Now Reading
GrabFood 5-Star Awards Kini Kembali! Pengguna Boleh Mula Undi Restoran Kegemaran Hingga 5 Februari

GrabFood 5-Star Awards Kini Kembali! Pengguna Boleh Mula Undi Restoran Kegemaran Hingga 5 Februari

GrabFood 5-Star Awards 2024 bukan sahaja meraikan rakan-niaga yang cemerlang di platform GrabFood tetapi juga menyerlahkan kerjasama kukuh dan minat bersama terhadap makanan yang mendefinisikan landskap kulinari Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


GrabFood Malaysia teruja untuk mengumumkan kembalinya GrabFood 5-Star Awards 2024 iaitu sebuah acara yang meraikan restoran-restoran terbaik yang telah berjaya memikat hati serta memenuhi selera jutaan rakyat Malaysia di seluruh negara.

Undi Restoran Kesukaan Di GrabFood Sehingga 5 Februari 2025

Tahun ini, sebanyak 148 restoran bertaraf tinggi dalam enam kategori telah disenarai pendek sebagai finalis, dengan pemenang dipilih berdasarkan penilaian, ulasan, dan pilihan pengguna GrabFood di seluruh negara.

Penggemar makanan boleh turut serta dengan mengundi restoran kegemaran mereka mulai sekarang hingga 5 Februari 2025. Para pemenang yang mewakili kecemerlangan dalam industri makanan Malaysia akan diumumkan pada 19 Februari 2025.

“Matlamat kami adalah untuk menjadi platform pilihan bagi pencarian makanan, sama ada melalui penghantaran atau di restoran, sambil mencipta peluang perkembangan untuk rakan-niaga kami.

“Ciri penilaian dan ulasan kami adalah contoh utama bagaimana kami menambah nilai untuk pengguna dan rakan-niaga – membantu pengguna menemui restoran baharu serta menyediakan peluang kepada rakan-niaga untuk berhubung dan menarik lebih ramai pelanggan.

“GrabFood 5-Star Awards mencerminkan kerjasama kukuh yang telah kami bina dengan rakan-niaga serta sokongan padu daripada pengguna kami. Lebih daripada sekadar meraikan yang terbaik, ini adalah satu perayaan budaya makanan Malaysia yang kaya dan peranannya dalam menyatukan masyarakat,” jelas Jiong Jian Tan, Pengarah Komersial dan Penghantaran, Grab Malaysia.

Ubah Perniagaan Harian Jadi Kisah Kejayaan

Bagi rakan-niaga yang berjaya mendapat tempat teratas tahun lepas, anugerah ini lebih daripada sekadar pengiktirafan terhadap usaha keras dan kualiti kerja, malah menjadi saluran transformasi yang menyokong kejayaan perniagaan mereka.

“Anugerah ini telah memberi impak besar kepada perniagaan kami dengan meningkatkan keterlihatan kami di Grab serta menarik pelanggan baharu yang mengaitkan jenama kami dengan makanan berkualiti dan perkhidmatan cemerlang.

“Ia juga telah meningkatkan semangat pasukan, memotivasi kami untuk terus menambah baik dan berinovasi. Kami sangat berterima kasih atas pengiktirafan ini dan peluang untuk berhubung dengan lebih ramai pelanggan,” kongsi Kho Sing Hak, Pemilik dan Pengarah Urusan The Container di Kuching, pemenang bagi kategori Best Western Food tahun lalu.

Bukan itu sahaja, Haliza Halim sebagai salah satu pengasas Nasi Ayam Kee Chup di Johor Bahru, pemenang kategori bagi Best Malaysian Food, turut menyuarakan penghargaannya terhadap platform ini, “Kami sangat berterima kasih kerana dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Grab. Grab telah memberi kami banyak peluang untuk berkembang dan dikenali di seluruh Malaysia dan Singapura.

“Penilaian 5 bintang ini telah meningkatkan kepercayaan terhadap jenama kami, membantu kami mencapai lebih ramai pelanggan.”

Sokong Kejayaan Rakan Niaga Dengan Alatan Canggih

GrabFood telah berkembang melangkaui penghantaran, menjadi hab untuk penerokaan kulinari. Menurut laporan Grab’s 2023 Food and Grocery Trends, 91% pengguna Malaysia menggunakan aplikasi Grab untuk mencari restoran dan kedai baharu yang belum pernah mereka cuba sebelum ini.

Ini membuka peluang besar untuk rakan-niaga, terutama melalui ciri penilaian dan ulasan pengguna – alat yang penting, memandangkan lebih 90% pengguna mengakui membaca ulasan dalam talian sebelum membuat keputusan.

Sejak memperkenalkan ulasan bertulis pada 2022, sebanyak 13.5 juta ulasan GrabFood telah dikumpulkan. Sebelum ini, pengguna hanya boleh menilai rakan-niaga dengan skala 1 hingga 5.

Namun, menyedari trend peningkatan kebergantungan terhadap ulasan terperinci untuk membuat keputusan, pilihan untuk berkongsi maklum balas bertulis diperkenalkan. Lapisan tambahan ini membantu rakan-niaga memahami keutamaan pelanggan dengan lebih baik dan meningkatkan kualiti tawaran mereka

Berdasarkan maklum balas ini, GrabFood menyediakan rakan-niaga dengan alat digital intuitif dan layan diri yang menyokong pertumbuhan mereka. Dengan lebih 500,000 PKS berdaftar di platform ini pada 2023, alat ini membolehkan rakan-niaga menganalisis maklum balas pelanggan, menjejaki prestasi, dan mengenal pasti peluang baharu untuk menarik dan mengekalkan pelanggan setia.

GrabFood 5-Star Awards.

GrabFood 5-Star Awards 2024 bukan sahaja meraikan rakan-niaga yang cemerlang di platform GrabFood tetapi juga menyerlahkan kerjasama kukuh dan minat bersama terhadap makanan yang mendefinisikan landskap kulinari Malaysia.

Ketika rakyat Malaysia bersama-sama mengiktiraf dan meraikan tempat makan kegemaran mereka, inisiatif ini mengukuhkan komitmen GrabFood untuk terus menyokong peniaga tempatan dan mempamer kekayaan budaya makanan negara.

[GrabFood 5-Star Awards]

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd