Konsultan Hartanah Kongsi Tips Langsaikan Loan Rumah Dalam Masa 20 Tahun
Katanya, pinjaman perumahan boleh dilangsaikan dengan lebih awal jika seseorang mengambil pinjaman flexi atau semi-flexi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Boleh dikatakan setiap orang pasti memasang impian untuk memiliki rumah kediaman sendiri dan bukan hanya sekadar menyewa selama-lamanya.
Bila nak beli rumah, rata-rata orang ramai mestilah kena buat pinjaman dengan pihak bank bagi menampung kos yang besar.
Selalunya bank akan memberi tempoh sehingga 35 ke 40 tahun untuk melangsaikan pinjaman perumahan ini, dengan bayaran balik harus dibuat secara bulanan.
Tapi tahu tak, anda sebenarnya boleh menyelesaikan bayaran pinjaman perumahan ini dalam tempoh yang lebih pendek?
Baca Artikel Berkaitan: Pinjaman Rumah Tanpa Kerja Tetap & Slip Gaji. Bagus Atau Tidak?
Baca Artikel Berkaitan: Harga Deposit Sewa Rumah Tak Masuk Akal? Fahami Hak Anda
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kongsi Ejen Hartanah Minta Bayaran Fi Profesional Dari Penyewa & Tuan Rumah Raih Pelbagai Reaksi
Pilih Pinjaman Flexi Agar Boleh Buat Bayaran Tambahan
Itulah yang dijelaskan oleh kaunselor hartanah mewah Luqman Juhari, menerusi hantaran di Threads (@luqman.juhari) baru-baru ini.
Katanya, pinjaman perumahan boleh dibayar dalam masa 20 tahun berbanding 35 tahun tempoh yang ditetapkan.
Namun perkara ini juga bergantung kepada jenis pinjaman yang diterima daripada pihak bank, seperti berikut:
Pinjaman Asas
- Bayaran ansuran bulanan kekal sama dari mula hingga akhir.
- Bayaran tidak akan berkurangan.
- Peminjam tidak boleh membuat bayaran lebih untuk mengurangkan prinsipal.
Pinjaman Flexi / Semi-Flexi
- Bersifat lebih fleksibel berbanding pinjaman asas.
- Boleh membuat bayaran tambahan setiap bulan.
- Boleh membayar secara sekaligus (lump sum) setiap tahun.
Memandangkan pinjaman flexi membolehkan bayaran ansuran tambahan dibuat, ini bermakna tempoh bayaran balik pinjaman dapat dipendekkan.

Maklumkan Pada Bank Untuk Buat Bayaran Prinsipal Lebih
Pun begitu, Luqman mengingatkan terdapat syarat-syarat yang harus dipatuhi sebelum berbuat demikian.
Katanya, peminjam perlu memaklumkan kepada pihak bank bahawa bayaran tambahan yang dilakukan itu bertujuan untuk membayar prinsipal.
“Kalau tak cakap, bank akan anggap bayaran tambahan itu sebagai bayaran faedah,” jelasnya.
Dalam masa sama, konsultan hartanah itu berkata setiap bank tertakluk kepada peraturan yang berbeza.
“Sesetengahnya membenarkan tambahan wang secara dalam talian atau bayaran di kaunter. Ada bank yang mengehadkan berapa kerap anda boleh lakukan sedemikian.
“Tapi idea dia sama. Setiap ringgit yang membayar prinsipal akan mengurangkan tahun pinjaman anda,” ujarnya.

Tempoh Pinjaman Perumahan Dapat Dikurangkan Dengan Tambah Bayaran Ansuran
Bagi memudahkan pemahaman orang ramai, Luqman telah memberi contoh dalam bentuk nilai sebenar seperti berikut:
Nilai pinjaman: RM500,000
Tempoh pinjaman: 30 tahun
Kadar faedah: 4.2%
Ansuran bulanan: RM2,400
Menurutnya, dengan menambah bayaran ansuran sebanyak RM500 ke atas prinsipal setiap bulan, peminjam boleh melangsaikan hutang sekitar 8 tahun 4 bulan lebih awal.
Ini bermakna pinjaman itu dapat dilangsaikan dalam tempoh lebih kurang 21 tahun 6 bulan.
Menerusi kaedah ini, peminjam juga dapat menikmati penjimatan kira-kira RM120,000 bagi bayaran faedah.
Tambah Luqman lagi, apabila pinjaman perumahan diselesaikan lebih awal, rumah tersebut boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan pasif menerusi sewa.
Dia berkata unit berharga RM500,000 di kawasan yang bersesuaian boleh disewakan pada harga RM3,000 ke RM4,000 sebulan.
“Kalau pinjaman anda selesai dalam masa 21.6 tahun berbanding 30 tahun, anda akan menerima aliran tunai bersih selama lebih lapan tahun,” katanya.

Boleh Juga Gunakan Hasil Pelaburan Untuk Bayar Pinjaman Secara Lump Sum
Di samping itu, Luqman turut menjelaskan satu lagi pilihan lain yang boleh diambil oleh pemilik hartanah bagi menikmati penjimatan.
Berbanding membayar ansuran tambahan RM500 setiap bulan, nilai itu juga boleh dilaburkan ke dalam instrumen kewangan seperti Amanah Saham Berhad (ASB), Tabung Haji (TH) atau unit amanah.
“Kalau ASB beri faedah 5.5% setahun, RM500 sebulan akan terkumpul menjadi lebih RM240,000 dalam masa 21 tahun 6 bulan,” katanya.
Dalam tempoh masa sama, peminjam sudah membayar sekitar RM300,000 nilai pinjaman dengan baki yang tinggal sebanyak RM200,000.
Walaupun setelah menyelesaikan baki pinjaman menggunakan duit yang dilaburkan tadi, peminjam dapat menikmati keuntungan RM40,000.
View on Threads
Tips Buat Mereka Yang Pertama Kali Nak Beli Rumah
Tak dapat dinafikan lagi bahawa keputusan membeli rumah bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan pertimbangan secukupnya.
Sebelum ini, pempengaruh Maggy Wang telah berkongsi tips buat mereka yang baru pertama kali mahu membeli rumah, termasuk:
- Beli hartanah tidak semestinya dapat membawa pulangan kewangan.
- Lakukan survey ke atas banyak rumah kediaman sebelum membuat pilihan.
- Kos yang perlu dikeluarkan bukan hanya untuk pinjaman perumahan sahaja.
- Elakkan daripada mengambil pinjaman perumahan maksimum berdasarkan pendapatan.
- Jangan sekadar survey rumah, tetapi perhatikan juga keadaan sekelilingnya.
- Tetapkan bajet yang berpatutan bagi pengubahsuaian.
- Jangan kongsi pembelian rumah dengan teman lelaki/ wanita.
- Beli rumah hanya apabila benar-benar bersedia
Katanya walaupun membeli rumah pertama merupakan salah satu pencapaian yang paling membanggakan, namun dia banyak mempelajari sesuatu hanya setelah proses pembelian selesai.
“Ini semua yang saya harap dapat tahu sebelum jadi pemilik rumah, dan saya harap ia berguna untuk anda,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Nak Beli Rumah Pertama? Tips Influencer Ini Boleh Selamatkan Anda Dari Tersalah Langkah!
Baca Artikel Berkaitan: Beza Kondominium & Apartment Servis, Mana Lebih Sesuai Untuk Anda?
Baca Artikel Berkaitan: Nak Cepat Habiskan Loan Rumah? Ejen Hartanah Ini Dedah ‘Trick’ Jimat
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



