Now Reading
Jenama ‘Fast Food’ Malaysia, Marrybrown Kini Dibuka Di Australia

Jenama ‘Fast Food’ Malaysia, Marrybrown Kini Dibuka Di Australia

Restoran Marrybrown pertama yang dibuka di Australia adalah di pinggir bandar Burwood terletak di Burwood One Shopping Centre, Melbourne.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Marrybrown yang merupakan Restoran Halal Makanan Segera (QSR) jenama Malaysia mencipta sejarah apabila membuka satu-satunya cawangan pertama restoran tersebut di Australia.

Warga Australia dan rakyat Malaysia di sana yang ingin merasai Marrybrown kini boleh berkunjung ke Burwood One Shopping Centre di Melbourne.

Majlis pembukaan Marrybrown telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub bagi memperingati detik bersejarah kepada negara sebagai QSR halal Malaysia pertama yang mencatatkan kejayaan di Australia.

Sumber: Facebook Marrybrown Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown yang juga merangkap anak kepada pasangan pengasas Datuk Lawrence Liew serta Datin Nancy Liew iaitu Datuk Joshua Liew melahirkan rasa teruja pada majlis pelancaran cawangan pertama jenama itu di Australia.

Pembukaan cawangan Marrybrown ini memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi minat dalam menyajikan menu enak kepada masyarakat di Melbourne.

Kami sangat teruja untuk membawa rasa unik dan layanan Marrybrown ke pasaran Australia. Matlamat kami adalah untuk sentiasa membawa kegembiraan kepada orang ramai menerusi makanan yang enak, dan kami percaya bahawa hidangan istimewa kami, termasuklah ayam rangup akan menjadi kegemaran pelanggan Australia dan Malaysia. Kami juga komited untuk menyediakan kepada pelanggan pengalaman menjamu selera yang berkualiti tinggi dan berharap dapat mengalu-alukan mereka ke lokasi baharu kami di Melbourne.

Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew.

Menu Yang Dijual Di Cawangan Marrybrown Australia

Selain ayam goreng rangup yang popular di Marrybrown, jenama ini juga akan menyajikan burger dan ‘wrap’.

Sebagai jenama tempatan yang mempunyai sejarah lebih 40 tahun, mereka juga akan menyajikan hidangan berasaskan dari negara Malaysia seperti Nasi Lemak, Nasi Goreng Sate, Nasi Kari dan lain-lain.

Mana tahu suatu hari nanti Marrybrown akan cipta menu berasaskan hidangan dari Australia pula?


Marrybrown Kini Berkembang Di Persada Antarabangsa

Sebagai rangkaian restoran makanan segera halal tempatan yang pertama di Malaysia sejak tahun 1981 di Johor Bahru, Marrybrown mempunyai kira-kira 500 restoran di 16 buah negara.

Untuk pengetahuan anda, cawangan antarabangsa Marrybrown yang pertama dibuka adalah di Singapura sebelum melebarkan sayap ke Brunei pada tahun 1990. Mereka juga telah memasuki pasaran China pada tahun 1996 dan ‘bergerak’ ke India dan Sri Lanka pada tahun 1999. Selain itu, jenama ini turut meluaskan perniagaan di negara Timur Tengah, benua Afrika serta Eropah.

Cawangan pertama Marrybrown di Eropah adalah di negara Sweden yang dibuka pada tahun 2020 tetapi kini sudah tidak beroperasi lagi berikutan beberapa situasi.

Namun, penutupan itu tidak menghalang jenama ini untuk terus mencari kawasan yang lebih sesuai di peringkat antarabangsa bagi meluaskan lagi empayar.

Sumber: Facebook Marrybrown Malaysia

Malah kini, Marrybrown telah mencapai satu lagi kejayaan dengan berkembang ke benua Australia.

Mereka juga membayangkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pasaran Australia dengan membuka 30 lagi cawangan di seluruh Australia, merentasi negeri yang berbeza dalam masa terdekat.

Sebagai rangkaian makanan segera terkemuka di Malaysia, kami berbangga untuk mengembangkan jenama kami di Australia dan mengetengahkan rasa terbaik dari Malaysia serta warisan masakannya di pentas global. Rancangan kami untuk masa hadapan termasuklah membina kejayaan di beberapa lokasi sekitar Melbourne dan berkembang ke bandar lain seluruh Australia seperti Sydney dan Perth.

Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew.

Apa-apa pun, tahniah kami ucapkan kepada Marrybrown atas pencapaian yang cukup membanggakan ini!

BACA JUGA: 5 F&B Brands You Probably Didn’t Know Were Malaysian

BACA JUGA: Marrybrown’s New K-Crunch Chicken Has A Surprisingly Sweet Kick [Review]

BACA JUGA: Apa Yang Best Di Gold Coast? Ini 5 Senarai Tempat Menarik Yang Boleh Dikunjungi


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd