Boleh Ke Tak Tutup Aurat Semasa Baca Al-Quran? Ini Jawapannya
Walau bagaimanapun, Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan antara adab membaca al-Quran ialah menutup aurat secara sempurna seperti mana yang ditegaskan oleh para ulama.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap umat Islam wajib untuk beramal dengan kitab suci al-Quran, malah ia bukan sekadar kitab agama sebaliknya menjadi rujukan dan panduan dalam pelbagai perkara seperti gaya hidup dan sebagainya.
Bukan hanya itu, mereka yang beramal dan tidak pernah meninggalkan kitab suci ini akan sentiasa diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Dalam membaca al-Quran umum mengetahui terdapat adab yang perlu dipatuhi kerana kitab ini mempunyai darjat yang sangat tinggi sebagai contoh niat kerana Allah SWT, berada dalam keadaan bersih, menghayati maksudnya, berwuduk serta banyak lagi.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Perlu Berwuduk Ketika Pegang Al-Quran Walaupun Berlapik [Video]
Hukum baca al-Quran tanpa menutup aurat
Namun ada yang tertanya-tanya adakah kita wajib untuk menutup aurat sewaktu membaca al-Quran.
Perkara ini turut dijawab dalam laman rasmi Mufti Wilayah Persekutuan apabila terdapat individu bertanyakan soalan yang sama mengenai hukum membaca al-Quran dalam keadaan tidak menutup aurat contohnya wanita tidak memakai tudung dan lelaki memakai seluar pendek.
Jelas mufti berkenaan, hukum membaca al-Quran dalam keadaan tidak menutup aurat adalah harus.
“Hal ini kerana tidak terdapat mana-mana ayat al-Quran atau hadis yang menyatakan hal yang demikian.
“Namun demikian, kami tegaskan bahawa antara adab membaca al-Quran ialah menutup aurat secara sempurna sebagaimana yang ditegaskan oleh para ulama, antaranya Dr. Nuh ‘Ali Salman, ahli Lajnah Darul Iftaa Mesir,” katanya.
Cara paling baik dalam baca al-Quran adalah mengagungkan syiar Allah SWT
Menurutnya lagi cara yang paling baik dalam membaca al-Quran adalah salah satu cara seseorang mengagungkan syiar Allah SWT serta bukti ketaqwaan kepada yang Maha Esa seperti firmannya dalam al-Quran.
وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maksudnya: “Barang siapa yang mengagungkan syiar Allah, maka itu termasuk (bukti) ketaqwaan dalam hatinya” – Surah Al-Hajj ayat 32.
Al-Hakim Al-Tirmidzi juga menyebut dalam sebuah kitab Nawadir al-Usul mengenai cara menghormati serta mengagungkan kitab suci berkenaan:
أَن تتلبس لَهُ كَمَا تتلبس للدخول على الْأَمِير لِأَنَّك مناج
Maksudnya: “Hendaklah kamu berpakaian seperti mana kamu berpakaian ketika ingin bertemu seorang raja untuk meminta sesuatu permintaan.” – Rujuk Al-Hakim Al-Tirmizi, Nawadir al-Usul fi Ahadith al-Rasul (3).
Oleh itu, atas dasar adab dengan al-Quran yang merupakan kitab suci diturunkan oleh Allah SWT untuk hambaNya maka adalah baik jika kita membaca dalam keadaan menutup aurat secara sempurna seperti yang ditegaskan dan yang disarankan kepada orang ramai.
UAI turut jelaskan sunat tutup aurat ketika baca al-Quran
Perkara sama turut dijelaskan oleh Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam salah satu kuliahnya selepas disoal oleh penonton mengenai hukum tak menutup aurat ketika membaca al-Quran.
Dalam ceramah itu, Ustaz Azhar Idrus memaklumkan ia adalah sunat jika seseorang itu ingin menutup aurat sewaktu membaca al-Quran dalam keadaan tiada mana-mana individu yang memandangnya.
“Sebagai contoh dalam rumah tiada orang, hanya ada kita sahaja dalam rumah. Kita pakai tutup aurat, sunat ketika baca al-Quran.
“Kerana tidak disyaratkan menutup aurat ketika baca al-Quran, tetapi disyaratkan menutup aurat ketika solat, tawaf dan sujud seperti sujud sajadah atau sujud syukur.”
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.