Anak Asyik ‘Melekat’ Dengan Ayah Sahaja & Bukan Ibu, Pakar Kongsi Ia Reaksi Normal
Kalau anda perasan, sesetengah golongan anak kecil lebih memilih si ayah dan tidak begitu rapat dengan ibunya walaupun kasih sayang diberikan adalah sama.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pengorbanan seorang ibu bagi melahirkan cahaya mata selepas mengandungkan mereka selama sembilan bulan memang sesuatu yang tidak dapat digambarkan.
Mungkin anda akan bayangkan hubungan ibu dan anak ini sangat rapat sampaikan tidak boleh dipisahkan. Bak kata orang, bonding terlalu kuat.
Tetapi bukan semua para ibu melalui perkara itu. Ada di antara mereka yang selalu ‘cemburu’ dengan suami kerana si kecil lebih memilih bapanya dalam rutin harian. Sikit-sikit nak ayah.
Normal Ke Kalau Si Kecil Asyik Pilih Salah Seorang Antara Ibu Atau Ayah?
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Threads apabila Pakar Pediatrik Dr Nisa Khalil, memberi penjelasan tentang situasi anak kecil memilih untuk rapat dengan salah seorang sahaja, iaitu sama ada ibu atau ayah.
“Doktor, anak saya nak daddy je! Saya panggil dia buat tak tahu, tapi daddy muncul terus melompat gembira. Apa salah saya?” tanya seorang penjaga sebelum ini.
Namun menurut Dr Nisa, perkara tersebut bukannya satu penolakan tetapi satu situasi normal bagi golongan kanak-kanak.

Jelasnya, si kecil dalam lingkungan umur 1-3 tahun berada di fasa memahami ikatan emosi dan kasih sayang.
“Diorang macam, ‘Saya boleh pilih!’ atau ,’Jom uji reaksi mama dan daddy’,” kata pakar itu.
Kadangkala, anda boleh jadi insan kegemaran mereka. Namun ada masanya, ayahnya yang menambat hati si kecil.
Antara perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan situasi ini adalah apabila anda memilih pelbagai jenis menu untuk dibeli menerusi Grab atau foodpanda. Ada masa mahu makan ayam, tapi waktu lain nak ikan pula.
Rapat Dengan Salah Seorang Ibu Atau Ayah Itu Hanya Sementara
Tambah Dr Nisa, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak kecil boleh membentuk ikatan (secure attachment) dengan kedua-dua ibu bapa. Keutamaan yang diberi kepada salah seorang antara mak atau ayah itu hanya bersifat sementara.
Perlu diingatkan juga bahawa jika anak lebih memilih si ayah, ia tidak bermakna ikatan hubungan si kecil dengan ibu adalah lemah. Para ibu jangan cepat terasa!
Mungkin anak lebih memilih ayahnya kerana kerap bersama melakukan aktiviti rutin harian. Sebagai contoh, bapa sudah terbiasa mandikan anak maka kanak-kanak itu akan lebih mencari si bapa.
Apa Ibu Atau Ayah Boleh Lakukan Untuk Eratkan Hubungan Bersama Anak?
Jangan risau, banyak sebenarnya cara untuk merapatkan hubungan bersama si kecil. Mungkin dengan cara-cara di bawah ini, anak akan sentiasa melekat dengan anda pula. Antaranya:
- Kekal konsisten: Teruskan rutian harian seperti menyusu, makan, tidurkan anak atau bermanja
- Jangan memaksa: Memaksa anak untuk ‘pilih saya’ hanya akan membuatkan mereka lebih menolak
- Hubungan kecil tetapi bermakna: Baca satu buku atau nyanyi sebuah lagu kepada anak meskipun dalam tempoh masa yang singkat. Momen itu yang berharga

Jumpa Pakar Jika Anak Berasa Takut Untuk Rapat Dengan Anda
Selagi mana anak kecil tidak sentiasa menolak salah seorang ibu bapa dengan rasa takut secara berterusan, tiada apa yang perlu dirisaukan.
Jika mereka berkelakuan sebaliknya, anda disarankan untuk membawa mereka melakukan penilaian bersama pakar.
“Jadi mama, kalau hari ini anak pilih daddy, rileks. Esok mungkin mama pula jadi VIP.
Ikatan kasih sayang bukan satu pertandingan. Ia kerja berpasukan. 💛
“Satu hari nanti, anak akan menjerit, ‘Saya nak mama saja!’ dan masa tu mama akan teringat, pernah juga teringin saat ini datang,” ujar Dr Nisa di akhir perkongsian.
View on Threads
Sikap Ibu Bapa Boleh Jadi Punca Hubungan Renggang Bersama Anak
Dalam sesetengah kes, ada juga golongan anak yang lebih rapat dengan salah seorang ibu atau ayah kerana perwatakan ditunjukkan oleh mereka kepada si kecil.
Perkara tersebut sekaligus menyebabkan si anak mahu menjauhkan diri. Memetik Hello Doktor, berikut adalah senarai sikap toksik segelintir ibu bapa yang perlu diperhatikan:

- Mementingkan diri sendiri dan tidak mengendahkan keperluan si kecil
- Penderaan fizikal dan mental
- Tidak membenarkan anak membuatkan keputusan sendiri
- Selalu menceroboh privasi anak
- Salahkan anak walaupun bukan silap mereka
- Ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja agar keinginan mereka tercapai
Buat ibu bapa di luar sana, jangan lupa muhasabah diri dan perbaiki mana yang patut.
Baca Artikel Berkaitan: Setiap Kanak-Kanak Berbeza, Ini Empat Personaliti Yang Ibu Ayah Kena Tahu
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Ini Perjelas 8 Hak Anak Yang Wajib Ibu Ayah Tunaikan Menurut Perspektif Islam
Baca Artikel Berkaitan: Pakar Psikologi Kongsi Anak Boleh Alami ‘Luka Emosi’ Akibat Pengalaman Buruk Ketika Zaman Kanak-kanak
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.