Ini Kenapa Deepavali Digelar ‘Festival of Lights’, Wajib Ada Pelita!
Kebiasaannya Deepavali di Malaysia hanya disambut selama dua hari iaitu pada hari perayaan sendiri dan malam sebelumnya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Deepavali merupakan salah satu perayaan utama yang disambut oleh masyarakat tempatan, rata-rata dalam kalangan penganut agama Hindu.
Biasanya bila sebut tentang perayaan Deepavali, pasti datang dengan ayat ‘Festival of Lights’.
Tapi sebenarnya kenapa perayaan penganut agama Hindu ini dikenali sebagai festival cahaya?
Baca Artikel Berkaitan: “Siap Ada Persembahan Tarian!” – Ramai Terpegun Lihat Deko The Curve Sempena Deepavali
‘Deepavali’ Bermaksud Barisan Pelita
Menurut National Geographic Kids, nama Deepavali diambil sempena deepa (pelita tanah liat) dan avali (barisan) yang banyak dipasang sewaktu perayaan itu.
Pemasangan pelita atau lilin ini membawa makna cahaya yang melindungi mereka daripada kegelapan rohani. Sebab itulah Deepavali dikenali sebagai Festival of Lights!
Sebagai info, perayaan Deepavali ini bukan tertakluk kepada penganut Hindu semata-mata. Bagi agama Jainisme, perayaan ini menandakan kebangkitan rohani atau nirvana yang dikecapi Mahavira.
Manakala agama Sikh pula sambutan Deepavali diraikan sempena mengenang pembebasan Guru Sikh Ke-6, Guru Hargobind Ji, dari penjara.

Ini Bagaimana Masyarakat India Di Malaysia Sambut Deepavali
Perayaan Deepavali di Malaysia disambut dengan meriah oleh masyarakat India. Seperti mana-mana perayaan lain, terdapat beberapa aspek penting yang seolah-olah sudah menjadi kewajipan bagi sambutan Deepavali.
Malah aspek tersebut turut dihormati dan dihargai oleh masyarakat berbilang kaum di dalam negara.
#1. Hiasan Kolam
Kolam atau dikenali juga sebagai rangoli merupakan satu bentuk seni perhiasaan lantai India. Ia selalunya dibuat menggunakan serbuk kapur atau beras dalam bentuk geometri.
Hiasan yang biasanya dihasilkan oleh kaum wanita ini dianggap dapat membawa kekayaan.
#2. Baju Baharu
Seperti perayaan lain, Deepavali juga disambut dengan memakai pakaian baharu yang melambangkan permulaan baharu.
Wanita akan memakai sari dan perhiasan, manakala lelaki akan mengenakan kurta dan dhoti, selalunya yang berwarna terang demi menyambut semangat perayaan itu.
#3. Ritual Berdoa & Melawat Kuil
Selain itu, sesetengah keluarga juga biasanya mengadakan ritual berdoa sama ada di rumah mahupun di kuil.
Mereka juga akan berdoa buat nenek moyang yang telah meninggalkan dunia ini.
#4. Murukku & Manisan Lain
Satu makanan yang sinonim dengan perayaan Deepavali adalah snek murukku. Namanya bermaksud ‘twisted’ seperti bentuknya.
Selain itu, hidangan manisan seperti athi resam, halwa dan laddoo turut melengkapkan perayaan ini.
#5. Menyalakan Pelita
Seperti nama ‘Festival of Lights’, pelita kecil juga dipasang dan selalunya disusun dalam barisan di lorong, pagar atau pintu. Ada juga yang memasak mercun dan bunga api.

Deepavali Tidak Disambut Jika Ada Kematian Keluarga Rapat
Menurut semakan kami, Deepavali di Malaysia kebiasaannya hanya disambut selama dua hari iaitu pada hari perayaan sendiri dan malam sebelumnya.
Pada hari sebelumnya, mereka akan berdoa untuk nenek moyang. Kuih-muih dan makanan akan dihidangkan di atas sebuah meja bersama gambar nenek moyang.
Kebiasaannya malam sebelum Deepavali hanya disambut dalam kalangan ahli keluarga rapat.
Malah, Deepavali biasanya tidak akan disambut sama sekali sekiranya terdapat ahli keluarga yang meninggal pada tahun tersebut.
Deepavali Selalunya Diraikan Selama 5 Hari Di Utara India
Walaupun Malaysia hanya memberi cuti umum satu hari, namun terdapat juga kawasan yang menyambut Deepavali selama lima hari terutamanya di utara India.
Perayaan ini bermula dengan hari Dhanteras di mana penganut Hindu akan mula membersihkan rumah. Ini juga merupakan hari yang dianggap bertuah untuk membeli emas, perak atau perkakas dapur.
Hari Dhanteras sebenarnya diraikan dua hari sebelum cuti Deepavali yang ditetapkan di Malaysia, yakni pada 18 Oktober.
Pada hari kedua, mereka akan meraikan hari Choti Diwali iaitu hari menghias rumah dengan kolam atau rangoli dan lampu tanah liat. Hari ini juga dikenali sebagai Naraka Chaturdashi yang meraikan kejayaan Krishna mengalahkan syaitan Narakasura.

Hari ketiga merupakan hari utama Deepavali yang juga dikenali sebagai Lakhsmi Puja. Ahli keluarga akan berkumpul bersama dan berdoa kepada Lakshmi iaitu dewi kekayaan, kebahagiaan dan kesuburan sebelum menjamu selera dan mengadakan acara bunga api.
Hari keempat iaitu Govardhan Puja pula dianggap sebagai permulaan tahun baru bagi kebanyakan penganut Hindu. Pada hari ini, mereka selalunya akan menerima kunjungan sanak saudara dan rakan-rakan.
Hari terakhir Bhai Dooj pula merayakan kasih sayang antara adik-beradik, dengan kaum lelaki mengunjungi kakak atau adik perempuan mereka yang telah berkahwin.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



