Ini Sebab Kenapa Perlu Hebahkan Bayaran Zakat Kepada Masyarakat
Hebahan tentang seseorang membayar zakat merupakan konsep yang disebut sebagai wudhuh al-amwal yang bermaksud ketelusan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita wajib membayar zakat mengikut kadar yang telah ditetapkan bagi menyucikan diri. Ia secara tidak langsung dapat menimbulkan rasa bersyukur atas segala nikmat yang diperolehi.
Sebagaimana solat itu diwajibkan bagi umat Islam, sama juga seperti zakat kerana ia juga salah satu Rukun Islam yang perlu diikuti bagi setiap Muslim.
Dengan melunaskan bayaran zakat, pemberi akan diberi ganjaran pahala sebanyak 700 kali ganda seperti mana yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah ayat 261:
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”
Baca Artikel Berkaitan: Perlu Ke Bayar Zakat Bila Keluarkan Duit KWSP? Ini Penjelasannya
Perlu Ke Hebahkan Tentang Pembayaran Zakat?
Menerusi bebenang yang dimuat naik di laman X (Twitter @addien90s), lelaki ini menjelaskan mazhab Syafie berkata pembayaran zakat sebaiknya dihebahkan kepada umum bagi memberi inspirasi kepada orang lain.
Dengan hebahan tersebut, ia secara tidak langsung dapat menolak dakwaan sesetengah pihak yang menganggap golongan berharta tidak membayar zakat.
Tapi jangan salah faham, ia berbeza dengan amalan sunat dan bersedekah yang perlu dirahsiakan.
Cara Untuk Menghebahkan Pembayaran Zakat
Kaedah untuk menghebahkan pembayaran zakat itu tidak terikat dengan sesuatu cara, asalkan ia memudahkan seseorang. Nak buat video pun boleh juga.
Mungkin ada yang terfikir bagaimana jika hebahan tersebut menimbulkan rasa riak atau ujub dalam hati manusia? Namun, soal perasaan yang tidak dapat dilihat bukanlah tugas manusia untuk menghukumnya.
Kaedah usul fiqh yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi Ibn Hajar al-Asqalani dan As-Syatibi menyatakan bahawa sesuatu hukum bagi manusia berdasarkan keadaan zahir, manakala urusan hati diserahkan kepada Allah SWT.
Boleh Ke Beritahu Jumlah Zakat Yang Dibayar?
Soal jumlah zakat yang dibayar pula, ia tidak menjadi masalah sekiranya nilai tersebut didedahkan. Bahkan ia sebenarnya lebih baik dari segi syariah bagi individu yang berjawatan tinggi dan berpengaruh.
Malah, perkara ini turut dilakukan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab serta Umar bin Abdul Aziz dan konsep ini disebut sebagai wudhuh al-amwal yang bermaksud ketelusan.
Syaikh Wahbah az-Zuhaili menerusi Tafsir al-Munir 3/71 menjelaskan bahawa sumbangan yang melibatkan manfaat orang ramai seperti pembinaan sekolah dan hospital juga dikategorikan sebagai afdal untuk dizahirkan.
Disisi mazhab Syafie, zakat sebenarnya afdal (lebih baik) dihebahkan supaya orang lain terinspirasi daripadanya dan tidak timbul buruk sangka bahawa orang kaya tidak keluarkan zakat. Manakala sedekah dan amalan sunat, afdal dirahsiakan. [al-Majmu’ 6/233, al-Aziz 7/425] https://t.co/e4wP3WVZDt
— addien90 (@addien90s) December 21, 2023
Usahawan Berjaya Di Malaysia Lunaskan Bayaran Zakat Bernilai RM1 Juta
Baru-baru ini, pasangan pelakon tanah air serta ahli perniagaan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal telah memuat naik satu perkongsian di laman Instagram menunjukkan mereka sedang membayar zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Jumlah RM1 juta yang dibayar itu merupakan hasil perniagaan sepanjang tahun 2024.
Tambah usahawan tersebut, dia berharap bayaran zakat yang dilaburkan itu mampu membantu golongan memerlukan di luar sana.
Kedua-dua pasangan selebriti itu mempunyai beberapa buah perniagaan sedia ada termasuklah Wawa Cosmetics dan syarikat produksi Respected Citizen Sdn Bhd.
Pada masa yang sama, usahawan Datuk Aliff Syukri yang memiliki beberapa perniagaan turut melunaskan zakat perniagaan dengan membayar RM1 juta kepada Lembaga Zakat Selangor.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh beliau menerusi hantaran dimuat naik di laman Instagram (@aliffsyukriterlajaklaris).
Hukum Bayar Zakat Perniagaan
Menurut Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, seseorang usahawan diwajibkan membayar zakat perniagaan sekiranya menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
Berikut adalah syarat syarikat perniagaan wajib mengeluarkan zakat:
- Perniagaan yang dimiliki oleh individu beragama Islam.
- Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam yang merdeka.
- Sempurna milik.
- Cukup nisab.
- Cukup haul (setahun qamariah 354.3 hari).
Kewajipan mengeluarkan zakat perniagaan ini adalah berdasarkan kepada nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah. Menurut firman Allah SWT:
“يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ”
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” [Surah al-Baqarah: 267]
Baca Artikel Berkaitan: Zakat Pendapatan Perlu Dibayar Sebelum Hujung Tahun, Ini Cara Pengiraannya
Baca Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Pembayar Zakat Tertinggi Sebagai Penyanyi, Tak Culas Sejak 2019
Baca Artikel Berkaitan: Aeril Zafrel & Wawa Zainal Bayar Zakat Perniagaan RM1.15 Juta
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.