[Eksklusif] Pilot Ini Buka Restoran Tawar Menu ‘Smashed Burgers & Shrimp Rolls Di Bukit Damansara
Menurut salah seorang pengasas restoran Grill Haven iaitu Muhammad Afiq Nazar, hala tuju yang tidak menentu dalam bidang penerbangan menjadi asbab buatnya untuk cuba membangunkan sebuah bisnes.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bila bercakap tentang memulakan sesuatu bisnes, tidak ramai yang mengetahui selok-belok dunia perniagaan ini sebenarnya. Kadangkala, mereka yang tiada ‘background’ pun terasa ingin mencuba sesuatu yang baharu untuk mengembangkan lagi sayap ke bidang lain.
Tak salah untuk mencuba, cuma stategi kena power.
Sama juga seperti individu ini di mana dia yang mempunyai kerja hakiki sebagai seorang pilot di syarikat penerbangan Malaysia Airlines telah membuat keputusan untuk menerokai bidang perniagaan.
Bukan perniagaan biasa, tetapi melibatkan F&B. Sungguh, tak mudah.
Eksklusif Interview Bersama Pemilik Restoran Smashed Burgers & Shrimp Rolls, Grill Haven
Afiq Nazar berkongsi beberapa info tentang dirinya dan bagaimana dia boleh terkecimpung dalam dunia F&B. Menurut Afiq, dia yang berasal dari Pulau Pinang dan membesar di Subang Jaya pada awalnya melanjutkan pelajaran dalam bidang penerbangan.
Namun disebabkan hala tuju yang kurang jelas selain tidak mendapat tawaran dalam bidang tersebut, Afiq mengambil keputusan menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya iaitu Ijazah Sarjana Muda dalam Perniagaan Antarabangsa.
Selepas tamat pengajiannya, pemuda ini kemudian ditawarkan di sebuah syarikat penerbangan dan meneruskan bidang ini di Melbourne, Australia. Dalam erti kata mudah, Afiq kini bergelar juruterbang dan juga seorang pemilik perniagaan.
Afiq & Rakan Kongsi Mulakan Bisnes Grill Haven Selepas Pandemik
Berbual lebih lanjut mengenai bisnes Grill Haven itu sendiri, Afiq menjelaskan bahawa ia adalah perniagaan perkongsian bersama salah seorang ahli keluarganya.
Rakan sekongsi, Mohammad Hafiz bin Abd Rahman iaitu seorang juruterbang yang juga pakcik kepada Afiq dikatakan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu pandemik.
Oleh disebabkan pendapatan yang terjejas dan tidak menentu, dia kemudian bertekad untuk memulakan bisnes sampingan bagi menampung kos sara hidup bersama dengan Afiq.
Grill Haven Adalah Restoran Mesra Muslim
Memberanikan diri untuk memulakan perniagaan, Afiq berkata segala proses yang dipelajari dalam industri F&B ini merupakan kali pertama buatnya.
“Dalam hidup saya, saya tak pernah memasak. Jadi dengan Grill Haven saya sebenarnya mempelajari beberapa kemahiran baharu seperti merealisasikan masakan tersebut, menguruskan pelanggan dan jangkaan individu terhadap jenama itu sendiri,” ujar Afiq.
Sebagai syarikat milik orang Muslim yang menyediakan hidangan bertemakan ‘western’, Afiq tidak menafikan bahawa mengekalkan pelanggan sedia ada merupakan satu cabaran tetapi dalam masa sama ia satu proses yang mengujakan.
“Kenapa menarik sebab sentiasa ada aspek tertentu tentang halal, sama ada ia (makanan dan minuman) halal atau tidak,” katanya.
Untuk info, pihak Grill Haven kini sedang dalam proses memohon sijil halal.
Buat masa ini, Afiq menegaskan bahawa bisnes ini adalah mesra Muslim.
“Kami belum diperakui (halal oleh JAKIM) tetapi sebagai seseorang yang mempraktikkan ajaran Muslim, kami ambil isu ini dengan serius,” jelas Afiq.
Afiq Harap Lebih Banyak Jenama Tempatan Berani Terokai Bidang F&B
Afiq berkata bisnes Grill Haven semakin lama semakin menerima banyak reviu positif dan membina dari para pelanggan. Maklum balas yang baik ini membuatkan Afiq berharap agar banyak lagi jenama tempatan lain lebih berani untuk meneroka bidang F&B ini.
“Inilah peluang kita sejak krisis geopolitik sedang berlaku di dunia. Ini adalah peluang kami untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa jenama dan syarikat tempatan juga boleh melakukan yang terbaik,” jelas Afiq.
Cabaran Bekerja Sebagai Pemilik Bisnes & Juruterbang
Bertanya tentang cabaran dilalui oleh Afiq bagi mengimbangi dua kerjaya iaitu sebagai sorang juruterbang dan pemilik bisnes, dia berkata menyesuaikan diri dengan perbezaan waktu merupakan antara perkara yang harus dilaluinya.
Memandangkan Afiq seorang juruterbang, dia perlu ‘terbang’ ke luar negara dan berdepan dengan penerbangan yang agak lama.
“Anda boleh bayangkan terbang dari Malaysia ke Oakland, lepas itu penerbangan ke Arab Saudi pula ia adalah dua zon waktu yang berbeza. Mungkin hanya perlu sesuaikan diri dengan perubahan masa.
“Selain daripada itu, ia adalah sangat fleksibel.
“Jadi seorang juruterbang adalah kerjaya utama saya, dan saya tidak akan meninggalkannya InsyaAllah,” tambah Afiq lagi.
Afiq Terbuka Dengan Cabaran Baru Dalam F&B
Tiada masa untuk diri sendiri merupakan faktor lain yang membuatkan Afiq berminat dengan dunia bisnes.
Walaupun dengan kekangan masa, kerjaya ini sememangnya mempunyai kebaikannya tersendiri yang mana dia berpeluang melalui sendiri proses mempelajari bidang F&B dan juga penerbangan.
“Jika saya di restoran, saya boleh lupakan tentang penerbangan buat sementara waktu dan sebaliknya. Saya tidak berasa bosan, saya selalu terbuka dengan cabaran baru dan aspirasi baru setiap hari.
“Ia (Grill Haven) membuatkan saya terus berusaha setiap hari dan saya percaya saya boleh bergantung dengan perniagaan ini jika ada perkara lain yang terjadi pada masa depan,” ulas Afiq.
Bercerita mengenai pengalamannya sendiri, bijak menguruskan masa dan diri sendiri adalah kunci utama untuk berjaya dalam apa-apa bidang diceburi.
Afiq dalam masa berkata bisnes Grill Haven menunjukkan usaha orang di belakang takbir dalam menjayakan perniagaan ini.
“Saya tak pernah percaya duit boleh didapatkan dengan mudah. Kalau mahukan duit, anda berusaha untuknya dan Insya-Allah jika anda ada produk yang bagus ia (keuntungan) akan datang kembali,” jelas pengasas Grill Haven itu lagi.
Grill Haven
- 46-G, Plaza Damansara, Jalan Medan Setia 2, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
- Isnin hingga Jumaat (10am-9pm) / Sabtu & Ahad (10am-10pm)
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram