Now Reading
Ramai Rakyat Malaysia Alami Burnout Dalam Kehidupan, Tapi Masih Anggap “Normal”

Ramai Rakyat Malaysia Alami Burnout Dalam Kehidupan, Tapi Masih Anggap “Normal”

Kita sibuk kejar kerja, sampaikan kesihatan sendiri terjejas.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tempat kerja di Malaysia sekarang memang bergerak laju. Ramai yang terpaksa duduk lama di pejabat dan sentiasa “melekat” dengan telefon atau laptop.

Bila semua fokus pada produktiviti, makin ramai yang sebenarnya berdepan dengan stres kronik dan burnout.

Dalam masa yang sama, risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi pun semakin meningkat.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan, lebih setengah juta rakyat Malaysia menghidap empat jenis NCD.

Diabetes sahaja menjejaskan 15.6% populasi, dan kes dalam kalangan umur 18 hingga 29 tahun juga semakin meningkat.

Stres Selalu Ada, Tapi Ramai Tak Sedar

Masalahnya, pemeriksaan kesihatan biasa selalunya tak dapat kesan isu yang berpunca daripada stres.

Menurut Pegawai Perubatan Residen & Pakar Perubatan Gaya Hidup Bertauliah dari Pusat Perubatan Sunway, Dr Wee Hui Yin, ramai pesakit sebenarnya tidak menggunakan istilah “burnout”.

(kiri): Pegawai Perubatan Residen & Pakar Perubatan Gaya Hidup Bertauliah dari Pusat Perubatan Sunway, Dr Wee Hui Yin.

Tapi bila jumpa doktor, tanda-tanda itu jelas kelihatan.

“Ramai tak panggilnya burnout, tapi ia muncul sebagai keletihan, cepat marah, susah tidur, dan mudah tertekan di tempat kerja atau di rumah,” jelasnya.

Burnout Makin Serius Di Malaysia

“Kadar burnout di Malaysia memang membimbangkan. Tahun 2024, sebanyak 67% pekerja melaporkan burnout, meningkat daripada 58% pada 2022,” kata Dr Wee.

Golongan Milenial dan Gen Z mungkin lebih terbuka untuk bercakap tentang perkara ini. Tapi sebenarnya, golongan pertengahan umur lebih berisiko.

Ini kerana mereka berada dalam situasi “generasi sandwic” — kena urus kerja, jaga anak, dan dalam masa sama jaga ibu bapa yang semakin berusia. Akhirnya, ramai yang simpan stres sendiri dan tak cari jalan untuk atasi, yang boleh beri kesan buruk pada kesihatan dalam jangka panjang.

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Disebabkan itu, syarikat kini mula sedar bahawa menjaga kesejahteraan pekerja bukan sekadar bagi sokongan emosi. Ia perlukan pendekatan lebih menyeluruh — gabungan kesihatan fizikal, gaya hidup, dan sokongan mental.

Apa Jadi Bila Stres Berpanjangan?

Bila stres berlarutan, badan kita akan mula “terjejas” dari dua sudut — fizikal dan mental.

Dari segi fizikal, hormon stres seperti kortisol boleh menyebabkan:

  • Gula dalam darah meningkat
  • Kolesterol jahat naik
  • Lemak visceral bertambah
  • Tekanan darah tinggi

Dalam masa sama, seseorang juga boleh alami:

  • Kemurungan
  • Kebimbangan
  • Masalah tidur
  • Tabiat minum alkohol berlebihan
Foto: Gambar sekadar hiasan.

“Semua ini meningkatkan risiko diabetes, hipertensi dan penyakit jantung. Stres juga boleh sebabkan keradangan dan saluran darah jadi keras. Itu sebab ada orang kena penyakit jantung walaupun nampak macam tiada faktor risiko,” jelas Dr Wee.

Kenapa Saringan Kesihatan Sahaja Tidak Cukup?

Menurut Dr Wee, saringan kesihatan tahunan sahaja tak cukup kalau tiada tindakan susulan.

“Ada pesakit datang setiap tahun, tapi keputusan masih sama,” katanya.
“Bukan sebab mereka tak tahu, tapi sebab tak cukup masa, tak ada bimbingan, dan tak tahu nak mula dari mana.”

Ditambah pula dengan kerja yang panjang dan gaya hidup tak sihat, akhirnya tiada perubahan sebenar berlaku.

Sebenarnya, penjagaan kesihatan pencegahan perlu dipantau secara konsisten — termasuk tekanan darah, gula, kolesterol, BMI, lilitan pinggang, fungsi buah pinggang, tahap stres dan kualiti tidur.

Dan yang penting, keputusan ini kena digunakan untuk ubah gaya hidup, bukan sekadar menjadi laporan semata-mata.

Pendekatan Lebih Holistik Untuk Hidup Sihat

Menurut Dr Wee, sihat bukan sekadar tak sakit — tapi hidup dengan kualiti yang baik.

Beliau menyokong pendekatan holistik yang gabungkan:

  • Rawatan perubatan
  • Pemakanan sihat
  • Pengurusan stres
  • Tidur berkualiti

Beliau juga merujuk kepada komuniti “Zon Biru” seperti Okinawa (Jepun), Loma Linda (California) dan Sardinia (Itali), di mana penduduknya hidup lebih lama dan kurang penyakit kronik.

“Rahsia mereka mudah — apa yang kita panggil ‘Power of 9’. Mereka bergerak setiap hari, makan makanan berasaskan tumbuhan, pandai urus stres, dan ada hubungan sosial yang kuat,” katanya.

“Ia bukan tentang perubahan besar yang susah nak kekalkan. Tapi perubahan kecil yang konsisten — seperti berjalan lebih banyak, makan lebih sihat, dan luang masa dengan keluarga.”

Kalau rasa terlalu sibuk untuk jaga kesihatan, Dr Wee cadangkan: mula kecil, tapi mula sekarang.

Antara langkah mudah:

  • Ambil rehat pendek untuk berjalan atau regangan setiap beberapa jam
  • Banyakkan pergerakan — berdiri, guna tangga, parkir jauh sikit
  • Cuba teknik pernafasan “square breathing” (4 saat tarik, tahan, hembus, rehat) selama 1–2 minit
  • Pastikan tidur cukup (7–9 jam), dan kurangkan penggunaan telefon sebelum tidur

Peranan Majikan Dalam Isu Burnout

Majikan juga memainkan peranan besar.

Program kesihatan yang lengkap — termasuk pencegahan, sokongan emosi dan pendidikan gaya hidup — boleh bantu:

  • Kurangkan ketidakhadiran kerja
  • Kurangkan kos perubatan
  • Tingkatkan produktiviti

Budaya kerja juga penting. Kalau budaya terlalu menekan, kerja lama tanpa henti dan sentiasa “online”, ia boleh jejaskan kesihatan pekerja.

“Kerja lama tak bermaksud kerja lebih efektif,” kata Dr Wee.

Sokongan seperti pusat jagaan kanak-kanak, sempadan kerja yang jelas, menggalakan penjagaan diri dan kepimpinan yang sihat boleh bantu mengurangkan stres — terutamanya bagi golongan pertengahan kerjaya.

Akhir sekali, Dr Wee tekankan satu perkara penting:

“Stres dan burnout bukan tanda kegagalan. Bila anda jaga diri sendiri, itu bukan pentingkan diri. Sebenarnya, anda sedang memastikan anda mampu jaga orang lain dan teruskan kehidupan serta kerjaya untuk jangka masa panjang.”


Dr Wee Hui Yin adalah Pegawai Perubatan Residen & Pakar Perubatan Gaya Hidup Bertauliah, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd