermakan kepada orang lain.
- Menjimatkan masa untuk membeli-belah pakaian baharu.
- Menjimatkan wang kerana anda sudah tahu warna baju apa yang perlu dibeli.
- Tidak mengambil masa terlalu lama untuk berdandan.
- Sesetengah warna boleh membuatkan anda kelihatan lebih ramping dan kurus.
- Kelihatan lebih muda kerana ilusi visual daripada warna yang membuatkan anda lebih segar.

Untuk info, analisis warna ini boleh dilakukan di rumah secara DIY (do it yourself) atau menerusi kuiz atas talian. Bagaimanapun, adalah disarankan untuk membuat temu janji bersama pakar bagi mendapatkan palet tona warna yang lebih tepat.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.