[Eksklusif] Dari Dapur Rumah Ke 18 Cawangan: Ini Kisah Perjalanan Gula Cakery Bersama Pengasas, Arieni
Bermula sebagai sebuah kafe kecil yang menawarkan kek buatan sendiri dan hidangan comfort food, Gula Cakery kini berkembang kepada 18 cawangan di seluruh Malaysia.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam dunia F&B yang semakin kompetitif, membina jenama tempatan yang kukuh bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun bagi Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal atau lebih mesra dikenali sebagai Arieni, perjalanan membangunkan Gula Cakery membuktikan bahawa minat, disiplin dan konsistensi mampu membawa sesuatu yang kecil berkembang menjadi jenama dikenali ramai.
Kisah di Sebalik Pengasas Gula Cakery
Menurut Arieni, perjalanan beliau dalam industri F&B bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal. Beliau memulakan kerjaya dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebagai seorang guru.
Minat terhadap bidang pembuatan kek dan pastri (baking) pula bermula sejak usia remaja, apabila beliau belajar daripada buku resipi milik neneknya.

Dari situ, beliau mendapati bahawa bidang ini memberikan kepuasan yang sama seperti mengajar—bersifat langsung (hands-on), kreatif dan mampu menggembirakan orang lain.
Pada tahun 2009, beliau mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah, termasuk menjual kek kepada keluarga dan rakan-rakan, mengendalikan kelas baking serta menyertai bazar tempatan.
Walaupun berkembang pesat, jenama ini masih mengekalkan nilai terasnya iaitu memberi penekanan kepada kualiti, konsistensi dan hubungan komuniti, dengan matlamat menyatukan orang ramai melalui makanan yang dihasilkan dengan teliti.
Temu Bual Eksklusif Bersama TRP
#1. TRP: Boleh kongsikan bagaimana idea untuk memulakan Gula Cakery tercetus?
Arieni: Minat terhadap baking bermula sejak remaja, apabila saya belajar daripada buku resipi milik nenek saya. Dari situ, saya melihat baking sebagai cara untuk menggembirakan orang lain.
Pada tahun 2009, saya mula membuat kek dari rumah untuk keluarga dan rakan-rakan sambil mengadakan kelas baking kecil-kecilan.
Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan memberi keyakinan untuk membuka outlet pertama Gula Cakery di Kota Kemuning pada tahun 2015.
#2. TRP: Apakah cabaran terbesar pada peringkat awal?
Arieni: Cabaran terbesar adalah membina semuanya dari kosong. Kami belum mempunyai sistem operasi yang kukuh atau rangkaian pembekal yang stabil.
Saya sendiri berada di dapur membuat kek, mengurus pesanan pelanggan dan mencari bahan mentah. Ia memang mencabar, tetapi maklum balas positif pelanggan memberi semangat untuk terus maju.

(Foto: Siti Murni/TRP)

#3. TRP: Apa inspirasi di sebalik Gula Cakery?
Arieni: Inspirasi saya sangat sederhana iaitu saya mahu membina jenama tempatan yang menawarkan pengalaman berkualiti dengan identiti tersendiri.
Melihat pelanggan kembali dan menjadikan Gula Cakery sebahagian daripada momen penting hidup mereka adalah sesuatu yang sangat bermakna.
#4. TRP: Apakah falsafah utama jenama ini?
Arieni: Gula Cakery dibina atas tiga perkara — keikhlasan, kualiti dan kebersamaan. Kami mahu setiap produk dihasilkan dengan penuh perhatian, dan pada masa yang sama mewujudkan suasana yang selesa untuk pelanggan.

(Foto: Siti Murni/TRP)
Dari Rumah Hingga Ke 18 Cawangan
#5. TRP: Bagaimana perkembangan Gula Cakery setakat ini?
Arieni: Apa yang bermula sebagai perniagaan kecil dari rumah kini berkembang kepada 18 cawangan di seluruh Malaysia.
Namun bagi saya, pertumbuhan ini bukan sekadar jumlah cawangan, tetapi juga tentang membina pasukan yang kuat dan komuniti pelanggan yang setia.
#6. TRP: Apakah pencapaian paling membanggakan?
Arieni: Antara yang paling membanggakan ialah peluang bekerjasama dengan jenama seperti Unifi, Nestum dan Sunlight.
Selain itu, saya juga berbangga dapat berkongsi ilmu baking dengan lebih 2,000 pelajar melalui kelas yang dianjurkan.
#7. TRP: Menu apa yang paling mendapat sambutan?
Arieni: Antara yang paling popular ialah kek seperti Double Chocolate Hazelnut, Berry Pavlova dan Pandan Gula Melaka.
Untuk hidangan utama, Spicy Buttermilk Chicken Pasta juga menjadi pilihan ramai.
#8. TRP: Menu wajib cuba untuk pelanggan baharu?
Arieni: Saya biasanya cadangkan Double Chocolate Hazelnut Cake dan Berry Pavlova.
Untuk hidangan utama, Spicy Buttermilk Chicken juga antara pilihan yang popular. Menu ini mencerminkan identiti Gula Cakery yang menggabungkan rasa klasik dengan sentuhan moden.
#9. TRP: Apakah perancangan Gula Cakery di masa akan datang?
Arieni: Kami merancang untuk berkembang ke luar Lembah Klang, termasuk ke selatan seperti Johor Bahru, serta Pantai Timur dan utara Semenanjung.
Kami juga akan terus memperkenalkan menu baharu supaya pelanggan sentiasa mempunyai sesuatu yang menarik untuk dinantikan.

