Adakah Pilates Haram Seperti Senaman Yoga? Ini Penjelasannya
Senaman yoga adalah haram buat umat Islam kerana ia mempunyai unsur pemujaan bagi penganut Hindu.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semakin hari, semakin banyak sukan dan senaman yang diperkenalkan kepada orang ramai. Rakyat Malaysia juga dilihat menunjukkan penyertaan yang baik terhadap acara sebegitu bagi meningkatkan kesihatan badan.
Namun masih ramai di kalangan masyarakat yang terlepas pandang tentang hukumnya. Sebagai contoh adalah Zumba. Menurut pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) senaman Zumba adalah haram kerana ia melibatkan pergaulan bebas di antara kaum Adam dan Hawa di tempat terbuka.
Bagaimanapun, ia dibolehkan sekiranya ia dilakukan secara tertutup dengan yang mahramnya sahaja. Daripada ulasan itu, jelas bahawa setiap Muslim perlu berhati-hati untuk menyertai sebarang aktiviti terutamanya yang melibatkan pergaulan bebas.
Apa Itu Pilates?
Antara senaman lain yang semakin popular di kalangan anak muda kini adalah Pilates. Menerusi semakan kami, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi portalnya ada memberi pencerahan tentang hukum melakukan senaman tersebut.
Soalan: Senaman yoga adalah haram tetapi hari ini ramai orang Melayu Islam yang mengikuti senaman Pilates yang ada ciri-ciri macam yoga, bagaimana hukumnya mohon pencerahan?

Menurut pakar perubatan dan usahawan Dr Rozmey, Pilates adalah senaman yang dicipta untuk regangan dan menyeimbangkan badan. Pilates adalah latihan yang sistematik melalui pergerakan tertentu dan corak pernafasan.
Untuk info, Pilates mula diperkenalkan sekitar abad ke-20 oleh seorang atlet veteran Jerman bernama Joseph Pilates. Meskipun pergerakan antara aktiviti Pilates dan yoga kelihatan lebih kurang sama, ia adalah senaman yang berbeza.

Yoga Berkait Dengan Ritual Hindu
Yoga adalah sistem falsafah Hindu yang bertujuan menyatukan diri dengan Tuhan dengan mengheningkan fikiran melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran.
Menurut kitab asal yoga bertajuk Bhagavad Gita, manusia menderita dan berasa sedih kerana hubungannya dengan Tuhan yang renggang. Oleh disebabkan itu, yoga dianjurkan bagi memperbaiki hubungan tersebut.
Berdasarkan keterangan terbabit, jelas bahawa yoga berkait rapat dengan agama Hindu dan umat Islam diharamkan untuk menyertainya.

“Senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mantera dan pemujaan bagi tujuan tertentu.
“Sebagai contoh mendapatkan ketenangan, penyatuan diri dengan Tuhan atau tujuan-tujuan lain yang tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang Muslim.
“Oleh itu, Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang selain bertentangan dengan syariat Islam.”
Islam juga melarang sama sekali umatnya menyerupai agama lain sama ada dari aspek pertuturan, perbuatan atau pakaian. Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
“مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ”
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”
[Riwayat Abu Daud]

Kesimpulan: Jelas Pegawai Hal Ehwal Islam Al-Hafiz Ishak, hukum senaman Pilates adalah harus kerana ia tidak mengandungi unsur keagamaan agama lain dan selagi mana ia dilakukan di kawasan tertutup serta tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan.
Bahkan, Pilates juga mempunyai pelbagai kebaikan terhadap tubuh badan dan ia adalah salah satu bentuk senaman.
“Umat Islam hendaklah menjauhi senaman yang mengandungi unsur keagamaan seperti Yoga. Umat Islam juga dinasihatkan agar berhati-hati terhadap apa sahaja jenis senaman yang mengandungi upacara atau bacaan-bacaan tertentu yang bercanggah dengan hukum syarak,” ujar Al Hafiz Ishak.
Baca Artikel Berkaitan: Presiden Yoga Nasihat Umat Islam Jangan Amalkan Yoga
Baca Artikel Berkaitan: Introducing An Exciting All-In-One Fitness Lifestyle Concept ‘The GlowHouse KL’
Baca Artikel Berkaitan: Girls, Jom Pergi 8 Gym Ini Yang Ditubuhkan Buat Para Wanita Sahaja
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.