Pelajar USIM Ini Terbang Ke New Zealand, Sebar Dakwah Islam Ke Peringkat Global
Pelajar Fakulti Pengurusan dan Kepimpinan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dikenali sebagai Ahmad Iqbal itu menyebarkan dakwah Islam dengan komuniti Christchurch, New Zealand.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menyebarkan dakwah agama sememangnya satu perkara baik yang dituntut dalam Islam bagi membimbing individu untuk menuju ke jalan Allah SWT.
Perkara tersebut sekaligus dapat mengajak orang ramai untuk setiasa melakukan kebaikan (amar makruf) dan mencegah diri daripada melakukan kejahatan (nahi mungkar).
Berkongsi ilmu tentang agama Islam juga boleh dilakukan di negara luar agar semakin ramai masyarakat serata dunia mengenali keindahan agama ini.
Pelajar USIM Sampaikan Khutbah & Ajar Al-Quran Di Masjid New Zealand
Demi menyampaikan dakwah dengan komuniti sekeliling, pelajar Fakulti Pengurusan dan Kepimpinan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dikenali sebagai Ahmad Iqbal Hadi Mohd. Zamani telah tampil dengan satu idea yang unik dan lain daripada lain.
Bagi projek latihan industrinya, Ahmad Iqbal telah memilih untuk menyampaikan khutbah dan mengajar Al-Quran bersama komuniti di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand.
Inisiatif yang dilakukan oleh pelajar tersebut dalam masa sama bertujuan bagi mengembangkan syiar Islam di kawasan sana.
Untuk info, pelajar tahun 4 Program Dakwah dan Pengurusan Islam yang juga merupakan anak kelahiran Gombak, Selangor itu memulakan latihan industrinya pada 18 Mac 2024 lalu dan dijangka tamat pada 5 Julai 2024.
Masjid Al Noor Di Christchurch Unik, Ada Pelbagai Etnik & Budaya Berbeza
Difahamkan, Ahmad Iqbal tidak berseorangan sebaliknya melakukan latihan industri berkenaan bersama dua rakan seperjuangan yang lain iaitu Muhammad Aiman Mohamad Noradi dan Abdul Basit Mat Daik.

“Saya memilih Masjid Al Noor kerana ingin mencabar diri dan menimba pengalaman bekerja di luar negara.
“Masjid ini menarik perhatian saya kerana keunikan yang dimiliki iaitu perpaduan pelbagai etnik, budaya dan mazhab berbeza, menjadikan masjid tersebut sebagai entiti penyatuan ummah,” kata Iqbal.
Pandangan Mazhab & Budaya Berbeza Cabaran Utama
Berbicara lebih mendalam mengenai pengalaman Iqbal di sana, pelajar tersebut berkata pandangan mazhab dan budaya rakyat yang berbeza menjadi halangan utama dalam pengurusan di masjid.
Penuntut USIM berusia 23 tahun itu menjelaskan bahawa cabaran lain yang turut dilalui termasuklah kekurangan tenaga pendakwah di mana ia sekaligus menyukarkan proses dakwah dijalankan.

Pun begitu, cabaran yang dinyatakan tidak menjadi penghalang untuk dirinya bagi meneruskan kembara dakwah berkenaan.
Pengalaman ini adalah satu pelajaran yang sangat berharga, yang mana mungkin dapat dilupakan begitu sahaja. Saya juga berharap dapat menggunakannya untuk kebaikan ummah pada masa akan datang.
Ahmad Iqbal.
Komuniti Muslim Di Christchurch Cecah 4,000 Orang
Memetik portal rasmi USIM, masjid yang dipilih oleh Iqbal itu bukan sahaja digunakan untuk tujuan ibadah malah antara tumpuan utama komuniti Christchurch sebagai pusat dakwah.
Masjid Al Noor menjadi destinasi pelancongan, menawarkan kelas buat para mualaf serta berfungsi sebagai sumber rujukan umat Islam.
Menurut Iqbal, komuniti Muslim di Christchurch terdiri daripada lebih 30 etnik daripada pelbagai mazhab dengan jumlah sekitar 4,000 orang.
Iqbal Rancang Untuk Sebarkan Dakwah Islam Ke Jepun Pula
Bertanya lebih lanjut tentang aktiviti seterusnya, Iqbal membuat perancangan untuk melanjutkan dakwah Islam ke Jepun pula selepas ini.
“Saya bercadang untuk memperluaskan pengetahuan dan memahami perbezaan budaya yang sejajar dengan nilai-nilai Islam di Jepun.
“Pilihan saya untuk melanjutkan dakwah di Jepun disebabkan oleh keserasian budaya mereka dengan nilai-nilai Islam tertentu. Misalnya, penekanan terhadap kebersihan dan kepatuhan terhadap waktu.
“Hal ini memberi peluang kepada saya untuk menyebarkan ajaran Islam dalam konteks yang boleh diterima oleh masyarakat tempatan,” tambah pemuda itu.
Baca Artikel Berkaitan: 13 Pemuda Gadai Harta Demi Buka Pusat Pengajian Al-Quran Dalam Bas Lama
Baca Artikel Berkaitan: 2 Pelancong Jepun Peluk Islam Lepas Jatuh Cinta Dengar Alunan Ayat Al-quran Di Masjid Negara
Baca Artikel Berkaitan: Rider Dipuji Luang Masa Baca Al-Quran. Ada Yang ‘Offer’ Berbuka Puasa Percuma Selama Sebulan!
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram