Adakah Puasa Terbatal Jika Guna Inhaler? Ini Penjelasannya
Menurut mazhab Syafi’i terdapat tiga komposisi pada inhaler iaitu air,gas oksigen serta bahan yang boleh membantu untuk pernafasan dan menunjukkan ia mempunyai kandungan jirim.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pejam celik sudah hampir seminggu umat Islam menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadan yang mulia ini.
Umum mengetahui terdapat beberapa syarat sah yang perlu dipatuhi untuk seseorang itu berpuasa sebagai contoh:
- Waras
- Akil baligh
- Tidak memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan
- Tidak bersetubuh di siang hari
- Tidak makan minum dengan sengaja
- Tidak muntah dengan sengaja
Meskipun segelintir daripada kita sudah menjalani ibadah ini bertahun-tahun namun ada ketika terdapat perkara yang membuatkan seseorang keliru mengenai hukumnya adakah ia sah atau tidak khususnya jika membabitkan rawatan kesihatan.
Segelintir daripada kita mungkin mempunyai masalah kesihatan contohnya asma yang adakalanya menyerang ketika seseorang sedang berpuasa dan memerlukannya untuk menggunakan alat bantuan seperti inhaler untuk meredakan keadaan.
Penggunaan inhaler sebelum ini sudah dibincangkan oleh para ulama dan ia mempunyai dua pandangan yang berbeza ada yang berpendapat batal puasa jika menggunakan inhaler dan ada juga tidak.
Ada yang berpandangan penggunaan inhaler membatalkan puasa
Memetik laman Mufti Wilayah Persekutuan pendapat ulama kontemporari mengenai penggunaan inhaler adalah:
Pandangan pertama: Penggunaan ini boleh membatalkan puasa. Antara ulama yang berpandangan sama adalah Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Sulami, Dr. Muhammad Alfai, Syeikh Uthman Syubair, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli, Muhammad Ali al-Bar.
Malah pandangan ini turut dipersetujui oleh beberapa badan fatwa bahawa penggunaan inhaler membatalkan puasa seperti yang diputuskan oleh Badan Fatwa Jordan (Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah).
“Ini kerana ubat yang ada pada inhaler diniatkan akan sampai kepada paru-paru dan ia termasuk dalam jauf iaitu rongga. Oleh yang demikian, sesiapa yang menggunakannya pada sebahagian hari, maka dia boleh menggunakan dan dia perlu terus menahan diri daripada makan dan minum di samping perlu menggantikan puasanya pada hari tersebut.
“Manakala orang yang menggunakannya pada setiap hari, maka dia hendaklah kekal menahan diri daripada makan dan minum serta memberi makan orang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan,” kata Badan Fatwa Jordan.
Perlu ganti semula puasa selepas Ramadan, dan bayar fidyah bagi mereka yang mempunyai masalah asma kronik
Selain Jordan, Badan Fatwa Kuwait pula berpandangan penggunaan alat kesihatan di siang hari hanya boleh dibenarkan untuk mereka yang betul-betul memerlukan serta tiada lagi ubat lain.
Namun ia tetap membatalkan puasa dan mereka yang menggunakannya atau dasar keperluan atau tidak tetap perlu mengganti puasa selepas selesai Ramadan. Manakala bagi pesakit yang mempunyai masalah asma kritikal serta tiada harapan untuk sembuh perlu membayar fidyah bagi hari yang mereka tidak berpuasa.
Pandangan ini selari dengan Darul Fatwa Islamic High Council of Australia mengikut pandangan empat mazhab. Malah dalam panduan berpuasa bagi pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah disahkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga menyenaraikan penggunaan inhaler untuk merawat penyakit terbabit sebagai membatalkan puasa.
Ada pandangan tak batal puasa jika guna inhaler ketika berpuasa
Bagi pandangan kedua, ada beberapa tokoh ulama berpandangan ia tidak membatalkan puasa. Antara yang bersetuju dengan pandangan ini adalah Syeikh Ibn Baz, Syeikh Ibn Uthaimin, Syeikh Abdullah Bin Jibrin, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Syeikh Muhammad Haitham al-Khayyat serta beberapa ulama lain.
Pandangan ini turut dipersetujui oleh badan-badan yang berautoriti seperti Badan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah):
“Setelah Dar al-Ifta’ al-Misriyyah melakukan penyelidikan berkaitan inhaler dan keperluan golongan yang mengalami masalah pernafasan serta mendengar panddangan daripada pakar-pakar yang berkaitan, mereka telah membuat keputusan bahawa penggunaan inhaler ketika siang tidak membatalkan puasa.
“Hal ini kerana udara yang disedut itu merupakan udara yang diperlukan oleh manusia untuk bernafas ketika datangnya sakit. Meskipun ia bercampur dengan ubat, ia tetap tidak memudaratkan puasanya kerana apabila ia bercampur dengan pernafasan orang yang menyedutnya maka ia termasuk dalam bentuk pernafasan bagi mengembalikan pernafasan orang yang memiliki penyakit asma kepada sedia kala.
“Tambahan pula, ia boleh dikategorikan sebagai suatu yang tidak membatalkan puasa sebagaimana debu jalanan, ayakan tepung, asap kebakaran, debunga dan apa-apa yang ditiup oleh angin. Demikian juga apa-apa yang tidak boleh untuk dielak atau dipisahkan disebabkan ia bercampur dengan udara,” jelasnya.
Pandangan dari segi mazhab Syafi’i
Ulama mazhab Syafi’i membincangkan mengenai hukum menghisap rokok di siang hari ketika Ramadan dan mengkategorikan asap rokok sebagai jirim. Ini kerana ia mempunyai kesan yang boleh dilihat dalam batang rokok serta perbuatan individu memasukkan sesuatu ke dalam yang memiliki jirim ke dalam ringga.
Apabila dilihat pada komposisi inhaler, ia terdiri daripada tiga komposisi antaranya air, gas oksigen dan bahan yang boleh membantu untuk pernafasan. Kebanyakan komposisi itu ialah air dan diikuti dengan oksigen. Ini menunjukkan inhaler mempunyai kandungan jirim yang boleh membatalkan puasa.
Dalam resolusi Bahsul Masail yang diadakan oleh pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pada 14 April 2022, resolusi bersetuju bahawa:
“Hukum penggunaan inhaler ketika berpuasa adalah diharuskan jika terdapat keperluan. Namun, ia tetap membatalkan puasa dan wajib menggantikannya. Bagi mereka yang tidak ada harapan sembuh, maka menurut pendapat yang paling kuat, mereka hanya perlu membayar fidyah sahaja tanpa perlu menggantikan puasa tersebut.”
Batal puasa jika serangan ringan, tak batal jika kronik namun disarankan untuk bayar fidyah
Kesimpulannya hukum menggunakan inhaler ketika siang Ramadan jika membabitkan serangan asma yang ringan serta tidak mencapai tahap darurat maka pengambilan inhaler adalah membatalkan puasa.
Perkara ini selari dengan pandangan dalam buku Panduan Berpuasa bagi Pesakit yang diterbitkan JAKIM serta telah disahkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Walau bagaimanapun menurut mutakhirin mazhab Syafi’i sekiranya dalam keadaan darurat seperti asma yang berat mahupun kronik maka penggunaan alat inhaler tak membatalkan puasa.
Akan tetapi untuk langkah berjaga-jaga adalah sebaiknya membayar fidyah untuk hari pesakit menggunakan inhaler.
UAI turut beri penjelasan mengenai hukum sah atau tidak jika guna inhaler ketika berpuasa
Menerusi semakan kami, Ustaz Azhar Idrus turut menjelaskan perkara yang sama di mana ada dua pendapat berbeza.
“Pendapat yang muktamad sedut inhaler bagi orang yang lelah membatalkan puasa kerana masuknya gas daripada inhaler itu lebih daripada kerongkong. Maka pendapat yang muktamad, yang ramai, batal.
“Walau bagaimanapun ada pendapat yang lemah, sebahagian fuqaha muthakhiri dia kata inhaler ini dia adalah ubat yang tidak sampai ke perut. Dia hanya pergi ke saraf paru-paru, mengembangkan paru-paru, saraf yang sempit jadi dapat bernafas dengan lega.
“Tak masuk ke dalam perut seperti makan dan minum, tak membatalkan puasa,” jelasnya lagi.
Beliau kemudian menjelaskan sebagai orang awam yang mana satukah perlu diikuti adakah ia batal atau tidak?
“Jawapnya orang awam terserah, kita nak ikut pandangan salah satu dibolehkan. Yang tak boleh jika kita mufti. Mufti tak boleh fatwa dengan kaum dhuaif. Mesti fatwa dengan kaum yang muktamad..,” jelasnya lagi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.