Now Reading
Penguat Kuasa Agama Ketuk Pintu, Boleh Atau Tidak? Ini Fungsi & Peranan Agensi Agama Di Malaysia

Penguat Kuasa Agama Ketuk Pintu, Boleh Atau Tidak? Ini Fungsi & Peranan Agensi Agama Di Malaysia

Ada lebih 10 jabatan dan agensi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang masing-masing berperanan khusus menjaga hal agama negara.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Rakyat Malaysia mungkin sudah biasa mendengar nama-nama agensi seperti JAKIM, JAWI atau Tabung Haji. Namun, sejauh mana masyarakat benar-benar memahami peranan agensi-agensi ini dalam sistem pentadbiran negara?

Kekeliruan ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang awam, malah ada juga dalam kalangan penjawat awam sendiri yang belum begitu jelas akan struktur dan fungsi jabatan-jabatan agama di negeri-negeri dan peringkat Persekutuan.

Bagi memberi gambaran yang lebih menyeluruh, berikut adalah penerangan tentang fungsi dan perkhidmatan utama setiap agensi utama di bawah portfolio Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), disusun bagi membantu pemahaman masyarakat umum.

Baca Artikel Berkaitan: KPN Kerjasama Dengan JPM, Siasat & Ambil Tindakan Individu Sebarkan Agama Lain Kepada Umat Islam

Baca Artikel Berkaitan: JAKIM Mohon Orang Ramai Hormat Perlembagaan, Henti Sebar Agama Lain Kepada Umat Islam

JAKIM, Tulang Belakang Dasar Islam Di Peringkat Nasional

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan agensi pusat yang bertanggungjawab merancang dan menentukan hala tuju pembangunan hal ehwal Islam di Malaysia.

Ia berperanan menggubal dasar-dasar berkaitan Islam, menjaga kesucian akidah serta memastikan ajaran Islam tidak diseleweng.

Selain itu, JAKIM turut membantu dalam menyeragamkan undang-undang berkaitan Islam di peringkat negeri, menyelaras pelaksanaan penguatkuasaan, dan bertindak sebagai pusat rujukan utama berkaitan maklumat Islam.

JKSM & PMWP, Menjaga Keadilan & Fatwa

Dari sudut perundangan dan kehakiman, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memainkan peranan penting dalam menyelaras sistem kehakiman syariah seluruh negara.

Ia turut menyediakan latihan kepada para hakim syarie serta memastikan perbicaraan dan penghakiman dijalankan secara adil dan berkesan.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) pula bertanggungjawab dalam mengeluarkan fatwa dan memberi pandangan hukum syarak yang sah bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

PMWP turut memberi nasihat kepada agensi kerajaan dalam isu-isu agama serta menyelaras aktiviti penyelidikan dan penerbitan berkaitan hukum Islam.

JAWHAR, JAWI & MAIWP, Hal Ehwal Umat Di Wilayah Persekutuan

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) berfungsi menyelaras dan memantau pengurusan wakaf, zakat dan haji di peringkat nasional.

Ia juga memberi sokongan dari aspek pengurusan sumber manusia dan ICT kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri, selain menjalankan penyelidikan mengenai pembangunan sumber kekayaan umat Islam.

Bagi Wilayah Persekutuan, pentadbiran hal ehwal Islam dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang meliputi:

  • Pendidikan
  • Perkahwinan
  • Penguatkuasaan undang-undang syariah
  • Aktiviti dakwah
  • Pengurusan institusi masjid.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pula berperanan dalam kutipan dan agihan zakat, pembangunan institusi pendidikan serta kebajikan umat Islam di wilayah yang ditadbir secara lansung oleh kerajaan pusat.

SOP, Waran & Bidang Kuasa Pegawai Penguat Kuasa Agama

Bercerita tentang bidang penguatkuasaan, pasti ramai yang ingin tahu tentang sejauh mana kuasa seorang Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA).

Penguatkuasaan terhadap kesalahan jenayah syariah tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa mematuhi prosedur undang-undang.

PPA terikat dengan Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Kaedah-kaedah Tatacara Jenayah Syariah yang menetapkan peraturan berkaitan serbuan, tangkapan dan siasatan.

Memetik portal rasmi JAWI, dalam konteks kesalahan yang berlaku di kawasan persendirian seperti khalwat, zina, liwat, sumbang mahram dan sebagainya, penguat kuasa tidak boleh sewenang-wenangnya menceroboh masuk ke premis peribadi seperti rumah atau bilik hotel melainkan terdapat aduan rasmi awam dan syak yang munasabah.

SOP semasa adalah seperti berikut:

  • Aduan Awam Diperlukan – Tindakan hanya boleh diambil berdasarkan aduan awam bertulis atau maklumat yang dipercayai dan disahkan.
  • Kehadiran Syak Munasabah – Mesti wujud syak yang jelas bahawa satu kesalahan sedang atau akan berlaku. Ini termasuk faktor masa (tengah malam/subuh), tempat (sunyi/tersembunyi), dan keadaan mencurigakan.
  • Waran Masuk – Untuk memasuki rumah persendirian, waran diperlukan melainkan dalam keadaan ‘urgent’ atau kecemasan, contohnya jika ada maklumat kesalahan sedang berlaku dan bukti mungkin dimusnahkan.
  • Penggeledahan Premis – Hanya boleh dilakukan oleh PPA yang diberikan kuasa oleh undang-undang dan mematuhi prosedur termasuk memaklumkan identiti dan tujuan serbuan.

Contohnya, mengikut Akta 560 Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan borang dan prosedur bagi penggeledahan dan tangkapan.

Dalam kes kereta di tempat awam, ia dianggap sebagai ruang separa awam (public semi-space) dan tindakan boleh diambil tanpa waran jika berlaku syak yang nyata, kerana ia bukan tempat tertutup mutlak seperti rumah.

Rumusan:

  • Tindakan PPA mesti berdasarkan aduan atau maklumat yang sahih.
  • Tidak boleh intip atau ceroboh premis sesuka hati tanpa syarat sah.
  • Waran atau kebenaran khas perlu jika membabitkan rumah atau bilik hotel.
  • Semua tindakan tertakluk kepada kod etika, bidang kuasa negeri dan prinsip undang-undang syariah serta sivil.

Ini menolak dakwaan PPA boleh bertindak sewenang-wenangnya seperti ‘polis moral’ tanpa asas undang-undang.

Penguatkuasaan mesti berpaksikan prinsip hisbah, menjaga maslahah umum serta tidak melanggar hak asasi secara melulu.

Tabung Haji & Agensi Dakwah, Menyantuni Jemaah & Menyebarkan Ilmu

Lembaga Tabung Haji (LTH) merupakan institusi kewangan Islam yang mengurus simpanan serta pelaburan umat Islam yang ingin menunaikan haji.

Ia juga menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia, termasuk urusan perjalanan dan bimbingan ibadah.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pula memberi fokus kepada aspek kefahaman Islam melalui penyelidikan, penerbitan, seminar serta penyebaran maklumat melalui pelbagai medium.

Sementara itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berperanan melaksanakan program dakwah dan pendidikan di seluruh negara, selain menyelaras kegiatan NGO Islam dan memperluas jaringan dakwah kepada masyarakat umum.

YaPEIM, YWM & TV AlHijrah, Dakwah Melalui Ekonomi & Media

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) pula menjalankan program sosial bisnes berteraskan prinsip patuh syariah, menyediakan pembiayaan mikro serta menyokong pembangunan keusahawanan Islam.

Ia turut menggalakkan amalan jariah melalui program-program kebajikan masyarakat.

Manakala Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) fokus kepada pengumpulan dan pembangunan dana wakaf untuk dimanfaatkan secara berstruktur bagi pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam.

Kerjasama erat bersama pihak negeri dan sektor swasta menjadikan YWM platform penting dalam memajukan aset wakaf.

Tidak kurang penting, TV AlHijrah sebagai saluran media rasmi di bawah kerajaan menyalurkan kandungan siaran berteraskan nilai Islam.

Ia menyampaikan dakwah dan pendidikan melalui platform penyiaran yang mendidik, menghibur dan membina kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam.

Satu struktur, Pelbagai Fungsi Demi Umat

Kesemua agensi di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini saling melengkapi antara satu sama lain.

Ada yang fokus pada dasar dan perundangan, ada yang menyantuni jemaah, memperkasa pendidikan, dakwah dan media, malah ada yang menggerakkan agenda ekonomi Islam melalui wakaf dan zakat.

Kesedaran tentang struktur ini penting agar rakyat lebih memahami fungsi kerajaan dalam memelihara agama Islam secara menyeluruh dan sistematik.

Ia juga membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara agensi-agensi ini dengan masyarakat demi membina ummah yang lebih maju, berilmu dan bersatu.

Baca Artikel Berkaitan: Pihak Berkuasa Sedang Pantau Akaun TikTok Tular Sebar Ajaran Sesat The Ahmadi – Mohd Na’im

Baca Artikel Berkaitan: “Ringan Sedikit Beban Kami”- Penerima Kit Makanan Dari 99 Speed Mart & JAWI Luah Kesyukuran Dengan Sumbangan Sempena Aidilfitri

Baca Artikel Berkaitan: Produk Sijil Halal Indonesia Dikesan Miliki DNA Babi, JAKIM Arah Tarik Balik


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd