[Video] Suami Wajib Beri Duit Hantaran Pada Isteri Jika Dah Janji? Ini Penjelasannya
Ustaz Azhar Idrus turut menyifatkan seseorang itu adalah munafik sekiranya tidak menunaikan janji yang sudah dikotakan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap pasangan yang menjalinkan hubungan percintaan pasti ingin mengakhirinya dengan ikatan perkahwinan yang sah.
Bagi pasangan yang sudah mula membuat perancangan untuk berkahwin pasti mempunyai beberapa senarai untuk dilakukan contohnya mengumpul duit hantaran, mas kahwin, menghadiri kursus dan sebagainya.
Namun apabila bercakap mengenai wang hantaran perkara ini sering kali dipandang rumit oleh segelintir pihak dan ia sebenarnya adat yang sering dilakukan dalam kebanyakan majlis perkahwinan.
Hantaran merupakan pemberian hadiah berbentuk wang tunai yang diberikan kepada pihak wanita seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Lelaki wajib beri duit hantaran jika dah berjanji
Hantaran di dalam Islam sememangnya tidak wajib namun bagaimana hukumnya jika pengantin lelaki sudah berjanji untuk memberikannya kepada pengantin perempuan?
Menurut pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam salah satu kuliahnya, hukum memberikan wang hantaran adalah wajib jika perjanjian sudah dilakukan oleh pengantin lelaki dan dipersetujui oleh pihak perempuan.
Menerusi video tersebut, Ustaz Azhar turut menyifatkan seseorang yang tidak menunaikan janjinya sebagai munafik.
“Ramai juga ni pasangan macam ni. Sebelum kahwin kata nak bagi hantaran, mas kahwin RM100 je angkat nikah.
“Hantaran janji RM10,000, sebab tulah mas kahwin wajib dengan nas Al-Quran. Hantaran wajib dengan perjanjian. Bila kamu berjanji sabda Nabi SAW, kamu perlu tunai sesama kamu,” ujarnya dalam video tersebut.
Jika setuju nak bagi hantaran maksudnya wajib tunaikan dengan jumlah yang dijanjikan
Jelasnya lagi, seseorang itu wajib untuk memberikan wang hantaran kepada pihak perempuan dengan jumlah yang telah dijanji dan dipersetujui olehnya.
“Wajib ke bayar mas kahwin? Wajib, wajib dengan apa? Dengan ayat al-Quran. Dan wajib pula bayar hantaran RM10,000? Wajib, kalau kamu bersetuju maknanya dah berjanji.
“Jadi kalau tak bayar mas kahwin berdosa, kalau tak bayar hantaran yang telah kita janji juga berdosa kerana semuanya wajib.”
Sebagai info kadar mas kahwin ditentukan mengikut setiap negeri, sebagai contoh Perak dan Melaka hanya menetapkan kadar maharnya sebanyak RM100 manakala Selangor dan Wilayah Persekutuan RM300 paling minima.
Berbeza dengan wang hantaran, mas kahwin merupakan hak mutlak buat si isteri serta tidak boleh digunakan oleh sesiapa termasuklah suami dan ahli keluarganya.
Bagi hantaran pula memandangkan ia tidak wajib, jumlahnya ditentukan menerusi perbincangan dengan kedua-dua belah pihak keluarga.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â