Now Reading
Kos Naik Taraf Alamanda Putrajaya Cecah RM100 Juta, Pelancaran Rasmi Oleh Anwar Ibrahim

Kos Naik Taraf Alamanda Putrajaya Cecah RM100 Juta, Pelancaran Rasmi Oleh Anwar Ibrahim

Pusat beli-belah ikonik Alamanda menampilkan Escape Putrajaya pertama di kawasan ini, serta pengalaman membeli-belah dan gaya hidup yang dipertingkatkan!

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Alamanda Shopping Centre yang diuruskan oleh Suria KLCC Sdn Bhd kini berwajah baharu dengan pelaburan RM100 juta daripada Putrajaya Holdings Sdn Bhd.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandakan kepentingan pusat beli-belah ini dalam landskap runcit dan gaya hidup di Putrajaya.

Sebagai mercu tanda yang disayangi ramai, transformasi Alamanda bakal menjadikannya hab yang lebih meriah untuk komuniti setempat dan pelancong.

Alamanda Putrajaya Miliki Kiosk Sentuhan Madani Pertama Di Malaysia

Perdana Menteri menerusi ucapan beliau turut menyentuh tentang kerjasama antara Putrajaya Holdings dan kerajaan yang telah membawa Kiosk Sentuhan Madani pertama di Malaysia ke Alamanda.

Kiosk ini membolehkan orang ramai melakukan transaksi digital dengan jabatan kerajaan terpilih di luar waktu pejabat. Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Sumber: Alamanda

Untuk info, projek naik taraf ini telah bermula pada 20 Jun 2023 dan merupakan pembaharuan terbesar sejak Alamanda dibuka pada tahun 2004.

BACA SINI: Alamanda Putrajaya Bakal Dibangunkan Semula, Sasar Untuk Jadi Lebih Moden & Elegan

Escape Putrajaya: Tarikan Utama Baharu

Antara tarikan utama dalam transformasi ini ialah Escape Putrajaya di Esplanade – sebuah taman pengembaraan luar seluas 151,548 kaki persegi hasil kerjasama dengan Sim Leisure Group Ltd.

Direka khas untuk menggabungkan elemen alam semula jadi dan aktiviti lasak, ia menjanjikan pengalaman menyeronokkan buat seisi keluarga dan rakan-rakan.

Bukan itu sahaja! Alamanda juga memperkenalkan TGV Cinemas 10 dewan yang mesra keluarga serta U-Bowl X yang kini lebih besar dengan 26 lorong boling!

Lebih Banyak Kedai Untuk Pilihan Pengunjung

Sebagai sebahagian daripada transformasi ini, Alamanda menambah 27% Ruang Sewa Bersih (NLA) baharu seluas 199,000 kaki persegi (termasuk Escape Putrajaya). Seiring dengan tagline “Easy Vibrant Shopping”, pusat beli-belah ini kini menampilkan 29 kedai baharu dan semakin bertambah!

Dari segi penampilan, Alamanda kini berwajah lebih moden dengan lantai marmar, susur tangan keluli tahan karat, dan balustrade kaca. Bahagian luarannya juga menampilkan landskap baru yang lebih segar dengan laluan pejalan kaki yang lebih selesa.

Landskap Hijau dan Ruang Terbuka Santai
Sebagai pusat beli-belah mesra komuniti, Alamanda kini mempunyai 60,000 kaki persegi ruang landskap merangkumi:

  • Rumput hijau luas dengan pemandangan tasik
  • Tempat duduk dengan tanaman hiasan tempatan
  • Dek kayu mesra alam

Di Esplanade, kipas HVLS (High Volume Low Speed) dipasang untuk memastikan kawasan ini nyaman, menjadikannya lokasi yang sempurna untuk menjamu selera sambil menikmati pemandangan Escape Putrajaya.

Kemudahan Dipertingkatkan di Alamanda Putrajaya

Untuk memastikan pengalaman membeli-belah lebih lancar, sistem trafik tempat letak kereta telah dioptimumkan bagi memudahkan pengunjung keluar masuk.

Malah, kemudahan Digital & Inisiatif Komuniti juga disediakan seperti:

  • e-Voucher Alamanda – Tidak perlu lagi baucar fizikal! Baucar digital ini akan tersedia di laman web Alamanda tidak lama lagi.
  • Pin Reben Hijau Alamanda – Sokong kesedaran kesihatan mental dengan pembelian pin ini. Setiap pin yang dijual akan menyumbangkan RM10 kepada NGO berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Sdn Bhd, Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim berkata, “Lebih 30 tahun lalu, Putrajaya Holdings telah membangunkan Putrajaya bukan sekadar dengan infrastruktur, tetapi juga ruang yang memperkaya kehidupan masyarakat.

“Pembaharuan Alamanda ini adalah langkah tepat ke arah pembangunan yang lebih bermatlamat, yang menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang untuk komuniti di Putrajaya dan sekitarnya.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan berkata, “Alamanda Shopping Centre bukan sekadar pusat beli-belah biasa, tetapi sebuah mercu tanda komuniti di mana keluarga, rakan-rakan dan jiran bertemu.

“Dengan transformasi ini, Alamanda kini menjadi destinasi gaya hidup yang lebih meriah, menggabungkan elemen beli-belah, makanan, hiburan, dan ruang santai yang direka khas untuk memenuhi keperluan penduduk dan pelawat Putrajaya.

“Kami yakin Alamanda bakal menetapkan penanda aras baharu dalam konsep ‘retailtainment’.”

[Alamanda Putrajaya]

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook,  Twitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd