Anda Rasa Dah Cukup ‘Malaysian’? Jom Lihat Kalau Lengkap Semua Ciri Ini
Tidak kira bangsa, jantina, agama, atau rupa bentuk, rakyat Malaysia mempunyai identiti yang kolektif. Tetapi apa ertinya menjadi rakyat Malaysia? Jom cari maksudnya!
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menjadi rakyat Malaysia ini bukan hanya tentang di mana anda lahir atau mempunyai MyKad. Ia lebih kepada gaya hidup, tingkah laku, aksi spontan yang akan membuatkan anda mengangguk dan berkata, “Sebiji macam kitalah!”
Sama ada anda hidup dalam dunia yang sibuk di bandar KL yang hiruk-pikuk, bersantai di bandar terpencil di Kelantan atau menerokai kepelbagaian budaya di Sarawak, kita semua ada banyak tabiat yang sama-sama boleh difahami.
Jadi, jom lihat sama ada anda mempunyai ciri-ciri atau kriteria di bawah untuk melayakkan diri anda digelar sebagai rakyat Malaysia sejati!
1. Tersekat Dalam Kesesakan Lalu Lintas? Itu Biasa!
Waktu cuti jalan sesak, waktu tak cuti pun jalan sesak. Senang kata hari-harilah trafik sesak! Sampai tahap kesesakan trafik ini secara praktikalnya sudah ada dalam DNA kita. Dari tersangkut di sepanjang lebuh raya di Lembah Klang sehingga kesesakan semasa musim perayaan di Kuching, Sarawak ia akan membuatkan anda tertanya ‘kenapa aku di sini?’ 😩
Tips untuk tempuhi trafik: Sentiasa sediakan snek serta air di dalam kereta dan tarik nafas dalam-dalam.
2. Tambah Nilai Kad Touch ‘n Go (atau Bersedia Untuk Road Trip Di Borneo)
Orang-orang Semenanjung mesti boleh faham betapa gementarnya bila baru menyedari yang baki kad Touch ‘n Go tidak mencukupi sebaik tiba di pondok tol. Sementara itu, mereka di Sabah dan Sarawak yang bebas tol (untunglah),mereka akan lebih tertumpu untuk memiliki kereta bagi perjalanan yang panjang namun menakjubkan melalui kawasan bukit dan hutan. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan? Cantik itu memang cantik. Tetapi adakah ia boleh diramal? Tidak.
Setiap rakyat Malaysia mesti akan ada senarai lagu yang best untuk menemani sepanjang pemanduan.
Tips pro: Pastikan baki kad TNG anda sentiasa ditambah nilai atau jika sedang mengembara di Borneo, pastikan bawa snek yang mencukupi. Bawa lebih pun tak apa.
3. Lepak Tengah Malam Di Gerai, Mamak Atau Kopitiam
Kalau anda tak pernah lepak tengah malam sambil minum teh tarik di kedai mamak hingga matahari terbit, maksudnya anda tak cukup ‘Malaysian’ lagi. Penduduk di Semenanjung Malaysia biasanya akan berkumpul di kedai mamak dan gerai makan untuk makan roti canai sambil berdebat tentang bola sepak.
Sementara itu di kawasan Timur Malaysia, kopitiam dan medan selera pun sama meriahnya.
Pernah tak anda tiba-tiba mengidam mi kolok di Kuching atau ngiu chap (mi sup daging) di Kota Kinabalu? Ada sesuatu yang universal tentang rakyat Malaysia melibatkan pengambilan karbohidrat dan kafein.
Kena cuba: Nanti cubalah pesan roti telur bawang di kedai mamak, keropok di gerai atau manok pansoh (ayam masak buluh) di Sarawak. Ucap terima kasih pada kami nanti ya.
4. Meraikan Semua Perayaan
Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas—namakan apa sahaja festival, kami akan berada di sana untuk makanan, bunga api dan hubungan persahabatan. Dan di Sabah? Kaamatan bermaksud wain beras, tarian tradisional dan keriangan. Di Sarawak, Gawai adalah tentang rumah terbuka, persembahan kebudayaan serta rasa tuak yang manis dan kuat. Kita semua akan memakai pakaian tradisional masing-masing, menikmati hidangan lemang dan kek lapis tanpa henti hingga terlupa niat untuk berdiet sampai ke tahun depan.
Amaran perayaan: Anda mungkin akan ‘terjebak’ sekali menari dalam pakaian tradisional. Ikut je!
5. Berbual Guna Bahasa Rojak
“Eh, macha, wanna makan here or tapau ah?” Rakyat Malaysia memang pandai bab menggabungkan Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil dan apa jua yang sesuai untuk mempelbagaikan ‘perisa’ dalam ayat. Slang Sarawak? Boleh guna beberapa perkataan Iban seperti ‘ngirup’ (minum). Kalau di Sabah, jangan terkejut bila ada yang menambah ‘bah’ secara kasual dalam setiap ayat: “Marilah makan sini bah!” — Ia bukan sekadar bahasa tetapi sambutan semua jenis perayaan yang muhi-bah!
Kisah benar: Lagi banyak bahasa yang anda boleh bertukar-tukar dalam satu nafas, lagi terserlah ciri-ciri rakyat Malaysia dalam diri.
6. Sentiasa Bersatu Lawan Karen
Rakyat Malaysia mungkin sering bertelagah sesama sendiri dalam isu politik, pilihan makanan dan juga fesyen — tetapi bila ada orang luar yang datang mengkritik, standby! Kami akan bersatu dengan berkata “kau dah kenapa?” Perpaduan adalah kuncinya dan kami amat berbangga dalam mempertahankan budaya dan tradisi tempatan. Ini adalah keunikan semangat patriotisme yang mengingatkan bahawa kita adalah sama walaupun mempunyai latar belakang berbeza. Bersatu kita teguh!
Bukti perpaduan: Sentiasa mempertahankan makanan, budaya atau atlet kita apabila mereka dikritik.
7. Semua Kawasan Boleh Jadi Tempat Letak Kereta
Rakyat Malaysia sememangnya mahir dalam mewujudkan parkir yang kreatif. ‘Double park’, ‘triple park’ atau mewujudkan tempat letak kereta yang baharu — selagi ada ruang, kami akan cuba sedaya-upaya untuk ‘merealisasikannya’. Selalunya perkara seperti ini berlaku di bandar-bandar seperti KL dan Pulau Pinang, serta lokasi sesak seperti Miri di mana kawasan meletak kenderaan agak terhad.
Kemahiran ini sudah dikuasai dengan penuh sempurna dan jangan lupa ada tentang satu peraturan yang penting iaitu sentiasa letakkan nombor telefon di dashboard kalau anda menghalang kereta seseorang.
Bersedia: Bersedia untuk menjawab panggilan di mana pemandu yang disekat itu akan memarahi anda dan anda perlu membalasnya dengan nada yang penuh jujur sambil berkata “Minta maaf bos!”
8. Gemarkan Benda Percuma
Tiada apa yang boleh membuatkan jantung anda berdegup lebih laju daripada perkataan ‘percuma’. Sampel percuma, konsert percuma, makanan percuma? Sudah tentu kami akan datang ke sana lah! Tidak kiralah perlu berbaris di pesta makanan di KL hingga berkumpul untuk mendapatkan hadiah percuma di festival kebudayaan di Kota Kinabalu, ia lebih kepada cara kita menghargai tawaran terbaik yang ada dalam kehidupan. Bukan kedekut, tapi bijak!
Motto kehidupan: Kalau ia percuma, ia berbaloi.
9. Makan Guna Tangan
Makan menggunakan tangan adalah budaya kita semua. Nasi lemak, nasi daun pisang, makanan tradisional Kadazan-Dusun, namakan apa sahaja! Mencampurkan nasi, kuah dan lauk dalam satu suapan juga adalah satu seni dan jika anda masih menggunakan sudu atau garfu, anda akan terlepas merasai pengalaman ini. Walaupun ia bersepah makanan, tapi ia sangat sedap.
Tips untuk pencinta makanan: Kuasai teknik mencedok menggunakan jari untuk mendapatkan rasa yang cukup mengagumkan.
10. Buka Kasut
SENTIASA. BUKA. KASUT. Tak kisahlah anda mahu melawat kawan, saudara-mara atau melangkah masuk ke dalam kedai atau tempat kerja — tanggalkan kasut itu di hadapan pintu. Boleh dikatakan perkara ini sudah sebati dalam diri kita sehinggakan idea memakai kasut dalam rumah membuatkan kita rasa seperti ada sesuatu yang tak kena.
Peraturan kaki: Pastikan stokin yang dipakai berada dalam keadaan bersih atau hanya memakai selipar, lebih senang untuk berkaki ayam.
11. Sanggup Beratur Panjang Demi Minyak Murah
Rasanya semua sudah tahu yang kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95. Jadi bersedialah untuk satu lagi episod ura-ura tentang kenaikan harga petrol. Pastinya rakyat Malaysia (golongan T15) akan berpusu-pusu dan berlumba ke stesen minyak berhampiran.
Percayalah, mesti akan ada barisan panjang dan setiap pam dipenuhi kerana orang ramai yang mahu memenuhkan tangki minyak sebelum harga melonjak naik. Bukan sekadar mengisi tangki, tetapi kami memaksimumkan setiap titisan!
Keseronokan (dan kadangkala kekecewaan) untuk beratur mengisi petrol ini adalah petunjuk bahawa rakyat Malaysia sangat mementingkan sikap berjimat cermat.
Tips pro: Sentiasa ambil tahu tentang pengumuman mengenai harga minyak dan bersedia untuk beratur.
12. Sentiasa Sokong Pasukan Negara
Kita sebagai rakyat Malaysia mungkin mempunyai perbezaan, tetapi apabila bab sukan, kita semua akan bersatu. Sama ada perlawanan badminton yang akan membuatkan anda tidak senang duduk atau perlawanan bola sepak yang sengit, kita akan memakai warna kebangsaan dengan penuh bangga.
Tiada apa yang boleh mengatasi kemeriahan menonton perlawanan di mamak atau stadium yang penuh sesak sambil mendengar laungan serta jeritan “Malaysia Boleh!” beramai-ramai.
Malah mesti anda semua pernah bergurau untuk mendapatkan cuti umum khas sekiranya ada atlet yang memenangi kejohanan yang dipertandingkan. Jadi bersiaplah untuk bersorak, meraikan, dan mungkin dapat hari cuti tambahan!
Detik-detik yang tidak dapat dilupakan: Sorakan gembira ketika jaguh badminton beregu negara iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024, kejayaan Datuk Pandalela Rinong.
13. FOMO Melampau
Rakyat Malaysia cukup benci kalau terlepas dalam sesuatu perkara! Sama ada makanan viral, restoran baru atau pelancaran gajet baharu, pasti kami sanggup beratur berjam-jam untuk menjadi yang terawal.
Apabila mod kiasu atau perasaan takut terlepas (FOMO) diaktifkan, anda akan melihat kami beratur beramai-ramai, mengambil gambar untuk Instagram dan dengan bangganya mengisytiharkan, “Pertama!”.
Sesungguhnya, semangat kiasu kami kuat tanpa segan silu.
Detik FOMO paling epik: Beratur selama berjam-jam untuk mendapatkan croissant kuning telur masin terbaharu—hanya untuk detik TikTok yang sempurna.
Kalau anda pernah merasai mana-mana (atau semua) sikap ini, — TAHNIAH anda adalah rakyat Malaysia yang sebenar!
Tabiat, perjuangan dan perayaan yang dikongsi bersama ini menggambarkan kehidupan seharian kita dan menyerlahkan semangat perpaduan, kebersamaan, muhibah dan menjadikan kehidupan di Malaysia lebih bersemangat serta mengujakan.
Tetapi senarai ini hanyalah permulaan. Ada lagi tabiat rakyat Malaysia yang korang nak tambah? Kongsi pendapat anda dan mari raikan sesuatu yang menjadikan kehidupan kita lebih istimewa?
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.