#10. TRP: Apakah nasihat kepada mereka yang ingin menceburi bidang F&B?
Arieni: Minat sahaja tidak mencukupi. Penting untuk membina asas perniagaan yang kukuh, termasuk pengurusan kewangan dan operasi.
Mulakan secara kecil jika perlu, dan sentiasa belajar. Kesabaran, konsistensi dan keinginan untuk terus memperbaiki diri adalah kunci kejayaan.
#11. TRP: Apakah detik paling bermakna sepanjang perjalanan ini?
Arieni: Melihat bagaimana perniagaan kecil dari dapur rumah berkembang menjadi jenama yang dikenali ramai.
Lebih bermakna apabila pelanggan yang menyokong sejak awal masih setia hingga hari ini. Ada yang dahulu datang bersama keluarga, kini kembali sebagai individu dewasa.
Inspirasi Dalam Kehidupan & Baking
#12. TRP: Apakah yang paling anda gemari tentang industri ini?
Arieni: Saya menghargai bagaimana makanan boleh membawa orang bersama-sama, sama ada untuk meraikan hari istimewa atau sekadar meluangkan masa bersama.
#13. TRP: Siapakah yang memberi inspirasi dalam dunia baking?
Arieni: Nenek saya adalah inspirasi pertama melalui buku resipinya. Selain itu, saya juga banyak belajar daripada chef dan baker profesional.
#14. TRP: Kek kegemaran puan?
Arieni: Berry Pavlova. Ia seimbang. Rangup di luar, lembut di dalam, dengan rasa segar daripada buah beri.
Ia juga mencerminkan pendekatan kami: pencuci mulut yang elegan tetapi tetap ringan dan menyeronokkan.
#15. TRP: Inspirasi di luar dunia perniagaan?
Arieni: Inspirasi datang daripada pengalaman harian iaitu perjalanan, makanan dan perbualan dengan pelanggan serta team. Bagi saya, idea baharu muncul apabila kita terbuka untuk belajar dan melihat dari perspektif berbeza.
Daripada dapur rumah ke rangkaian cawangan di seluruh negara, perjalanan Gula Cakery mencerminkan bagaimana minat dipupuk dengan disiplin dan visi jelas mampu berkembang menjadi jenama tempatan yang kukuh dan terus menjadi sebahagian daripada momen istimewa ramai rakyat Malaysia.
TRP Cuba Hidangan ‘Crowd’s Favourite’ Di Gula Cakery, The Curve
Hari ini (2 April), pihak TRP dijemput untuk merasai beberapa menu yang boleh dikatakan signatures di cawangan The Curve. Kami disantuni dengan menu seperti:
- Nasi Kerabu
- Spaghetti Masak Lemak Tiger Prawn
- Pull Beef Pizza
- GC Matilda cake
- Iceberg Cheesecake
- Berry Pavlova
- Milkshake (Berry Pavlova)
- Condensed Milk Buttercream
Ya, memang meriah. Penuh satu meja, dan dihidangkan untuk dua (2) orang.

(Foto: Siti Murni/TRP)
Nasi Kerabu di GC ini memang sangat generous, orang putih kata. Ia dihidangkan dengan ayam percik (bahagian thigh), ulam-ulaman, sambal belacan, budu, keropok, dan telur masin.
Jangan risau, kalau anda tak makan budu, boleh letak tepi sebab team GC akan asingkan dalam bekas kuah kecil. Dengan harga yang ditetapkan, memang berbaloi. Portion banyak. Boleh kongsi-kongsi juga.

Seterusnya, Spaghetti Masak Lemak Tiger Prawn! Boleh bagi 8/10. Rasa masak lemak yang pekat dan begitu seimbang. Tak muak tapi portion agak banyak. Jadi, disarankan untuk pesan dua (2) main dish untuk cuba sikit-sikit. Baru tak jelak.
Dan tiger prawn tu memang besar, ya. Serius.
Pulled Beef Pizza pula memang paling WIN. Kami punyalah berborak-borak sampai terlupa nak sentuh pizza. Hampir 15 minit dihidangkan di atas meja, tapi crust pizza masih lembut!
Rasa masam dan manis pulled beef dan sos tomato memang seimbang sangat.
Pizza ini boleh dinikmati bersama 3-4 orang, TBH. Tapi tengok juga cara makan.
Hidangan kek pula, macam biasa – TOP NOTCH. GC memang tak pernah mengecewakan. Cuma kalau nak cuba beberapa jenis kek, yang wajib cuba adalah Matilda & Berry Pavlova. My God. Sedap.
Berbaloi menghabiskan ‘adult money‘ dekat sini. Tapi sekali sekala je, okay.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
I enjoy writing and eating at the same time. I sit at my work desk for hours every day. Oh! I like cafe hopping, though I don't drink coffee. I'm, uh.. indecisive. I see eight sides of everything. Currently leading Bahasa desk for The Rakyat Post as the Head Writer & Assistant Editor.