Makmum Baca Al-Fatihah Serentak Dengan Imam, Sah Atau Tidak Solatnya?
Kata Ustaz Azhar Idrus, terdapat sesetengah makmum yang membaca surah al-Fatihah secara serentak atau sebelum imam bermula.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui solat merupakan tiang agama umat Islam. Antara rukun qauli yang wajib dilakukan ketika solat adalah seperti takbiratul ihram, bacaan al-Fatihah, bacaan dan selawat ke atas Nabi Muhammad pada tahiyat akhir dan juga salam.
Walaupun begitu, masih ramai di kalangan masyarakat masih keliru tentang urutan membaca surah ketika solat berjemaah bersama imam.
Ada individu yang berkata membaca al-Fatihah serentak dengan imam akan membatalkan solat anda. Betul ke?
Hukum Makmum Baca Al-Fatihah Serentak Dengan Imam
Bagi menjawab persoalan itu, kami telah melakukan carian dan menemui satu video tazkirah oleh pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang dimuat naik di laman YouTube menjelaskan tentang hukum hakam urutan bacaan al-Fatihah sewaktu solat berjemaah.
Seorang individu bertanya kepadanya sama ada solat seseorang itu dikira sah sekiranya makmum membaca surah al-Fatihah serentak bersama dengan imam.
Menjawab kepada pertanyaan tersebut, UAI berkata kebiasaannya makmum akan membaca surah tersebut selepas imam membacanya.
Pun begitu ada juga yang membaca surah al-Fatihah secara serentak. Jelasnya, surah al-Fatihah yang dilafazkan serentak dengan imam tidak akan membatalkan solat namun hukumnya adalah makruh.

Tambah pendakwah bebas itu, adalah disunatkan untuk seseorang makmum membaca al-Fatihah sesudah imam sudah selesai.
Antara situasi lain yang diterangkan apabila seorang makmum membaca al-Fatihah terlebih dahulu daripada imam. Dalam konteks tersebut, perbuatan tersebut juga adalah makruh.
Memetik Maktabah al-Bakri, Mazhab Syafie menjelaskan bahawa sunat membaca surah al-Fatihah semasa saktah (diam atau berhenti) imam melainkan jika dikhuatiri imam tidak membaca surah lain, membaca surah pendek, atau terus rukuk.
Dalam situasi ini, maka diharuskan untuk makmum membaca al-Fatihah bersama dengan imam.
Apa Hukum Imam Tunggu Makmum Habis Baca al-Fatihah?
Untuk imam pula, adalah disunatkan buat mereka untuk membaca surah seterusnya selepas makmum selesai membaca al-Fatihah.
Ini bermaksud imam harus diam seketika sementara menunggu makmum yang lain selesai.
Perkara-perkara Yang Membatalkan Solat
Di sini kami kongsikan juga perkara-perkara yang membatalkan solat. Antaranya:

- Berlakunya hadas sama ada dengan sengaja mahupun tidak.
- Terdedah aurat sekiranya tidak ditutup dengan serta merta.
- Sengaja bercakap dengan dua huruf yang dapat difahami.
- Melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa secara sengaja dalam solat.
- Makan dan minum.
- Bergerak sebanyak 3 kali secara berturut-turut, walaupun dalam keadaan lalai.
- Mendahului imam dengan dua rukun fi’li.
- Lambat dua rukun dari imam tanpa keuzuran.
- Niat memutuskan solat.
- Ragu-ragu ketika berniat.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.
Baca Artikel Berkaitan: “Anak Kita Umur Tujuh Tahun Wajib Suruh Solat” – UAI
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sebab Kenapa Bacaan Sewaktu Solat Zohor & Asar Dibaca Perlahan
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Situasi Jika Makmum Tersujud Ketika Imam Baca Doa Qunut Sering Terjadi, Ini Cara Untuk Anda Perbaiki
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram